Translate

Monday, October 31, 2016

Azizulhasni, Fatehah Duta Tahun Melawat Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Dua atlet berbasikal negara, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustafa dilantik sebagai Duta Tahun Melawat Terengganu 2017.
Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, pemilihan Azizulhasni dan Fatehah yang masing-masing kelahiran Dungun dan Hulu Terengganu itu mampu mempromosikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan menarik di luar negara.
"Kita serba maklum Azizulhasni dan Fatehah sering menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa.
"Mereka dapat mempromosi Tahun Melawat Terengganu 2017 menerusi pemakaian jersi dan pengibaran bendera pada setiap pertandingan itu," katanya di sini hari ini. - K! ONLINE

Sunday, October 30, 2016

Fenomena rumpai laut merah jambu gemparkan penduduk

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS - Penduduk Kampung Tanjung Gelam, Mengabang Telipot di sini gempar dengan fenomena rumpai laut berwarna merah jambu yang ditemui terdampar di sepanjang pantai perkampungan tersebut sejak kelmarin.
Kehadiran puluhan kilogram rumpai laut yang mengeluarkan bau hanyir itu kira-kira 100 meter di sepanjang pantai berkenaan telah mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penduduk kampung berkenaan.
Seorang penduduk, Habsah Muda, 53, berkata, dia dan beberapa penduduk kampung mula menyedari lambakan rumpai laut terbabit pada pukul 12 tengah hari, Jumaat lalu.
"Pada mulanya, kami ingatkan ia sekadar timbunan sampah yang dibawa oleh ombak laut namun bau hanyir yang dikeluarkan oleh objek itu telah menarik perhatian kami.
"Setelah diamati rupa-rupanya ia rumpai laut yang berwarna merah jambu dan warnanya akan bertukar kepada merah apabila kering. Kuantitinya semakin banyak terdampar di sepanjang pantai mulai awal pagi tadi," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE

Pelajar PSMZA sertai kem 
ikhtiar hidup

LASAK. Seramai 130 pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) menyertai Kem Ikhtiar Hidup Muslim di Sungai Loh, Pasir Raja, Dungun, Terengganu baru-baru ini.

Penyelaras program itu, Wan Zaimi Wan Yusof berkata, kem yang dianjurkan Jabatan Pengajian Am PSMZA dengan kerjasama Kelab Peminat Pacuan Empat Roda Dungun itu bertujuan untuk meningkat keterampilan diri dan menggilap bakat kepimpinan dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata, sepanjang kem tersebut, peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti ikhtiar hidup di dalam hutan seperti pemasangan pukat di dalam sungai, penyembelihan ayam dan mencari arah kiblat.