Translate

Sunday, April 2, 2023

Nelayan dikhuatiri hilang di Sungai Setiu

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seorang nelayan dikhuatiri hilang dipercayai ketika keluar menangkap ikan di Sungai Setiu berhampiran Kampung Mangkuk di sini semalam.

Kehilangan Mohamad Harun, 63, disedari isterinya setelah masih tidak pulang ke rumah walau pun sudah lewat malam.

Wanita itu kemudiannya meminta bantuan penduduk kampung sebelum kehilangan lelaki warga emas berkenaan dimaklumkan kepada pihak berkuasa pada pukul 10.58 malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mohd. Razli Rafaie berkata, penduduk kampung yang membantu mencari Mohamad kemudiannya telah menjumpai sebuah motosikal milik nelayan tersebut berhampiran Jeti Baru Penarik, Kampung Mangkuk di sini.

“Penduduk kampung yang percaya mangsa turun untuk menangkap cuba mencarinya di kawasan sekitar sungai.

“Pencarian kemudiannya berjaya menemukan bot milik mangsa yang dalam keadaan terbalik di seberang sungai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Razli berkata, pasukan mencari dan menyelamat telah ditubuhkan untuk mencari Mohamad.

Tambah beliau, operasi pencarian kini tertumpu di lokasi penemuan bot lelaki warga emas berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Saturday, April 1, 2023

Mahkamah: Abdul Hadi tampil beri keterangan petisyen Parlimen Marang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tampil sebagai saksi ketiga perbicaraan petisyen difailkan Barisan Nasional (BN) bagi membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen Marang di Mahkamah Pilihan Raya Terengganu di sini hari ini.

Ahli Parlimen Marang tersebut memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani yang bersidang sebagai Hakim Pilihan Raya.

Beliau yang ditemui selepas prosiding di luar mahkamah berkata, telah memberi kerjasama baik dengan memberi keterangan selama hampir sejam.

“Tiada apa apa, biasa (dan) saya jawab semua soalan peguam kita (responden), peguam dia (pempestiyen).

“Insya-Allah tidak melibatkan kesalahan undang-undang pilihan raya,” katanya di sini hari ini.

Abdul Hadi mendakwa, petisyen yang dikemukakan BN terengganu itu sekadar perang saraf setelah gagal memenangi kerusi Parlimen Marang pada PRU15 lalu.

Kosmo! 12 Februari lalu melaporkan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu menolak bantahan awal dikemukakan Abdul Hadi untuk membatalkan petisyen keputusan PRU15 bagi Parlimen Marang difailkan calon BN.

Sebelum itu, Badan Perhubungan UMNO Terengganu telah memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. – KOSMO! ONLINE

UniSZA, SMK Seri Nilam terima kemudahan perpustakaan Digital YBR

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan ruang khas perpustakaan digital, Serambi Ilmu Rakyat (SIR) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam, Kuala Terengganu.

Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, pemilihan UNISZA dan SK Seri Nilam bertujuan memudahkan pelajar universiti dan sekolah di Pantai Timur tersebut mengakses maklumat secara digital.

Beliau berkata, universiti dan sekolah terbabit masing-masing menerima set komputer, meja dan 50 kad akses keahlian e-perpustakaan.

“Projek ruang SIR telah bermula pada tahun lalu melibatkan peruntukan RM350,000 setahun untuk langganan dan pangkalan data bahan digital daripada pembekal.

“SMK Seri Nilam merupakan sekolah pertama terlibat dalam projek SIR,” katanya sewaktu menghadiri perasmian ruang SIR UNISZA yang disempurnakan Naib Canselornya, Prof. Dr. Fadzli Adam di sini hari ini.

Syaiful Rizal berkata, sebelum ini. YBR lebih memfokuskan penyediaan ruang SIR tersebut di institusi pengajian tinggi (IPT).

Beliau berkata, YBR berharap ruang tersebut dimanfaatkan pelajar universiti dan sekolah berkenaan untuk menyelesaikan tugasan diberi pensyarah dan guru masing-masing.

“Ruang SIR adalah platform untuk mencari bahan-bahan digital dan informasi terkini untuk pembelajaran mereka.

“Ia menggalakkan pelajar terbabit kerap ke perpustakaan kerana ruang SIR menyediakan hab pendidikan tanpa sempadan,” katanya. – KOSMO! ONLINE