Translate

Wednesday, August 3, 2022

Hospital Pengajar UniSZA mula beroperasi secara percubaan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mula dibuka secara pengujian bermula kelmarin sebelum dijangka beroperasi sepenuhnya pada awal tahun hadapan.

ADVERTISEMENT

Naib Canselor UniSZA, Profesor Dr. Fadzli Adam berkata, buat masa ini, klinik perubatan am sudah beroperasi secara dalaman terhad kepada kakitangan hospital tersebut.

“Percubaan ini bagi membolehkan pengurusan Hospital Pengajar UniSZA meneliti keberkesanan dan kesesuaian pergerakan pesakit sewaktu mendapatkan rawatan.

“Ia membolehkan penilaian dan penambahbaikan perkhidmatan dapat dilakukan apabila mula beroperasi secara penuh kelak,” katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Seri Ahmad Said di sini hari ini.

Fadzli berkata, Hospital Pengajar UniSZA yang dilengkapi 16 bilik bedah dan 10 bilik bersalin menyasar untuk beroperasi secara patuh syariah.

Jelas beliau, antara pendekatan yang bakal diambil ialah pengasingan bilik bedah dan perkhidmatan pegawai perubatan mengikut jantina pesakit.

“Buat fasa pertama, Hospital Pengajar UniSZA dilengkapi 100 katil dan kita berharap agar peruntukan 100 lagi katil akan diluluskan kerajaan dalam Rolling Plan ketiga (RP3) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) tidak lama lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Menu Keluarga UMT RM3.50 diperkenal bantu pelajar

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengambil inisiatif memperkenalkan menu Keluarga UMT bagi membantu pelajar terutama dalam kalangan kurang berkemampuan (B40).

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, inisiatif tersebut menetapkan harga siling bagi harga siling menu terpilih pada harga RM3.50.

“Menu Keluarga UMT ini boleh didapati di semua kafeteria di dalam kampus bagi memastikan setiap pelajar dapat menikmati hidangan.

“Kita juga bekerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi mengawal dan memantau kadar harga makanan dan kualiti perkhidmatan di kafetaria kampus,” katanya di sini hari ini.

Mazlan berkata, pendekatan itu bagi memastikan tidak berlaku sebarang kenaikan harga makanan yang kurang wajar.

Tambah beliau, pengecualian caj sewaan premis kafetaria kampus juga telah diberi selama enam bulan sehingga akhir tahun ini.

“Harapan kita inisiatif ini dapat membantu pengusaha kafeteria terbabit menyerap kenaikan kos bahan mentah sekali gus mengawal peningkatan harga makanan yang boleh memberi impak kepada pelajar,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mazlan memberitahu, program bantuan makanan percuma seperti Gerobok Mutiara UMT masih diteruskan.

Beliau berkata, pengurusan UMT juga menyumbang bahan mentah untuk penyediaan makanan kepada pelajar memerlukan yang menetap di luar kampus.

“Selain itu, seramai 7,324 pelajar UMT layak menerima wang sara hidup menerusi Bantuan Dana Siswa dan Dana Asnaf Zakat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Pastikan selamat jika pancing laut dalam

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

PERAIRAN Terengganu sememangnya popular dalam kala­ngan pemancing tegar untuk melakukan aktiviti memancing laut dalam.

Laut luas sejauh lebih 222 kilometer hingga ke sempadan maritim antarabangsa tersebut sudah pasti menawarkan pe­ngalaman memancing mengujakan.

Dalam keghairahan tersebut, segelintir kumpulan memancing mengambil mudah tanpa menyelidiki latar belakang operator bot.

Sebahagian mereka menggunakan khidmat operator bot tidak berlesen dan tidak dilengkapi kemudahan ditetapkan.

Tidak kurang pula sanggup mengikuti trip memancing ke kawasan pelantar minyak biar pun caj dikenakan mahal dan sangat berisiko demi hobi menyeronokkan itu.

Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, insiden 10 pemancing tersadai di tengah lautan selama enam hari akibat kerosakan bot yang sewa baru-baru ini harus dijadikan pengajaran.

Beliau berkata, semua lelaki itu yang berasal dari Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka bernasib baik kerana dibantu sebuah bot nelayan yang dikemudi tekong warga Thailand.

“Bot mereka yang mengalami kerosakan enjin dan sedikit kebocoran tersadai kira-kira 11 batu nautika dari pelantar minyak, Pelantar Chendor.

“Siasatan awal mendapati operator bot berkenaan tidak memiliki permit untuk mengadakan trip memancing daripada Jabatan Laut,” katanya.

Muhammad Saufi berkata, bot tersebut juga tidak dilengkapi kemudahan komunikasi dan kelengkapan rawatan awal.

Katanya, aspek keselamatan jelas tidak dititikberat dan ketia­daan kemudahan komunikasi menjadi antara punca operasi mencari dan menyelamat tersebut agak sukar.

“Maritim Malaysia amat kecewa masih terdapat segelintir pengusaha yang mengambil mudah tahap keselamatan nyawa ketika berada di laut.

“Pesanan dan kempen telah banyak dilaksanakan, namun hal seperti ini masih berlaku,” ujar­nya.

Muhammad Saufi berkata, selain insiden melibatkan 10 pemancing tersebut, terdapat tiga kes kemalangan di laut disebabkan pengabaian keselamatan berlaku di Terengganu turut dilaporkan sejak 24 Jun lalu.

Beliau berkata, tambah menyedihkan, ia turut melibatkan seorang mangsa yang masih belum ditemui selepas jatuh ke dalam laut.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia MPM Petronas, Mohamed Firouz Asnan menasihatkan nelayan mahu pun peman­cing agar menghindari kawasan pelantar minyak di tengah laut di seluruh negara termasuk perairan Terengganu.

Beliau berkata, kawasan dalam lingkungan 500 meter dari pelantar minyak merupakan zon larangan mengikut Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

“Aktiviti mencari gali minyak dan gas amat berisiko tinggi kerana membabitkan sumber ­hidrokarbon semulajadi yang mudah terbakar.

“Sebarang pencerobohan yang dilakukan dikhuatiri boleh mengundang bencana yang me­ngancam nyawa nelayan atau pemancing serta kakitangan pelantar,” katanya.

Mohamed Firouz berkata, lebih membimbangkan, ia boleh memberi kesan negatif serius terhadap operasi di pelantar minyak terlibat.