Translate

Tuesday, August 13, 2024

‘Sengsara ini saya tanggung seumur hidup’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN, MOHD SHARKAWI LONDING dan SYED AZLAN SAYID HIZAR

KUALA TERENGGANU – Pengalaman ditipu sindiket scammer bukan sahaja membuatkan mangsa menanggung kerugian ratusan ribu ringgit, malah turut mengalami penderitaan mental. 

Ada mangsa yang hampir gila selepas kehidupan mereka musnah apabila kesemua duit simpanan lesap dalam sekelip mata. 

Menceritakan pengalaman itu, seorang guru berusia 52 tahun dikenali sebagai Hashim, 52, berkata, kehidupannya kini berubah selepas menjadi mangsa peni­puan lima tahun lalu sehingga kerugian RM200,000. 

Menurut Hashim, semuanya bermula apabila dia menyertai satu skim pelaburan tidak wujud pada tahun 2019. 

“Semua…

Monday, August 12, 2024

Ibu terlantar, aku sendirian uruskan keluarga

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Seorang wanita tabah menjaga ibu kandungnya yang kudung kaki kiri akibat komplikasi diabetes biarpun serba kekurangan.

Robiah Sulaiman, 35, berkata, penyakit diabetes ibunya, Khatijah Che Mat, 69, semakin kronik sehingga kaki kirinya dipotong pada 2018.

“Sejak itu, ibu saya kehilangan pekerjaan sebagai pekerja am dan hanya terlantar di atas katil.

“Selain menghidap diabetes kronik, ibu juga menghidap pe­nyakit jantung dan darah tinggi selain kedua-dua belah matanya kini mula kabur,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Tok Jembal di sini baru-baru ini.

Robiah berkata, ibunya juga perlu disuntik insulin bagi me­ngawal diabetes.

Ibu kepada dua anak berusia enam dan tujuh tahun itu memberitahu, dia menyara keluarga dengan berniaga sayur di Pantai Tok Jembal di sini dengan pendapatan RM25 sehari selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

Robiah berkata, mereka sekeluarga terpaksa berjimat cermat demi kelangsungan hidup.

Ujar Robiah, selain perlu membeli jarum suntikan insulin, ibunya juga memakai lampin pakai buang.

“Sejak akhir-akhir ini, kami semakin kesempitan wang sehingga anak kedua saya, Muhammad Azrol Azmi terpaksa berhenti pra sekolah kerana tidak mampu membayar yuran bulanan.

“Apapun saya sentiasa berdoa agar rezeki kami dimurahkan agar boleh membeli katil khas untuk ibu dan menyekolahkan semula Muhammad Azrol,” ­katanya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumba­ngan menerusi akaun Bank Rak­yat milik Khatijah bernombor 2250691613 atau menghubungi Robiah di talian 011-6419 0352 pada bila-bila masa.

Sunday, August 11, 2024

UniSZA terima pengesahan akreditasi kerajaan Arab Saudi

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerima surat pengesahan akreditasi daripada kerajaan Arab Saudi yang bakal menjadi daya penarik lebih ramai pelajar negara Asia Barat tersebut melanjutkan pelajaran di universiti awam terbabit.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam berkata, pengiktirafan tersebut turut membuka jalan kepada UniSZA untuk menjalin lebih banyak kerjasama berkaitan pertukaran pengetahuan, penyelidikan bersama, dan program mobiliti pelajar dengan institusi di Arab Saudi.

“Pengiktirafan ini membuktikan kualiti tinggi pendidikan ditawarkan UniSZA yang memenuhi standard antarabangsa.

“Ia juga membuka ruang untuk memperkaya pengalaman akademik dan budaya di UniSZA,” katanya di sini
hari ini.

Terdahulu beliau dan Atase Kebudayaan Kedutaan Arab Saudi di Malaysia, Dr. Fahad Mohammed Alsehmmeri menerima perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah selaku Canselor UniSZA semalam.

Mereka menghadap untuk mempersembahkan surat pengesahan akreditasi berkenaan kepada baginda berdua.

Fadzli berkata, pengurusan UniSZA berazam untuk terus komited meningkatkan kualiti pendidikannya selain menyediakan persekitaran pembelajaran terbaik.

