Translate

Saturday, May 30, 2015

PM lancar Tabung Amanah Felcra

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan pelancaran Tabung Amanah Peserta Felcra dengan modal permulaan sebanyak RM10 juta.
Beliau berkata, tabung itu yang diuruskan oleh Permodalan Felcra Sdn. Bhd. diwujudkan bagi membantu peserta Felcra yang mengalami masalah modal pusingan berikutan tanah mereka bersaiz kecil dan kurang berdaya maju.
“Setiap tahun Felcra Berhad akan menyuntik dana (modal tambahan) sekurang-kurangnya RM5 juta. Lebih banyak keuntungan, lebih banyak suntikan (dana),” katanya ketika berucap melancarkan projek pembangunan Menara Felcra di Jalan Sultan Yahya Petra di sini semalam.
Hadir sama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Pengerusi Felcra, Datuk Bung Moktar Radin dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Ramlee Abu Bakar.
Majlis pelancaran projek pembangunan Menara Felcra di tanah seluas 1.73 hektar itu turut dimeriahkan dengan kehadiran 5,000 peserta Felcra dari seluruh negara.
Najib berkata, bangunan korporat Felcra yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2018 itu bakal menjadi hab untuk syarikat berkaitan kerajaan tersebut memasarkan produk-produk luar bandar ke pasaran global.
Beliau juga menjelaskan hasil keuntungan daripada projek pembinaan Menara Felcra itu akan dipulangkan untuk manfaat pesertanya yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat luar bandar.
Dalam pada itu, Bung Moktar memberitahu, Menara Felcra ber­kenaan mengandungi pejabat setinggi 35 tingkat dan kondominium servis setinggi 43 tingkat selain turut menempatkan pusat beli-belah, dewan auditorium dan banquet.
“Pusat komersial itu akan mengandungi empat tingkat yang boleh menampung 80 unit kedai manakala 480 unit kondominium servis bakal dibina dengan keluasan dari 73.39 meter persegi hingga 125.42 meter persegi,” katanya.

Friday, May 29, 2015

Felcra buka ladang Harumanis di Perlis

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR - Felcra Berhad (Felcra) akan memperluas cabang perniagaan peladangan bukan komoditi dengan menceburi penanaman buah mangga Harumanis di Perlis melibatkan pelaburan sebanyak RM5 juta.

Pengerusinya, Datuk Bung Moktar Radin berkata, ladang variasi mangga yang dianggap sebagai emas oleh penduduk utara tanah air itu akan dibina di tanah milik milik Felcra seluas 40.5 hektar di Lubuk Sireh, Padang Besar.

"Tanah tersebut didapati sudah kurang berdaya saing untuk penanaman kelapa sawit. Oleh itu, kami memutuskan untuk menukarkannya kepada penanaman pokok mangga Harumanis yang lebih memberi pulangan tinggi," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Bung Moktar berkata, Felcra telah bekerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) bagi pembukaan ladang tersebut yang dijangka bakal bermula selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Katanya, ladang mangga Harumanis itu bakal menggunakan teknologi pertanian dari Unimap dan dijangka mampu mengeluarkan hasil dalam tempoh dua tahun berbanding empat tahun pada kebiasaannya.

"Felcra menjangkakan bakal menerima pulangan besar daripada pelaburan tersebut memandangkan permintaan tinggi buah mangga terbabit di pasaran tempatan dan antarabangsa," ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, Bung Moktar memberitahu, Felcra juga akan melancarkan projek penghasilan madu lebah kelulut melibatkan pelaburan RM280,000 di lokasi penanaman mangga Harumanis itu.

Felcra giat bangunkan projek hartanah untuk kukuhkan syarikat

KUALA LUMPUR - Felcra Berhad (Felcra) akan membina bangunan korporat baharu yang turut mengandungi 450 unit kondominium dan premis rumah kedai di Jalan Semarak di sini merupakan salah satu pelaburan dalam sektor hartanah.
Pengerusinya, Datuk Bung Moktar Radin berkata, pendekatan mempelbagaikan cabang perniagaan termasuk memasuki bidang pembangunan hartanah itu merupakan strategi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu yang kini tidak mahu bergantung semata-mata terhadap peniagaan teras iaitu peladangan kelapa sawit dan getah.

"Pembinaan bangunan korporat baharu yang dianggarkan menelan belanja RM650 juta itu bukan sahaja dapat meningkatkan untuk imej Felcra malah mampu mengukuhkan kedudukan kami sebagai salah sebuah GLC yang berdaya maju.

"Selain pembinaan Menara Felcra di tanah seluas 1.73 hektar di Jalan Semarak itu, beberapa tanah milik kami di Melaka, Gombak dan Langkawi akan turut dibangunkan dalam sektor hartanah sepanjang tahun ini dan tahun hadapan," katanya pada sidang akhbar prapelancaran Menara Felcra di Wisma Felcra, Setapak Jaya di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Ramlee Abu Bakar dan Ketua Pegawai Pelaburan agensi itu, Zulkarnain Md. Eusope.

Bung Moktar berkata, Felcra juga bakal membangunkan tanah milik mereka seluas 34.43 hektar di Seri Mendapat, Merlimau, Melaka bagi pembangunan hartanah bercampur yang mengandungi 800 unit rumah mampu milik dan rumah kedai.

Selain itu, beliau memberitahu, pihaknya turut akan membina kira-kira 600 rumah mampu milik dan kos sederhana di tanah milik Felcra di Gombak, Selangor dan sebahagian daripadanya dikhususkan kepada kakitangan GLC itu yang masih belum memilik kediaman sendiri.