Translate

Friday, December 9, 2016

Radar ATC Pangkalan Udara Butterworh dinaik taraf

BESUT - Radar Kawalan Trafik Udara (ATC) Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang akan dinaik taraf pada tahun depan.
Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Roslan Saad berkata, projek menaik tarak terbabit bertujuan untuk menyelesaikan isu penurunan prestasi radar sedia ada.
"Projek menaik taraf (radar) ini dapat meningkatkan mutu perkhidmatan kawalan trafik udara kepada semua penerbangan awam dan tentera di negara ini.
"Ia dijangka bermula pada bulan depan dan dijangka siap sepenuhnya dalam jangka masa 12 bulan iaitu Disember tahun depan," katanya selepas melancarkan Pusat Servis Teknikal Sukhoi di Pengkalan Udara Gong Kedak, Jertih dekat sini hari ini. - K! ONLINE

Thursday, December 8, 2016

2 pencari kayu mati ditimpa pokok

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SETIU – Dua pencari kayu maut selepas khemah sementara tempat mereka berteduh dipercayai dihempap pokok di Bukit Layat, Kuala Nerus dekat sini semalam.

Kejadian yang menimpa Khairullah Samad, 22, dan Mohd. Zuki Ismail, 39, disedari beberapa pencari kayu lain pukul 2 petang.

Abang Khairullah, Mahassan, 59, berkata, dia mengetahui nasib menimpa adik bongsunya dan Zuki pada pukul 3 petang.

“Adik saya dan rakannya memasuki hutan Bukit Layat, Kuala Nerus untuk mencari kayu bagi membuat perabot kelmarin (Jumaat lalu).

“Dia bekerja mencari kayu di hutan berkenaan sejak lebih setahun lalu dan bermalam sekurang-kurangnya dua malam,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Bukit Larat di sini semalam.

Mahassan berkata, dia difahamkan khemah sementara yang dibina Khairullah dan Zuki dihempap pokok yang tumbang dipukul ribut.

Dia berkata, kedua-dua mangsa dipercayai sedang berehat di dalam khemah sementara itu.

Khairullah berasal dari Kampung Bukit Layat manakala Mohd. Zuki menetap di Kampung Bintang dekat sini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mohd. Izani Zakaria berkata, sembilan anggota dari balai bomba dan penyelamat telah pergi ke lokasi terbabit dengan menaiki sebuah bot.

“Usaha untuk membawa keluar kedua-dua mangsa dari kawasan hutan itu sedang diusahakan.

“Perjalanan ke lokasi terbabit memakan masa kira-kira dua jam dengan menaiki bot dan berjalan kaki dari Kampung Bukit Layat di sini,” katanya.

Wednesday, December 7, 2016

TUDM miliki STC untuk Sukhoi di Pengkalan Udara Gong Kedak

BESUT - Pusat Servis Teknikal (STC) Sukhoi yang pertama di negara ini bernilai RM72 juta dibuka di Pengkalan Udara Gong Kedak dekat sini hari ini.
Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia, Jeneral Tan Seri Roslan Saad berkata, bangunan STC tersebut akan difungsi sebagai ruang untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan pesawat pejuang Sukhoi milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
"STC yang siap sepenuhnya 6 Disember lalu dapat memberi ruang penyelenggaraan barisan kedua yang komprehensif dan efektif kepada Sukhoi.
"Sebelum ini kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan Sukhoi milik TUDM dilakukan di Hangar No. 11 yang dikongsi dengan Aerospace Technology Corporation Sdn. Bhd. (ATSC)," katanya ketika melancarkan Pusat Servis Teknikal Sukhoi di Pengkalan Udara Gong Kedak, Jertih dekat sini hari ini. - K! ONLINE