Translate

Saturday, August 29, 2015

Hampir pasti milik Boeing 777


KUALA LUMPUR – Malaysia hampir pasti serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion dekat Madagascar di Lautan Hindi adalah kepunyaan Boeing 777 sekali gus meningkatkan harapan ia merupakan serpihan daripada pesawat MH370 yang hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal.
Pesawat malang Boeing 777 Penerbangan Malaysia hilang dari radar sewaktu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada Mac 2014 dan menimbulkan misteri terbesar dalam sejarah penerbangan moden.
Usaha mencari yang dike­tuai Australia memberi fokus kepada kawasan di selatan Lautan Hindi berhampiran Australia yang terletak kira-kira 3,700 kilometer dari Pulau Reunion milik Perancis.
Pakar-pakar penerba­ngan yang meneliti gambar-gambar yang tersebar luas berpendapat ia berkemungkinan satu komponen sayap kapal terbang dipanggil fla­peron atau sirip yang terletak berdekatan dengan fiuslaj pesawat.
“Hampir pasti objek itu berasal daripada pesawat Boeing 777 seperti yang diberitahu oleh ketua penyiasat kami,” kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi kepada Reuters.
Ab. Aziz turut memberitahu, satu pasukan dari Malaysia telah digerakkan ke Pulau Reunion.

Tambahnya, ia mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya dua hari untuk membuat pengesahan komponen itu milik MH370.

Seorang sumber yang biasa mengenai perkara itu turut memberitahu Reuters, bahagian itu hampir pasti milik Boeing 777.

Tambahnya, cebisan tersebut kebiasaannya memiliki tanda atau nombor komponen bagi membolehkan ia dikenal pasti kepunyaan siapa.

Sebelum ini, para penyiasat percaya seseorang telah sengaja mematikan transponder MH370 yang majoritinya dinaiki penumpang dari China sebelum melencongkan pesawat itu beribu-ribu kilometer dari laluan asalnya.

Menurut Pengarah Jabatan Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Kamarul Ariffin, serpihan itu ditemui dalam keadaan utuh dan mudah dikenal pasti kerana tiada lumut-lumut tebal di atasnya.

Tambahnya, jika ia sah serpihan Boeing 777, kemungkinan ia milik MH370 adalah sangat tinggi kerana hanya pesawat itu yang dilaporkan terhempas di Lautan Hindi sejak pesawat itu dilancarkan pada tahun 1995.

"Tidak mustahil cebisan pesawt MH370 sampai ke kawasan tersebut kerana kejadian ini sudah setahun berlalu," katanya.

Dalam pada itu, seorang konsultan keselamatan penerbangan dan bekas penyiasat nahas udara dari Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB), Greg Feith berkata, sumber Boeing memberitahu objek berkenaan adalah milik Boeing 777.

Katanya, sama ada ia merupakan MH370 ataupun tidak masih tidak dapat dijelaskan.

"Bagaimanapuin, kami tidak pernah kehilangan mana-mana pesawat Boeing 777 di kawasan tersebut," kata Feith.

Pakar oceanagrafi berkata, arus yang berpusar kuat boleh menghanyutkan bangkai MH370 hingga beribu-ribu kilomerter dari tempat ia dipercayai terhempas iaitu di selatan Lautan Hindi.

520 graduan FIM terima diploma, sijil


TAULIAH. Seramai 520 graduan Institut Makanan Malaysia (FIM) menerima diploma dan sijil masing-masing pada majlis Konvokesyen FIM ke-13 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Majlis penyerahan diploma dan sijil itu telah disempurnakan oleh Penasihat FIM, Moh Johari Edus yang juga cef selebriti terkenal tanah air.
Moh Johari yang lebih dikenali sebagai sebagai Chef Jo berkata,graduan institut tersebut khususnya dalam bidang Seni Kulinari, Pastri dan Bakeri, Pengurusan Perkhidmatan Makanan, Pengurusan Hotel dan Pengurusan Pelancongan sentiasa mendapat permintaan yang tinggi daripada pihak industri.

Thursday, August 27, 2015

12,000 bakal meriahkan larian marathon anjuran BSN


KUALA LUMPUR - Seramai 12,000 peserta termasuk dari luar negara telah mengesahkan penyertaan dalam Larian Marathon Malam Putrajaya Bank Simpanan Nasional (BSNPNM) yang dijadual berlangsung pada 24 Oktober depan.

Timbalan Ketua Eksekutif (Sokongan Korporat), Siew Kin Meng berkata, penyertaan itu melebihi 20 peratus daripada tahun lalu.

Antara peserta yang telah menyerahkan penyertaan termasuk dari Australia, Brunei, Ireland, Amerika Syarikat, Britain, Singapura, New Zealand dan Kenya.

“Sambutan terhadap BSNPNM yang telah memasuki tahun kelima penganjuran amat memberangsangkan dan kita mencapai sasaran penyertaan maksimum iaitu sebanyak 12,0000 hanya dalam tempoh 10 hari pendaftaran dibuka mulai 22 Jun lalu.

“Buat pertama kalinya, kategori baharu iaitu Larian Bersinar akan diperkenalkan bagi memeriahkan lagi satu-satunya kejohanan marathon yang diadakan pada waktu malam di negara ini,” katanya selepas memperkenalkan logo baharu BSNPNM di Wisma BSN di sini semalam,

Turut hadir Ketua Komunikasi Strategik BSN, Puspa Marina Omar dan Pengarah Twenty First Century Sports, V. Nithiaseelan.

Kin Meng berkata, setiap 2,500 peserta yang menyertai Larian Bersinar tersebut masing-masing bakal menerima cermin mata bersinar, tali kasut bersinar dan batang plastik bersinar yang akan digunakan sepanjang perlumbaan marathon sejauh lima kilometer tersebut.

Menurut beliau, kategori lain yang turut dianjurkan ialah Marathon Penuh sejauh 42 kilometer (km), Separuh Marathon (21 km) dan Larian Tanggungjawab Sosial Korporat (10 km) yang masing-masing menawarkan ganjaran wang tunai dari RM10,000 hingga RM500.

“Setiap peserta BSNPNM turut dilindungi oleh insurans oleh Gibraltar BSN Life Berhad sepanjang penglibatan mereka dalam kejohanan berkenaan. Kejohanan ini juga mendapat sokongan penajaan daripada General Nutrition Corporation (GNC), minuman isotonik, 100 Plus, Brooks Running Malaysia dan Perbadanan Putrajaya.

“Sementara itu, yuran penyertaan daripada kategori badan korporat bakal disumbangkan kepada empat jabatan pediatrik Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Selayang,” katanya.