Tambah beliau, delegasi Atase Kebudayaan Kedutaan Arab Saudi di Malaysia diketuai Fahad turut mengadakan perbincangan bersama wakil Fakulti Bahasa dan Komunikasi serta Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, UniSZA. – KOSMO! ONLINE

Lelaki didakwa bunuh rakan tukar pengakuan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pengusaha barangan lusuh etnik Rohingya yang sepatutnya dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini menukar pengakuan bagi pertuduhan pilihan menyebabkan kematian rakannya tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Qarim Abdul Razak, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani.

Sebelum ini, tertuduh membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan sewaktu prosiding pada 29 Julai lalu.

Tertuduh diwakili peguam Mazlan Md. Zain memohon dibicarakan semula untuk pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Kesesaan yang turut memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Qarim didakwa membunuh Abdul Khalid Abdul Hadir, 35, yang juga etnik Rohingya di Bukit Payung, Marang pada 11.20 malam, 18 Mac 2017.

Kosmo! 21 Mac 2017 melaporkan mayat Abdul Khalid ditemukan dalam keadaan mengerikan apabila tubuhnya dipercayai ditikam bertubi-tubi menggunakan gerudi, mesin pengisar, tukul, parang, pisau dan topi keledar.

Sebelum kejadian, mangsa yang juga pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian dikatakan bertengkar dengan tiga lelaki etnik Rohingya termasuk tertuduh di sebuah rumah. – KOSMO! ONLINE

Sindiket curi diesel untuk diseludup tumpas

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Taktik satu sindiket memindahkan baki bekalan diesel yang sepatutnya dihantar ke syarikat yang memiliki permit untuk diseludup berjaya dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Chukai, Kemaman semalam.

Sewaktu serbuan dilakukan pada pukul 12.30 tengah hari itu, kerja-kerja pemindahan minyak diesel sedang dilakukan anggota sindiket tersebut.

Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, serbuan berjaya merampas sebanyak 8,190 liter diesel bernilai RM286,781.30.

Beliau berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya melakukan risikan selama seminggu.

“Siasatan awal mendapati sindiket tidak memindahkan sepenuhnya diesel kepada pelanggan, mereka terdiri daripada syarikat memiliki permit barang.

“Sebaliknya saki baki bekalan diesel yang diambil dari depot itu akan dipindahkan ke lori lain,” katanya pada sidang akhbar di Chendering di sini hari ini.

Saharuddin berkata, bekalan diesel terbabit kemudiannya dipercayai akan dijual semula di pasaran gelap. – KOSMO! ONLINE

Saturday, August 10, 2024

Ceroboh perairan negara, kaut satu tan ikan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan dua bot nelayan Vietnam yang disyaki menceroboh perairan negara pada semalam.

Dua bot nelayan asing itu dikesan sedang leka menangkap ikan secara haram berhampiran zon ekonomi eksklusif negara pada pukul 3.30 petang.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd. Khairulanuar Abd. Majid berkata, Kapal Maritim (KM) Rawa yang sedang melakukan rondaan penguatkuasaan telah terserempak dengan dua bot nelayan Vietnam tersebut pada kedudukan 355.58 kilometer dari timur laut muara Kuala Terengganu dekat ini.

“Pemeriksaan mendapati dua bot nelayan asing tersebut telah menaikkan hasil laut lebih satu tan.

“Kesemua 17 nelayan Vietnam berusia dalam lingkungan 23 hingga 50 tahun yang diperiksa didapati tidak memiliki permit kerja dan dokumen penjalanan yang sah,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Khairulanuar berkata, dua nelayan Vietnam tersebut juga tidak mempunyai kebenaran menangkap ikan di perairan negara daripada Jabatan Perikanan.

Tambah beliau, kesemua bot, peralatan menangkap ikan, minyak diesel dan hasil laut dianggar bernilai keseluruhan RM3 juta telah disita.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1963,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Baru nak gadai hasil samun, dah kena tangkap

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Pasangan kekasih tidak sempat berjoli hasil samun berjumlah kira-kira RM20,000 apabila mereka diberkas polis dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas disyaki melakukan aktiviti pecah rumah di Kampung Binjai Bongkok di sini pada kelmarin.

Kedua-dua suspek berusia 20 tahun berjaya ditahan di dua lokasi berasingan di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus pada pukul 1.15 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Razman Setapa berkata, sewaktu ditahan, pasangan kekasih terbabit berada di dua kedai pajak gadai berasingan dipercayai mahu menggadai barangan kemas yang disamun mereka.

