Translate

Wednesday, January 4, 2023

Ugut polis, peniaga direman 4 hari

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Seorang peniaga yang diburu sejak enam minggu lalu kerana melakukan ugutan jenayah terhadap anggota polis berjaya ditahan polis hari ini.

Lelaki berusia 53 tahun yang berasal dari bandar ini tersebut ditahan di Bangi, Selangor pada pukul 12 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, suspek dikatakan melakukan ugutan tersebut pada dua bulan lalu.

“Usaha untuk mengesan lelaki yang berasal dari daerah ini berkenaan sudah dilakukan sejak sebulan lalu. Dia telah direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Baharudin berkata, perintah reman itu dibenarkan Majistret Noradila Ab. Latif di Mahkamah Majistret di sini hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.- KOSMO! ONLINE

Sunday, January 1, 2023

Rohani derita kanser payudara dibantu

KUALA NERUS – Penderitaan seorang ibu tunggal menghidap kanser payudara tahap empat mendapat simpati wakil rakyat yang mahu membantu wanita itu mendapatkan bantuan. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, Rohani Jusoh, 48, baru menjalani pembedahan membuang payudara kiri pada akhir November lalu dan kini hilang sumber pendapatan ekoran terpaksa berhenti kerja disebabkan masalah kesihatan.

 “Setakat ini, Tabung Darul Iman baru meluluskan permohonan segera bantuan sekali bayar bagi meringankan beban ibu tunggal ini,” katanya ketika menyantuni Rohani di rumah wanita itu di Kampung Tok Jembal di sini kelmarin. 

Beliau turut menghulurkan bantuan peribadi dan bakul makanan kepada Rohani. 

Ahmad Razif berkata, beliau akan membantu Rohani mengemukakan permohonan bantuan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Beliau berharap kedua-dua permohonan itu dapat diluluskan segera. 

Rabu lalu, Kosmo! melaporkan ketabahan Rohani yang merupakan ibu tunggal kepada dua anak teruji apabila disahkan menghidap kanser payudara. 

Dia yang terlantar sakit kini dijaga ibunya, Zaiton Sulung, 76, yang uzur dan menghidap tekanan darah tinggi. 

Selain itu, kos kehidupan termasuk perubatan Rohani yang dianggarkan berjumlah RM1,500 sebulan ini ditanggung dua anaknya berusia 20 dan 29 tahun.

Saturday, December 31, 2022

Kosmo! gondol 3 anugerah Apresiasi Media Terengganu


KUALA TERENGGANU – Mdia Mulia Sdn. Bhd. menerusi dua akhbar terbitannya, Kosmo! dan Utusan Malaysia cemerlang menggondol tiga anugerah utama pada majlis Apresiasi Media Terengganu kelmarin. 

Wakil Negeri Kosmo! Biro Terengganu, Mohd. Azli Adlan dinobatkan pemenang utama kategori Berita Terbaik Media Cetak menerusi laporan Misi Vaksinasi Warga Pulau. 

Rencana disiarkan pada 24 Ogos tahun lalu itu memaparkan cabaran kerajaan negeri Terengganu memastikan imuniti kelompok dalam kalangan 5,000 warga rangkaian pulau peranginan sebagai inisiatif menyegerakan pembukaan semula sektor pelancongan yang ditutup ekoran pandemik Covid-19. 

Jurugambar Kosmo!, Puqtra Hairry Rosli pula meraih dua anugerah, masing-masing bagi kategori Foto Terbaik Media Digital dan juga Foto Terbaik Media Cetak. Beliau meraih tempat pertama untuk kategori Foto Terbaik Media Digital menerusi karya Rindu Solat Jumaat yang disiarkan pada 2 Julai 2021. 

Karya Wau Naga yang disiarkan pada 28 Mac lalu pula melayakkan Puqtra Hairry memenangi tempat kedua kategori Foto Terbaik Media Cetak. 

Kedua-dua petugas Kosmo! terbabit masing-masing membawa pulang ganjaran wang tunai RM3,000 bagi kemenangan tempat pertama, manakala RM2,000 di tempat kedua di samping plak dan sijil penghargaan. 

Hadiah anugerah anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Terengganu (UPDI) tersebut disampaikan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Yahaya Ali. 

Selain itu, beliau turut menyampaikan anugerah khas kepada 13 pempengaruh media sosial tempatan seperti pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus sebagai Tokoh Media Berpengaruh. 

Terdahulu, Yahya berkata, pengamal media telah melaksanakan peranan besar bagi melakukan semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan negeri Terengganu selama ini.