Translate

Monday, September 2, 2024

25,181 peluang pekerjaan Karnival Kerjaya MyFutureJobs Terengganu diisi

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Lebih 80 peratus peluang pekerjaan yang ditawarkan menerusi Karnival Kerjaya MyFutureJobs anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu sejak tahun 2020, berjaya diisi pencari kerja negeri itu.

Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, sebanyak 25,181 daripada kira-kira 30,000 penempatan pekerja yang ditawarkan menerusi karnival berkenaan berjaya dipadankan sepanjang tempoh tersebut.

“Peluang kerja ditawarkan merangkumi pembantu am hingga kumpulan profesional dan berkemahiran tinggi dengan gaji maksimum mencecah RM6,000 sebulan.

“Berdasarkan perangkaan portal MyFutureJobs Perkeso, setakat ini masih terdapat 1,755 kekosongan jawatan yang masih aktif di Terengganu,” katanya selepas memantau Karnival Kerjaya MyFutureJobs peringkat Terengganu, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Farihah memberitahu, karnival kerjaya terbaharu selama dua hari yang berakhir semalam tersebut menawarkan 4,300 peluang pekerjaan melibatkan 65 majikan.

Beliau berkata, antara majikan terlibat ialah Terengganu Silica Malaysia, Sogo KL, Hospital Pakar Salam, Malaysia Rail Link dan Puspakom Sdn. Bhd.

“Buat julung kalinya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menyertai Karnival Kerjaya MyFutureJobs. TUDM menawarkan 700 penempatan sebagai Perajurit Muda bagi belia berusia 18 hingga 25 tahun,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Dua atlet terjun wanita Terengganu dipertimbangkan terima insentif Sukma

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Dua atlet wanita yang menimbulkan kontroversi menyertai acara terjun dalam Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak tanpa kebenaran kerajaan negeri Terengganu tetap dipertimbang untuk menerima insentif ekoran kejayaan merangkul dua pingat gangsa.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semua atlet Terengganu termasuk Uzlifatil Jannah Ashraf dan Ilyssa Ixora Imran yang meraih pingat pada Sukma Sarawak layak dipertimbangkan untuk menerima insentif yang akan ditentukan kelak.

“Inisiatif tetap ada, saya akan tunggu laporan penuh (prestasi Kontinjen Terengganu) sebelum buat keputusan.

“Ini juga termasuk apa diperoleh pihak yang menghantar (atlet terjun wanita) tanpa melalui kerajaan negeri,” katanya selepas mengiringi Yang diPertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan merasmikan program pembersihan Pantai Batu Burok di sini semalam.

Ahmad Samsuri berkata, bentuk insentif terbabit akan ditentukan selepas kerajaan negeri Terengganu menerima laporan penuh prestasi kontinjen negeri dalam temasya sukan dwitahunan tersebut.

Kosmo! hari ini melaporkan penyertaan Uzlifatil Jannah dan Ilyssa Ixora mewakili Terengganu dalam Sukma Sarawak mencetus polemik kerana tidak mematuhi pemakaian patuh syariah ditetapkan untuk atlet negeri itu.

Wakil PRAT kemudiannya membuat permohonan maaf kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Karim atas kesilapan menghantar atlet terjun wanita beragama Islam tanpa pengetahuan dan kebenaran kerajaan negeri.

Biarpun dilanda kontroversi, Uzlifatil Jannah dan Ilyssa Ixora tetap cemerlang meraih dua pingat gangsa dalam acara
10 meter platform seirama wanita dan satu meter papan anjal.

Dalam pada itu, kontinjen Terengganu mencatat prestasi terburuk dalam tempoh 16 tahun penyertaan dalam Sukma apabila sekadar berada pada kedudukan kelima terbaik dengan pungutan 41 emas, 36 perak dan 47 gangsa. – KOSMO! ONLINE

Hujan lebat di Terengganu, elak mandi air terjun cuti Hari Merdeka

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu telah bersiap sedia untuk mengawasi kawasan riadah air khususnya pantai peranginan dan air terjun seluruh negeri ini yang dijangka menerima lambakan pengunjung pada cuti Hari Kebangsaan pada hujung minggu ini.

Pengarah APM Terengganu, Mohd. Zul Khairi Shamsuddin berkata, anggota agensi itu akan ditempatkan di lokasi berisiko khususnya Besut, Marang dan Setiu.

“Anggota APM akan memantau dan menasihatkan pengunjung yang dilihat terlampau leka bagi mengurangkan kes kecelakaan.

“Sebenarnya kawasan air terjun dan pantai negeri ini kurang sesuai dikunjungi pada waktu ini memandangkan hujan lebat kerap melanda terutama pada waktu petang dan malam,” katanya sewaktu menghadiri program sambutan Hari Kebangsaan ke-67 bersama Hotel Raia Kuala Terengganu di sini hari ini.

Mohd. Zul Khairi menasihatkan pengunjung mengelak kawasan air terjun di sekitar Terengganu yang berisiko berlaku fenomena kepala air ekoran cuaca tidak menentu pada masa ini.

Tambah beliau, ibubapa juga dinasihatkan mengawasi anak-anak mereka sewaktu mandi di kawasan pantai di negeri ini.

“Saya minta orang ramai agar tidak beriadah di kawasan pantai yang dikibarkan bendera merah sepanjang musim cuti ini.

“Pantai itu tidak selamat kerana berisiko untuk kejadian ribut, air pasang dan ombak besar pada musim hujan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE