Translate

Sunday, February 2, 2025

KPDN Terengganu perluas jualan rahmah di pasar awam

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu mengambil inisiatif memperluaskan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di pasar awam pula bagi membantu masyarakat setempat mengimbangi kos sara hidup.

Pengarah KPDN negeri, Saharuddin Mohd. Kia berkata, PJRM @ Pasar yang dimulakan di Pasar Besar Kuala Berang di sini tersebut merupakan tambahan kepada pendekatan secara bergerak, tertutup dan premis tetap yang telah diambil sebelum ini.

-Advertisement-

“Pelaksanaan (PJRM) di pasar awam sedikit berbeza kerana kita perlu menilai barangan yang menjadi sering tumpuan penduduk setempat berdasarkan maklum balas peniaga terlibat.

“Bagi program perintis PJRM @ Pasar ini, kita telah memberi tumpuan kepada daging lembu, ayam segar, ikan dan sayur-sayuran,” katanya ketika ditemui sewaktu memantau program tersebut di Pasar Besar Kuala Berang di sini hari ini.

Program perintis PJRM@ Pasar itu mendapat sambutan memberangsangkan dengan 600 kilogram (kg) daging lembu yang dijual pada harga RM21 sekilogram habis terjual dalam tempoh kurang setengah jam.

Saharuddin berkata, PJRM @ Pasar itu menawarkan semua barangan keperluan terbabit pada harga 30 peratus lebih murah daripada pasaran semasa.

Beliau berkata, ia melibatkan peruntukan subsidi RM50,000 daripada kerajaan dan disertai 14 peniaga.

“Kita memilih Pasar Besar Kuala Berang kerana sering mendapat aduan kenaikan harga barang daripada pengguna setempat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

KPDN rampas 69,500 liter minyak diesel diragui

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 69,500 liter minyak diesel diragui hasil serbuan di dua premis berasingan di Kampung Labohan, Kerteh di sini semalam.

Serbuan pada pukul 12 tengah hari itu turut merampas sebuah lori tangki dan lapan tangki penyimpanan bernilai keseluruhan RM464,660.

-Advertisement-

Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, serbuan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) tersebut dilakukan hasil risikan selama dua minggu.

“Risikan percaya dua lokasi yang diserbu tersebut merupakan stor haram penyimpanan minyak diesel berkenaan.

“Pemeriksaan awal mendapati minyak diesel itu disimpan tanpa kebenaran sah daripada Pengawal Bekalan,” katanya di sini hari ini.

Saharuddin berkata, siasatan awal juga percaya minyak diesel dirampas tersebut telah dipindahkan ke stor haram itu dari lokasi yang telah dilesenkan.

Beliau berkata, empat lelaki berusia 33 hingga 58 tahun dipercayai pemilik dan penjaga stor serta pemandu lori telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Kes sedang disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Piala Malaysia: JDT sebelah kaki ke pentas akhir

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa bekalan selesa selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 4-0 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.

Pemain naturalisasi Harimau Malaya, Romel Morales memanfaatkan situasi kelam-kabut di kotak penalti tuan rumah setelah tandukan rakan sepasukan, Junheong Park daripada sepakan sudut terkena palang untuk meledak gol pertama pelawat pada minit ke-17.

JDT terus gagah melebarkan kedudukan 3-0 menerusi jaringan bintang sensasi Harimau Malaya, Arif Aiman Hanafi pada minit ke-79 dan 84.

Penyerang import, Bergson Da Silva menambah luka TFC dengan meledak gol keempat pada minit ke-90.

Terdahulu beberapa percubaan skuad Harimau Selatan ke gawang TFC berjaya diselamatkan penjaga gol, Muhammad Rahadiazli Rahalim pada minit ke-10, 14 dan 16.

Skuad Sang Penyu cuba mencari gol penyamaan, namun percubaan dua tonggak import, Nurillo Tukhtasinov dan Ismaheel Akinade tidak menepati sasaran pada minit ke-25 dan 26.

