Translate

Wednesday, February 8, 2017

TLHT mudah jinakkan Blue Warriors

PASUKAN Hoki Wanita Terengganu (TLHT) membuktikan status sebagai pasukan pilihan dalam saingan Liga Hoki Wanita Malaysia 2017 selepas mudah menundukkan Blue Warriors 3-0 di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu semalam.

TLHT yang dibarisi 10 pemain kebangsaan mendahului seawal minit kelapan menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Nuraini Abdul Rashid.

Blue Warriors yang merupakan naib juara musim lalu bolos buat kali kedua menerusi jaringan padang Fazillah Sylvester Silin pada minit ke-23.

Penjaga gawang pasukan itu yang dikawal penjaga gol kebangsaan, Mas Huzaimah Md. Azizi tewas buat kali ketiga selepas gagal menyelamatkan pukulan sudut penalti Hanis Nadiah Onn pada minit ke-25.

Tersentak ketinggalan dengan tiga gol, Blue Warriors yang dibarisi lima pemain kebangsaan telah mengemaskan semula rentak permainan mereka namun setiap serangan yang cuba dilancarkan mudah dipatahkan barisan pertahanan TLHT sehingga tamat permainan.

Jurulatih TLHT, Mohd. Asari Abd. Aziz berkata, kemenangan dengan Blue Warriors yang merupakan pesaing terkuat dalam liga telah meningkatkan motovasi mereka untuk merampas kejuaraan pada kemunculan kali pertama pasukan itu dalam Liga Hoki Wanita Malaysia.

"Sebelum perlawanan, kami telah melakukan 'kerja rumah' dengan mengkaji corak pemainan pasukan lawan dan anak  buah saya berjaya menerapkan taktik yang di susun pada aksi hari ini (semalam)," katanya ketika ditemui Kosmo! selepas tamat perlawanan.

MB Terengganu jatuh kuda

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Malang tidak berbau. Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman mengalami kecederaan ringan akibat terjatuh daripada kuda di Pusat Equestrian Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku sewaktu beliau sedang menunggang seekor kuda untuk aktiviti riadah di pusat ekuestrian tersebut pada pukul 10.30 pagi.

Ahmad Razif telah dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur sejurus kejadian dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, kecederaan yang dialami Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Takir itu tidak berapa serius.

Begitupun, beliau masih menerima rawatan di wad hospital swasta terbabit dan memerlukan pengawasan pakar perubatan sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam.

Berikutan perkembangan ke­sihatan Ahmad Razif tersebut, semua program yang melibatkan beliau termasuk solat sunat Dhuha berjemaah dan majlis Ucapan Negeri yang dijadualkan pada pukul 8 pagi dan 9 pagi hari ini terpaksa ditangguhkan.

Sebelum ini, difahamkan beliau berada di ibu negara untuk merasmikan program Pasar Percuma untuk anak Terengganu di perantauan yang diadakan di Kampung Baru, Kuala Lumpur kelmarin.

Sementara itu, Ahmad Razif memberitahu, beliau telah dinasihatkan oleh pakar perubatan yang merawatnya agar berehat selama beberapa hari.
“Alhamdulillah saya cuma mengalami kecederaan ringan dan kini menjalani sesi fisioterapi.

“Terima kasih kepada sahabat dan seluruh masyarakat yang mengambil berat serta mendoakan keselamatan saya,” katanya menerusi laman Facebook
rasminya.

Ahmad Razif sememangnya meminati sukan berkuda seperti juga kerabat diraja Terengganu.

Beliau pernah memenangi Kejohanan Piala Yang Dipertuan Muda Terengganu bagi kategori golongan Orang Kenamaan yang diadakan di Taman Kuda Lasak Antarabangsa Terengganu, Lembah Bidong, Setiu pada Oktober lalu.

Tuesday, February 7, 2017

KPDNKK Terengganu rampas 377 berus cat bulu babi

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 377 berus cat yang disyaki diperbuat daripada bulu babi telah dirampas penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam operasi yang diadakan di empat daerah di Terengganu hari ini.
Pengarah KPDNKK Terengganu, Azlan Abdul Samad berkata, kesemua berus cat terbabit yang dianggarkan bernilai RM2,768 itu dirampas dalam pemeriksaan di tiga premis perkakasan iaitu dua di Kemaman dan sebuah di Dungun.
"KPDNKK Terengganu telah melancarkan Ops Kesan Berus Bulu Babi bagi mengesan penjualan terbuka berus cat yang dipercayai diperbuat daripada bulu babi tanpa sebarang label ditetapkan.
"Operasi ini dilakukan di 19 premis perkakasan dan peralatan pembinaan di empat daerah di negeri ini iaitu Kuala Terengganu, Besut, Dungun dan Kemaman," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE