Translate

Wednesday, December 22, 2021

Henti kegiatan dulang emas tanpa permit

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Pejabat Tanah dan Daerah Setiu bertindak menutup serta-merta kawasan mendulang emas yang meragut nyawa penternak lembu, Mohd. Johari Mohd. Asri, 34, di Kampung Air Sejuk di sini pada semalam.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung Air Sejuk, Kamarudin Mad Nor berkata, tindakan itu bertujuan membendung kegiatan mendulang emas secara tidak sah di kawasan terbabit terletak di rizab Jalan Kuala Terengganu – Kota Bahru.

“Orang ramai dilarang memasuki kawasan terbabit untuk mendulang emas tanpa permit.

“Tindakan kompaun maksimum RM500,000 atau penjara lima tahun boleh diambil kepada individu yang menceroboh kawasan tersebut,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Air Sejuk di sini hari ini.

Kamarudin berkata, berdasarkan pemantauannya, lokasi kejadian dipercayai baru diteroka untuk kegiatan mencari emas pada beberapa hari lalu.

Jelas beliau, difahamkan tiada mana-mana pihak melakukan kegiatan mencari emas di kawasan terbabit selain keluarga mangsa.

“Sepanjang pengetahuan saya, memang ada kegiatan mendulang emas secara kecil-kecilan di tanah lain milik persendirian.

“Begitupun, emas yang ditemui di kawasan kampung ini dan sekitarnya tidak banyak. Sebaiknya hidari perbuatan tersebut yang bukan sahaja menyalahi undang-undang malah bahayakan keselamatan diri,” katanya.

Sebelum ini, Mohd. Johari yang juga perternak lembu maut ditimbus tanah yang dipercayai dikoreknya untuk melombong emas bersama ibubapanya di kawasan belukar berhampiran sebuah kebun getah. – K! ONLINE

Lagi kawasan cari emas di Setiu

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Kawasan pinggir kebun getah yang meragut nyawa seorang penternak lembu Rabu lalu bukan satu-satunya lokasi yang diteroka segelintir penduduk setempat untuk mencari emas di Kampung Air Sejuk di sini.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung Air Sejuk, Kamarudin Mad Nor berkata, sebuah kawasan lain yang terletak berhadapan lokasi insiden telah menjadi tumpuan mendulang emas secara kecil-kecilan sejak lebih enam tahun lalu.

“Kawasan itu hanya dipisahkan dengan Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dengan lokasi yang meragut nyawa mangsa (Mohd. Johari Mohd. Asri) pada Rabu lalu.

“Bezanya, ia merupakan tanah persendirian berbanding lokasi insiden pula rizab jalan yang merupakan milik kerajaan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Kamarudin berkata, berdasarkan pengetahuannya, aktiviti mendulang emas di tanah persendirian itu dilakukan dalam skala kecil dan sekadar menjadi pendapatan sampingan pencarinya.

Beliau berkata, kebanyakan pencari emas itu terdiri daripada golongan kesempitan yang terdesak mencari wang demi menyara hidup.

“Saya difahamkan emas yang diperolehi dalam bentuk debu sahaja. Hasil emas diperolehi tidak lumayan dan sekadar cukup makan mereka sahaja,” ujarnya.

Kosmo! semalam melaporkan Mohd. Johari maut tertimbus di dalam lubang yang digalinya sedalam tiga meter dipercayai untuk mencari emas.

Dalam kejadian pada pukul 5.10 petang itu, mangsa ­berusia 34 tahun yang mencari emas dalam hujan bersama ibu dan bapa tirinya gagal menyelamatkan diri selepas tanah digalinya sedalam kira-kira 3.05 meter tiba-tiba runtuh.

Banjir : Dua PPS dibuka di Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Hujan lebat berterusan sejak semalam menyaksikan dua kawasan masing-masing di daerah ini dan Dungun kembali dilanda banjir.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, setakat ini, dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kasar, Hulu Nerus di sini dan Dewan Orang Ramai Pasir Raja, Dungun.

“Seramai empat mangsa daripada satu keluarga ditempatkan di PPS SK Kasar di sini.

“Dewan Orang Ramai Pasir Raja pula setakat ini menempatkan 17 mangsa daripada empat keluarga,” katanya di sini hari ini.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, langkah berjaga-jaga telah diambil memandangkan hujan masih turun dengan lebat di kebanyakan tempat di negeri ini. – K! ONLINE