Translate

Thursday, December 31, 2015

Pemandu van dipenjara 12 tahun, 2 sebatan rogol gadis lembam

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu van dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati atas dua pertuduhan merogol seorang pelajar perempuan lembam berusia 16 tahun 3 bulan pada tahun lalu.
Hakim Zulqarnain Hassan memerintahkan Ser Kim Joo, 51, menjalani hukuman tersebut selepas pihak pembelaan gagal menyangkal kes prima facie yang telah dikemukakan pihak pendakwaan.
Berdasarkan pertuduhan, Kim Joo didakwa melakukan perbuatan memperkosa mangsa di rumahnya di sebuat flat di Gombak Setia di sini pada 22 November dan 29 November 2014.
Tertuduh merupakan pemandu van yang diupah oleh ibu mangsa untuk membawa gadis lembam tersebut ke pusat tuisyen berhampiran. - K! ONLINE

Jurujual telefon bimbit tipu pelanggan didenda RM6,000

KUALA LUMPUR - Seorang jurujual telefon bimbit di Kompleks Kota Raya di sini didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan memperdaya seorang pekerja hotel yang pekak dan bisu dalam urusan jual beli sebuah telefon bimbit pada tiga minggu lalu.
Majistret Muhamad Faizal Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas Liew Wai Chung, 21, mengaku bersalah memperdaya Shamsol Esham Hashim, 41, untuk menyerahkan wang RM400 bagi pembelian sebuah telefon bimbit Samsung Galaxy pada pukul 3 petang, 10 Disember lalu.
Berdasarkan fakta kes, mangsa telah dihalau tanpa dipulangkan wang deposit RM400 setelah mahu membatalkan pembelian apabila tertuduh wang tambahan RM450 bagi urusan jual beli telefon bimbit itu.
Wai Chung didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE

Thursday, December 24, 2015

Pencetus kekecohan dijel, denda

KUALA LUMPUR – Perbuatan seorang penjaga tempat letak kereta menimbulkan kekecohan di Kompleks Kota Raya, Jalan Tun Tan Cheng Lock di sini berhubung pembelian telefon bimbit pada Ahad lalu menerima akibatnya apabila dia dipenjara empat hari dan denda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.
Khairuddin Arbi @ Omar, 38, dari Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor mengaku bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Saifulakmal Ahmad.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Farith Muhammad Faizal manakala tertuduh diwakili peguam, Zulkifli Awang.
Mengikut pertuduhan, Khairuddin didakwa menakutkan secara jenayah lima jurujual sebuah kedai telefon bimbit iaitu Chiaw Wai Kit, 20; Lim Wai Hong, 27; Wong Weng Kong, 23; Liew Wai Chung, 21; dan Yong Haw Nam, 22 dengan mengugut untuk memecahkan premis mereka di tingkat bawah, Kompleks Kota Raya di sini pada pukul 5 petang, 20 Januari lalu.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini yang menerima aduan tentang perbuatan tersebut kemudiannya telah bertindak menahan tertuduh di kawasan tempat letak kereta Jalan Tun Siew Sin di sini pada pukul 8.05 malam iaitu kira-kira tiga jam selepas kejadian.

Khairuddin didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan Khairuddion menjalani penjara tambahan selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh yang masih bujang membayar denda tersebut.

Kosmo! Selasa lalu melaporkan, polis menahan seorang lelaki berusia 38 tahun berhubung insiden kekecohan di sebuah kedai telefon bimbit di Kompleks Kota Raya di sini Ahad lalu.

Suspek merupakan salah seorang daripada 15 individu yang terbabit dalam pergaduhan terbabit.

Pada Ahad lalu, satu klip video berdurasi dua minit dan 30 saat menunjukkan beberapa lelaki bergaduh dengan jurujual di sebuah kedai telefon bimbit menjadi viral di laman sosial.