Translate

Sunday, January 15, 2017

Pengguna LPT2 gempar dengan kehadiran tapir

KUALA TERENGGANU - Tidak sampai seminggu selepas seekor harimau dewasa dilihat bersidai di tepi Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Bukit Besi, Dungun, pengguna lebuh raya itu hari ini sekali lagi dikejutkan pula dengan kehadiran seekor tapir.
Tapir dewasa itu dijumpai berkeliaran di laluan LPT2 arah utara menghala Kuala Terengganu berhampiran susur keluar Kijal, Kemaman pada pukul 7.32 malam.
Kelibatnya yang tidak menghiraukan kenderaan yang lalu-lalang telah menarik perhatian beberapa pengguna lebuh raya terbabit yang terpaksa berhenti bagi memastikan keselamatan haiwan terancam terbabit.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) Terenggganu, Mohd. Hasdi Husin berkata, beliau telah mengarahkan anggota agensi itu menyiasat insiden sebaik mengetahuinya pada pukul 9 malam hari ini.
"Berdasarkan maklumat awal daripada anggota Perhilitan negeri cawangan Kemaman, tapir terbabit didapati telah kembali memasuki kawasan hutan berhampiran lokasi terbabit tidak lama kemudian.
"Begitupun kita akan meningkatkan pemantauan bagi memastikan insiden sama tidak berulang pada masa terdekat," katanya yang dihubungi Kosmo! di sini.
Hasdi berkata, kelibat tapir memasuki LPT2 dari hutan berhampiran memang kerap terjadi dan sejak tahun 2012, tujuh ekor haiwan terancam itu telah mati dilanggar sewaktu melintas di lebuh raya terbabit.
Kosmo! 7 Januari lalu melaporkan pengguna LPT2 gempar selepas seekor harimau dijumpai berehat di kawasan semak di KM354.3, LPT2 berhampiran Bukit Besi.
Haiwan terancam itu dipercayai keluar daripada habitatnya di Hutan Simpan Jerangau yang dilanda banjir. - K! ONLINE

Saturday, January 14, 2017

Pelajar tingkatan lima mati lemas

DUNGUN - Kegirangan 10 remaja bermandi-manda di Tasik Puteri, Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Bukit Besi dekat sini hari ini berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut akibat lemas.
Muhammad Ishaqnur Abd. Latiff, 17, yang dikatakan tidak tahu berenang tenggelam ke dasar Tasik Puteri bertindak terjun dari tebing tasik berkenaan pada pukul 10.20 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat AMBS, Jas Wari Awang@Muhamad berkata, sepasukan anggota bomba telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berhubung kejadian lemas itu kira-kira 13 minit kemudian.
"Skuad penyelam bomba berjaya menemui mayat mangsa yang merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Dungun di sini pada pukul 12.42 tengah hari," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

KLHC pertahan Piala Sumbangsih empat kali berturut-turut


KUALA TERENGGANU - Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) mempertahankan Piala Sumbangsih buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan musuh tradisi, Pasukan Hoki Terengganu (THT) 6-5 menerusi penentuan pukulan penalti shoot out di Stadium Hoki Batu Burok di sini sebentar tadi.
Terdahulu, kedua-dua pasukan mencatat seri 2-2 pada 45 minit penuh perlawanan.
Keputusan itu membolehkan KLHC dan THT berkongsi satu mata pada perlawanan pertama Divisyen Primier Liga Hoki Malaysia tersebut.
KLHC mendahului hasil jaringan Muhammad Noor Faeez Ibrahim menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-31.
Dua minit kemudian, THT berjaya menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan padang penyerang kebangsaan, Faizal Shaari.
KLHC kembali mendahului menerusi gol padang oleh Muhammad Umar Butta pada minit ke-51 sebelum disamakan tuan rumah menerusi pukulan sudut penalti Jang Jobghyun pada minit ke-56.
Piala Sumbangsih tersebut disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail. - K! ONLINE