Aksi sedikit tegang apabila jaringan kedua Morales pada minit ke-36 dibatalkan setelah pengadil, Fitri Maskon merujuk kepada Video Bantuan Pengadil (VAR).

JDT juga dinafikan sepakan penalti walaupun Arif Aiman dijatuhkan pada minit ke-55 selepas VAR turut dirujuk.

TFC memperolehi peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan, namun hantaran cantik Nelson Bonilla gagal disempurnakan Manuel Ott pada minit ke-61.

Aksi kedua separuh akhir Piala Malaysia akan dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim, Gelang Patah pada 1 Februari depan. – KOSMO! ONLINE

Piala Malaysia: JDT belum sedia rasa selesa

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BIARPUN berjaya membawa bekalan selesa empat gol, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengakui aksi dengan Terengganu FC (TFC) pada separuh akhir pertama Piala Malaysia kelmarin bukanlah sesuatu yang mudah.

Pengendali JDT, Hector Bidoglio berkata, skuad Sang Penyu telah memberi tentangan sengit dengan melancarkan beberapa serangan balas berbahaya.

“Aksi dengan TFC sukar, mereka rajin melakukan tekanan dan melakukan gerakan kemas (ke kubu JDT).

“Serangan balas (TFC) amat berbahaya, tetapi dapat ditangkis barisan pertahanan kami,” katanya selepas perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus kelmarin.

Dalam aksi tersebut, JDT yang merupakan juara bertahan Piala Malaysia berjaya membenam TFC 4-0 hasil dua jaringan Arif Aiman Hanafi serta masing-masing satu gol disumbang Romel Morales dan Bergson Da Silva.

Begitupun skuad Harimau Selatan terpaksa menunggu sehingga minit ke-79 untuk meledak tiga lagi gol sebagai bekalan selesa dibawa pada separuh akhir kedua di laman sendiri pada 1 Februari depan.

Dalam perkembangan sama, Bidoglio berpuas hati komitmen diberikan anak buahnya yang membawa kepada kejayaan mereka menjinakkan TFC di hadapan penyokong tegar tuan rumah.

Beliau berkata, skuad kendaliannya mempamerkan persembahan membanggakan dengan cuba menguasai bola dalam tempo permainan pantas.

Begitupun Bidoglio mengingatkan anak buahnya agar tidak terlalu selesa dan memandang mudah pertemuan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim pada awal bulan depan.

Mangsa banjir Terengganu tinggal 20 orang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Situasi fenomena air pasang besar dan ombak kuat di Terengganu semakin pulih dengan hanya 20 mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, mereka yang terdiri daripada tujuh keluarga berada di dua PPS sejak Dungun dan Kemaman.

“PPS Balai Raya Bandar Paka, Dungun masih mempunyai 14 keluarga daripada lima keluarga.

“Seramai enam mangsa daripada dua keluarga pula berada di Balai Raya Kampung Geliga Pantai, Kemaman,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, pemantauan tetap diadakan berikutan fenomena angin kencang dan ombak besar dijangka berterusan sehingga esok.

Pesisir pantai Terengganu dilanda fenonema air pasang besar yang membawa ombak kuat dan angin kencang sehingga memaksa hampir 300 penduduk berpindah ke PPS sejak 12 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE

Saturday, February 1, 2025

Pelajar merempit selepas selesai SPM diarah ‘berkawad’ depan IPD

 


  • Oleh MOHD AZLI ADLAN



MARANG – Perbuatan 58 calon Sijil Pelajar Malaysia (SPM) dari beberapa sekolah di sekitar daerah ini dan Hulu Terengganu menunggang dan membonceng motosikal beramai-ramai secara berbahaya di sekitar daerah ini menerima padah apabila ditahan polis dalam sekatan jalan raya pada Khamis lalu.