Beliau berkata, sebelum itu, pihaknya menerima laporan kes pecah rumah daripada mangsa pada pukul 8.55 malam semalam.

“Kejadian pecah rumah tersebut disyaki berlaku sewaktu pasangan suami isteri terlibat keluar bekerja.

“Mereka hanya menyedari rumah mereka dipecah masuk apabila menyedari kesan pecah pada pintu kayu di belakang rumah sewaktu pulang daripada kerja pada pukul 6.23 petang, Rabu lalu,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Razman berkata, pemeriksaan pada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kemudiannya mendapati imej dua individu disyaki suspek memecah masuk rumah mangsa. – KOSMO! ONLINE

Pelumba jet ski profesional dikhuatiri lemas di Sungai Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang mekanik dikhuatiri lemas setelah terjatuh ke dalam Sungai Terengganu sewaktu sedang menguji sebuah jet ski berhampiran Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.

Mangsa, Abdullah A. Mubin, 44, yang juga pelumba jet ski profesional dikatakan terjatuh ke dalam sungai itu pada pukul 8 pagi.

Ketua Polis Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, lelaki tersebut dikatakan sedang membawa jet ski miliknya di dalam Sungai Terengganu berhampiran TTI.

"Jet ski dikemudinya dikatakan tiba-tiba terbalik menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam sungai.

“Mangsa dikata cuba berenang ke tebing Sungai Terengganu untuk menyelamatkan diri, namun dilihat tenggelam tidak lama kemudian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, pasukan mencari dan penyelamat (SAR) melibatkan beberapa agensi telah ditubuhkan sebaik menerima maklumat berhubung insiden itu daripada orang awam yang menyaksikan kejadian.

Beliau berkata, setakat ini, operasi mencari dan menyelamat sedang giat dilakukan 24 anggota SAR di sekitar lokasi kejadian,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Sunday, August 4, 2024

Generasi Z hati tisu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

TINJAUAN Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun lalu menunjukkan 4.6 peratus daripada rakyat negara ini yang berusia 15 tahun ke atas memiliki gejala kemurungan.

 Berdasarkan tinjauan tersebut, golongan tertinggi yang berisiko mengalami masalah kemurungan tersebut berumur dalam lingkungantelefon pintar 16 hingga 29 tahun. 

Majoriti mereka merupakan generasi Z yang sebahagian besar kehidupannya amat bergantung dengan teknologi digital terutama telefon pintar. 

Media sosial pula menjadi platform utama untuk golongan tersebut bersosial dan berhubung. Sekiranya interaksi dengan media sosial berkenaan tidak dikawal…

Saturday, August 3, 2024

Remaja maut, motosikal bergesel Honda HRV lalu rempuh gerai burger

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman maut selepas motosikal dinaikinya bergesel dengan kenderaan utiliti sukan, Honda HRV di Jalan Sultan Mahmud berhampiran Masjid Tengku Haji Nik, Batu Burok di sini hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 4.55 petang itu, mangsa, Muhammad Aiman Faiz Azman, 18, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, remaja yang menunggang motosikal jenis Yamaha R25 itu dikatakan dalam perjalanan ke Batu Burok dari rumahnya di Taman Permint Jaya, Chendering di sini.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki mangsa dikatakan bergesel dengan sebuah kenderaan jenis Honda HRV yang sedang membelok memasuki persimpangan ke Masjid Tengku Haji Nik.

“Impak kemalangan itu menyebabkan motosikal mangsa hilang kawalan lalu terbabas merempuh sebuah gerai burger yang terletak di tepi jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, Muhammad Aiman Faiz dikatakan tercampak ke jalan raya berikutan kemalangan tersebut.

Tambah beliau, mayat remaja lelaki itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

‘Kami menyesal keluar duit KWSP’

 Oleh AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI, MARLIA ZAKARIA, MOHD AZLI ADLAN dan NOOR HASLIZA NUSI

PETALING JAYA – Rata-rata pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyesal dan mengakui telah tersilap langkah apabila membuat pengeluaran wang menerusi pelbagai inisiatif yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini. 

