Translate

Thursday, July 19, 2012

Jang Jung ganti tempat Norizan bimbing Perak

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

BEKAS pemain pertahanan import Perak awal 90-an, Jang Jung, 48, diumum sebagai pengendali baru skuad Seladang bagi menghadapi saingan Piala Malaysia yang bakal bermula akhir bulan depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, jurulatih kelahiran Korea Selatan tersebut bakal memulakan tugas pada 23 Julai ini.

“Selain itu, jurulatih Piala Presiden, Abu Bakar Fadzim yang membantu negeri menjuarai Piala Presiden dan meraih pingat Perak pada Sukma ke-15 di Pahang baru-baru ini turut dilantik sebagai salah seorang pembantu Jang Jung.

“Saya berterima kasih kepada Cikgu Jan (Norizan Bakar) atas komitmen yang diberikan sepanjang berkhidmat membimbing skuad Perak,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, Perak semalam.

Mengenai masa depan bekas jurulatih Perak yang bercuti rehat dua perlawanan sebelum berakhirnya saingan Liga Super itu, Zainol Fadzi menjelaskan Norizan masih berkhidmat dengan Pafa sehingga kontraknya tamat.

Begitupun beliau berkata, bidang tugas pengendali kelahiran Perlis yang membimbing skuad Seladang sejak musim lalu itu masih belum ditentukan Pafa lagi.

Dalam perkembangan sama, Zainol Fadzi berkata, latihan persiapan menghadapi Piala Malaysia yang bermula Isnin depan akan turut disertai sekurang-kurang enam pemain muda dari skuad Piala Presiden.

“Terpulang kepada penilaian Jang Jung untuk menyerapkan pemain berpotensi terbabit ke dalam skuad Piala Malaysia ataupun sebaliknya,” katanya.

Berkaitan pemain pinjaman bagi saingan Piala Malaysia pula, Zainol Fadzi memberitahu tiada sebarang keputusan dibuat lagi dan beliau telah menyerahkan urusan itu untuk pertimbangan pengurus pasukan, Khairul Azwan Harun.

Jang Jung yang membantu Perak muncul juara Piala FA pada 1990 dan naib juara bagi kejohanan sama setahun kemudian sebelum ini merupakan Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Sri Lanka sejak 2007.

Dia juga pernah membantu skuad bawah ke-23 negara itu muncul naib jura Sukan Asia Selatan ke-10 pada 2006.

No comments:

Post a Comment