Mereka ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan yang diadakan selama tiga jam sehingga pukul 3 petang.

-Advertisement-

Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd. Sofian Redzuan berkata, siasatan mendapati kesemua pelajar tingkatan lima terbabit menunggang motosikal beramai-ramai bagi meraikan selesai menghadapi kertas akhir SPM.

“Sebanyak 120 notis kompaun atas pelbagai kesalahan dikeluarkan selain 45 buah motosikal terbabit turut disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pemeriksaan lanjut mendapati dua daripada motosikal terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 108 akta sama,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Terdahulu tular klip video memaparkan sekumpulan calon SPM yang masih berpakaian seragam sekolah beratur beramai-ramai di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini setelah ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan.

Mohd. Sofian berkata, kesemua pelajar diarahkan beratur sebelum berjalan beramai-ramai ke surau IPD berkenaaan untuk menunaikan solat asar berjemaah.

Beliau kemudiannya memberi nasihat berkaitan keselamatan dan peraturan jalan raya kepada calon SPM terbabit.

“Saya menasihatkan semua remaja mematuhi peraturan jalan raya demi keselamatan diri dan pengguna lain.

“Ibu bapa juga dinasihatkan agar memantau anak masing-masing bagi mengelakkan mereka terjebak dalam aktiviti tidak sihat,” katanya. – KOSMO! ONLINE


LKIM bantu rumah nelayan terjejas akibat hakisan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan membantu membaiki dan membina semula rumah nelayan yang terjejas akibat hakisan pantai di seluruh negara termasuk Terengganu pada musim tengkujuh ini.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pembaikan dan pembinaan semula rumah nelayan terbabit akan dilaksanakan mengikut program khas Perumahan Nelayan dikelolakan agensinya.

“Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM10 juta bagi program khas tersebut. Kita sedang lihat rumah-rumah nelayan yang terjejas akibat hakisan untuk dibantu,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas menyerahkan sumbangan program Kembali ke Sekolah kepada 100 anak nelayan zon Terengganu Utara.

Muhammad Faiz berkata, berdasarkan peruntukan tersebut, setiap rumah nelayan terjejas yang layak akan dibaiki dengan kos maksimum RM20,000.

Beliau berkata, setakat ini, Terengganu diperuntukkan 15 buah baharu dan 30 projek pembaikan nelayan terjejas termasuk akibat hakisan di bawah program khas berkenaan.

“LKIM juga berharap Jabatan Pengairan dan Saliran dan kerajaan negeri memainkan peranan proaktif mengatasi masalah hakisan pantai yang turut memberi kesan terhadap nelayan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Kerang Pantai Sura disah mengandungi bakteria Fecal coliform, E. coli

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerang yang terdampar di Pantai Sura, Dungun pada minggu lalu disahkan mengandungi bakteria Fecal coliform dan Escherichia coli (E. coli) melebihi piawai dibenarkan.

Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, kandungan kedua-dua bakteria jenis itu dalam lima sampel kerang diambil masing-masing melebihi 300 MPN bagi setiap 100 gram.

“Dua daripada lima sampel tersebut juga dikesan mengandungi bakteria Vibrio parahaemolyticus.

“Sehubungan itu, kerang-kerang yang didampar di pantai tersebut diklasifikasikan sebagai Kelas B dan C di bawah piawaian Program Sanitasi Kerangan Kebangsaan (NSSP),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ruzaidi berkata, kerang berkenaan memerlukan pemasakan sempurna sebelum selamat dimakan.

Beliau berkata, orang ramai perlu memasak sempurna kerang yang dikutip di pantai tersebut bagi mengurangkan risiko pencemaran bakteria.

“Pengambilan kerang mentah harus dielakkan terutamanya bagi individu dengan sistem imun yang lemah,” katanya.