Menurut mereka, kebanyakan wang yang dikeluarkan sebelum ini sama ada menerusi i-Lestari, i-Citra dan i-Sinar telah habis digunakan, sekali gus memberi kesan kepada jumlah keseluruhan caruman sedia ada. 

Situasi itu menyebabkan ada pencarum yang memilih untuk tidak memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera atau Akaun 2 ke Akuan Fleksibel bagi…

Friday, August 2, 2024

Cinta di bangku sekolah berakhir kematian

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hajat sepasang kekasih untuk melangsungkan perkahwinan pada hujung tahun ini tidak kesam­paian apabila mereka maut dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Jalan Kemajuan di sini kelmarin. 

Dalam kemalangan pada pukul 10.30 malam itu, Muhammad Haniff Idham Mohd. Azmi, 24, dan Nurshabirah Izzani Zulkarnain, 22, maut sewaktu menerima rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini. 

Kereta Perodua Myvi dinaiki mereka dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kenderaan rasmi sebuah agensi kerajaan jenis Toyota Fortuner sebelum…

Thursday, August 1, 2024

Pasangan kekasih maut kemalangan rancang nikah hujung tahun

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pasangan kekasih, Muhammad Haniff Idham Mohd. Azmi, 24, dan Nurshabirah Izzani Zulkarnain, 22, yang maut dalam kemalangan di Jalan Kemajuan di sini malam tadi merancang untuk melangsungkan perkahwinan pada hujung tahun ini.

Bapa Nurshabirah Izzani, Zulkurnain Abdullah, 57, berkata, dia merancang untuk majlis perkahwinan Nurshabirah Izzani bersama anak kedua dan ketiganya.

“Arwah Nurshabirah Izzani merupakan anak keempat saya dan dia bersama arwah Muhammad Haniff Idham sejak di bangku sekolah.

“Mereka merancang untuk bernikah dan saya cadangkan agar majlis itu disekalikan bersama abang kedua (Zul Adri Amin, 26) dan kakak ketiganya (Nur Hadirah, 25) pada akhir tahun ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Rumah Mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.

Zulkurnain berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Haniff Idham mengambil anaknya, Nurshabirah Izzani yang habis bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat membeli-belah di bandar raya ini.

Dia berkata, mereka dikatakan dalam perjalanan untuk makan malam di sebuah restoran di Pulau Duyong di sini sebelum Nurshabirah Izzani dihantar pulang di rumah sewanya di Flat Seri Kolam di sini.

Sebelum ini, pasangan kekasih tersebut terlibat dalam kemalangan selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan jenis Toyota Fortuner pada pukul 10.30 malam.

Muhammad Haniff Idham dan Nurshabirah Izzani meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Unit Kecemasan HSNZ. – KOSMO! ONLINE

UniSZA laksana pendigitalan manuskrip lama ulama Kedah

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) diberi tanggungjawab untuk mendigitalkan manuskrip lama tinggalan ulama Kedah yang dihasilkan bermula kurun ke-17.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr Fadzli Adam berkata, manuskrip tersebut kini dalam simpanan Jabatan Mufti Kedah, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah dan Lembaga Muzium Kedah.

“Setakat ini, kita telah selesai mendigitalkan 30 manuskrip lama itu yang kebanyakan ditulis oleh ulama-ulama Kedah pada sekitar tahun 1600 hingga 1800.

“Banyak lagi manuskrip lama simpanan empat agensi Kedah tersebut akan melalu proses pendigitalan yang dijangka boleh disiapkan sepenuhnya menjelang akhir tahun ini,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama wakil empat agensi itu dan Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu berhubung pendigitalan manuskrip terbabit.

Fadzli berkata, proses pendigitalan manuskrip lama berkenaan bermula dengan proses menyalin, membuat deskripsi dan katalog sebelum dimuat naik ke laman portal Manuskrip Ulama Alam Melayu UniSZA.

Jelas beliau, semua manuskrip lama ulama Kedah itu dijangka boleh diakses menerusi portal tersebut selewat-lewatnya April tahun depan.

“Kerjasama ini merupakan sebahagian projek pendigitalan manuskrip ulama alam Melayu yang dirintis UniSZA menerusi Institut Penyelidikan Produk Dan Ketamadunan Melayu Islam (Inspire) bermula sejak tahun September 2019,” katanya. – KOSMO! ONLINE