Translate

Tuesday, December 8, 2020

Gerai jual sarapan RM1 diserbu

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Sebuah gerai yang menjual semua menu sarapan dengan harga RM1 menjadi tumpuan ramai di Kampung Tasek Padang Kabar, Bukit Payong di sini pada setiap pagi.

Inisiatif Nurul Hidayu Zulkifli, 34, yang membuka gerai berkenaan sejak 14 Oktober lalu menarik ramai pelanggan termasuk dari bandar raya Kuala Terengganu.

Beliau berkata, semua 55 jenis makanan sarapan pagi seperti nasi goreng, bihun goreng, nasi lemak, pulut kuning, mi goreng dan kuih-kuih yang dijual di ge­rainya berharga RM1.

“Saya bermula dengan enam jenis makanan pada 14 Oktober lalu sehingga kini telah meningkat kepada 55 jenis selepas menerima sambutan baik daripada pelanggan.

“Gerai ini dibuka pukul 7 pagi setiap hari dan biasanya semua makanan sarapan yang dijual akan habis dalam tempoh kurang dua jam,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Nurul Hidayu berkata, beliau menjual semua makanan sarapan pagi dengan harga RM1 yang dianggapnya berpatutan dan mampu dibeli orang ramai tanpa mengira status ekonomi mereka.

Tambah beliau, inisiatifnya juga diharap dapat membantu masyarakat yang rata-ratanya terkesan dengan penularan Covi­d-19 untuk mendapatkan sarapan bagi ahli keluarga masing-masing.

“Alhamdulillah, saya masih mendapat keuntungan. Selalu juga saya memberi kuih secara percuma kepada pelanggan sebagai sedekah,” ujarnya.

Salah seorang pelanggan, Nuriah Hussain, 55, berkata, dia sanggup memandu kereta sejauh kira-kira 13 kilometer dari rumahnya di Kampung Hiliran, Kuala Terengganu untuk membeli sarapan di gerai Nurul Hidayu.

“Hampir setiap pagi, saya akan keluar rumah pada pukul 6.30 pagi untuk menjadi antara pelanggan terawal.

“Jika terlewat, biasanya banyak menu sarapan di gerai ini akan kehabisan. Harga jualannya berpatutan, dengan RM5 kita boleh membeli untuk seisi keluarga,” jelasnya.

Monday, December 7, 2020

Banjir Terengganu semakin pulih

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Banjir gelombang kedua yang melanda Terengganu sejak seminggu lalu hampir pulih dengan hanya lapan mangsa masih ditempatkan di pusat penempatan sementara (PPS) pada hari ini.

Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana negeri, Che Adam A. Rahman berkata, banjir hanya belum surut sepenuhnya di Merchang, Marang.

“PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang masih menempatkan lapan mangsa daripada tiga keluarga.

“Mangsa tersebut merangkumi enam dewasa termasuk dua warga emas selain dua kanak-kanak perempuan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Che Adam berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia telah menamatkan amaran cuaca kuning atau waspada yang sebelum ini telah diramalkan di kebanyakan tempat di negeri ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, banjir yang melanda pedalaman Kemaman pada Jumaat lalu telah menyebabkan kemusnahan besar kepada penduduk terlibat.

“Hujan lebat berterusan telah menyebabkan semua aliran sungai berhampiran tepu pada jangka masa pendek seterusnya membawa lumpur tebal menenggelami rumah penduduk,” katanya.

Banjir gelombang kedua yang melanda Terengganu mulai 23 November lalu telah menjejaskan lebih 1,500 penduduk di semua daerah di negeri ini kecuali Hulu Terengganu. – K! ONLINE

1,041 masih terjejas banjir di Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Mangsa banjir di Terengganu menurun kepada 1,041 orang melibatkan tiga daerah iaitu Kemaman, Dungun dan Marang.

Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, penurunan itu disebabkan penutupan beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di Kemaman seperti Balai Raya Kampung Teladas malam tadi.

“Begitupun, Kemaman masih daerah paling terjejas dengan 897 mangsa banjir daripada 229 mangsa ditempatkan di lapan PPS.

“Situasi banjir di Dungun dan Marang pula tidak banyak berubah berbanding semalam,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Che Adam berkata, seramai 130 mangsa daripada 35 keluarga yang merupakan penduduk Kampung Pasir Raja, Kampung Shukor dan Kampung Minda.

Menurutnya, Marang masih mempunyai sebuah PPS iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang yang menempatkan 14 mangsa daripada lima keluarga. – K! ONLINE