Kosmo! Khamis lalu melaporkan, Pantai Sura bagaikan pesta apabila dikerumuni ratusan orang untuk mengutip lambakan kerang yang tiba-tiba terdampar di pesisir pantai itu setelah dibawa ombak besar. – KOSMO! ONLINE

Buskers Kuala Terengganu kena permit RM200 setahun

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memperkenalkan permit khas bernilai RM200 setahun kepada setiap penggiat buskers atau seniman jalanan yang mahu bergiat di sekitar bandar raya ini dan Kuala Nerus.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Rosli Latif berkata, permit yang dikenakan kepada setiap buskers yang aktif tersebut bertujuan untuk mengawal selia aktiviti tersebut yang semakin berkembang pesat di bandar raya ini sejak kebelakangan ini.

“Kami (MBKT) ambil inisiatif awal mengadakan libat urus untuk mendengar luahan, isu berbangkit dan cadangan penggiat buskers atau seniman jalanan terbabit.

“Cadangan-cadangan tersebut akan disampaikan kepada kerajaan negeri (Terengganu) untuk membuat keputusan (pindaan Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan MBKT 2002 dan Kaedah-Kaedah Hiburan Negeri Terengganu 2003),” katanya selepas mengadakan libat urus dengan penggiat buskers tempatan di sini hari ini.

Rosli berkata, buat masa ini, penggiat buskers akan dibenarkan untuk bergiat mengikut budi bicara di bawah Klausa 20 Kaedah-Kaedah Hiburan Negeri Terengganu 2003.

Beliau berkata, persembahan perlu mengikut garis panduan ditetapkan kerajaan negeri termasuk tidak melibatkan wanita dan tidak boleh dilaksanakan pada malam Jumaat.

“Sebarang pelanggaran boleh dikenakan tindakan perundangan termasuk kompaun maksimum RM25,000,” katanya. – KOSMO! ONLINE

‘Kami tak akan maafkan mereka’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN dan KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU – Keluar­ga kepada lelaki orang kelainan upaya (OKU) mental yang dipukul beberapa individu dalam kejadian di Pasar Tani Padang Astaka Chukai dekat sini, Jumaat lalu, tetap meneruskan hasrat untuk mengemukakan saman sivil kepada pihak yang terlibat. 

Isteri mangsa, Faridah Abdul Karim, 44, berkata, perbuatan me­mukul dan mem­be­lasah suaminya, Ahmad Nor Al Fai­zan Jusoh, 47, yang merupakan individu OKU adalah satu tindakan yang tidak boleh dimaafkan oleh keluarganya. 

Katanya, dia sudah menyerahkan tindakan selanjutnya kepada peguam yang dilantik keluarga…

Insiden pukul OKU di pasar tani sukar diterima – Ahmad Zahid

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sukar menerima insiden lelaki kelainan upaya (OKU) mental dipukul sekumpulan individu di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, Kemaman Jumaat lalu yang disifatkan di luar nilai kemanusiaan.

Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, Ahmad Zahid menerusi panggilan video bersama isteri mangsa, Faridah Abdul Karim, 44, mahu keadilan ditegakkan buat Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47.

“Beliau yang bersimpati meminta saya segera bertemu isteri mangsa. Kepercayaan mesti diberikan kepada Polis Diraja Malaysia demi mendapatkan keadilan.

“Biarlah undang-undang menentukan, keluarga mangsa juga dinasihatkan agar tidak mengambil sebarang tindakan dengan tangan sendiri,” katanya selepas melawat keluarga mangsa di Kuala Ibai di sini hari ini.

Megat Zulkarnain berkata, keluarga Ahmad Nor Al Faizan ditawarkan khidmat guaman percuma oleh Pergerakan Pemuda UMNO bagi meneruskan tindakan perundangan terhadap individu yang memukul bapa lima anak tersebut.

Beliau berkata, perkhidmatan kaunseling turut ditawarkan bagi membantu keluarga mangsa yang dalam keadaan trauma. – KOSMO! ONLINE