Translate

Monday, September 2, 2024

Karnival Jualan Agro Madani Mega raih jualan RM2.46 juta

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Karnival Jualan Agro Madani Mega anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang diadakan di empat lokasi seluruh negara pada tahun ini dijangka menjana jualan melebihi RM2.46 juta.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, tiga penganjuran karnival tersebut sebelum ini di Sook dan Tawau, Sabah dan Perlis berjaya memperolehi jualan RM1.71 juta.

“Kita juga menjangka penganjuran keempat dan terakhir Karnival Jualan Agro Madani Mega peringkat Terengganu yang sedang berlangsung sehingga Ahad ini mampu menjana jualan sekurang-kurangnya RM750,000.

“Karnival yang dijenamakan daripada program Jualan Terus Dari Ladang ini menawarkan produk agro makanan pada skala besar dengan harga sehingga 30 peratus lebih murah daripada pasaran,” katanya selepas merasmikan Karnival Jualan Agro Madani Mega peringkat Terengganu di sini hari ini.

Arthur berkata, penganjuran Karnival Jualan Agro Madani Mega terbukti membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, karnival terbabit juga menawarkan beras putih tempatan dan telur ayam pada harga lebih murah daripada pasaran.

“Selain Karnival Jualan Agro Madani Mega, kita juga menganjurkan program Jualan Agro Madani pada skala kecil yang lebih menyeluruh dan meliputi lokasi termasuk pedalaman di seluruh negara.

“Kita telah menetapkan sasaran menganjurkan 10,000 program Jualan Agro Madani di seluruh negara sehingga Oktober depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Menara berkembar buah limau bali, nangka tarikan FAMA pada MAHA

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Menara berkembar buah-buahan tinggi diperbuat daripada limau bali dan nangka antara tarikan bakal ditampilkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) bermula 11 September depan.

Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, menara berkembar buah-buahan tersebut dijangka akan mendapat pengiktirafan sebagai Malaysia Book of Records (MBOR).

“Menara buah-buahan itu akan dibina di salah satu kluster pameran FAMA iaitu Kingdom of Agro Food.

“Sebahagian besar menara tersebut diperbuat daripada buah limau bali yang dibawa khas dari Tenom, Sabah,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Karnival Jualan Agro Madani Mega peringkat Terengganu di sini hari ini.

Karnival tersebut dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Abdul Rashid berkata, selain Kingdom of Agro Food, FAMA juga akan menampilkan empat kluster lain iaitu Food Empire and Viral, Agro Trade, Food Truck Fiesta dan Rhythm of Farmer sewaktu Maha yang bakal berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang, Selangor.

Tambah beliau, pengunjung berpeluang merasai 1,000 jenis menu dan minuman istimewa dan tular seluruh negara di kluster Food Empire and Viral.

“Food Truck Festa pula menampilkan 20 pengendali trak makanan daripada seluruh negara manakala Agro Trade pula akan memadankan perniagaan produk usawan tani tempatan dengan pengimport luar negara,” katanya.

Abdul Rashid berkata, FAMA menjangkakan mampu meraih jualan RM5 juta menerusi kelima-lima kluster yang bakal ditampilkan pada MAHA tersebut. – KOSMO! ONLINE

Sunday, September 1, 2024

Pembantu kedai makan maut digesel motosikal pelajar

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pembantu kedai makan wanita maut selepas motosikal Yamaha Ego Avantiz dinaikinya bergesel dengan sebuah motosikal ditunggangi seorang pelajar tingkatan enam berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman di sini hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 10.25 pagi itu, mangsa, Mazenah Mamat, 50, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Seorang lagi mangsa, Muhammad Amirul Asyraf Husaini Hussin,18, yang menaiki motosikal jenis Demak DVS pula cedera parah pada beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, Mazenah dikatakan dalam perjalanan ke pusat bandar raya ini dari rumahnya di Kampung Raja Baram, Chendering di sini.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal yang dinaiki Mazenah dikatakan tiba-tiba dihimpit motosikal dinaiki Muhammad Amirul Asyraf Husaini sebelum bergesel.

“Impak kemalangan itu menyebabkan kedua-dua motosikal terjatuh di atas jalan raya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, mayat Mazenah telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, Muhammad Amirul Asyraf Husaini pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama dengan sebuah ambulans. – KOSMO! ONLINE