Translate

Saturday, October 1, 2022

Ingatkan asli Terengganu, rupanya batik Siam

Oleh MOHD AZLI ADLAN dan KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU – Pengusaha batik sarung tempatan kini semakin tersepit ekoran produk berkenaan kurang mendapat sambutan susulan lambakan batik dari Thailand yang didakwa mendominasi pasaran negara. 

Lebih mengecewakan, ada segelintir peniaga tamak sanggup memperdaya pelanggan dengan mendakwa batik sarung buatan negara jiran yang dijual mereka kononnya merupakan batik asli Terengganu. 

Yang Dipertua Persatuan Pengusaha-Pengusaha Batik Terengganu, Shafei Ghazali berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut bukan sahaja menjejaskan jualan, malah mencemarkan imej batik sarung asli Terengganu yang popular sejak sekian lama.

 Jelas…

Pulau Redang, Pulau Perhentian bakal nikmati bekalan elektrik 24 jam

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Penantian lebih 20 tahun penduduk dan pengusaha pelancongan di Pulau Redang, Kuala Nerus dan Pulau Perhentian, Besut untuk menikmati kemudahan bekalan elektrik 24 jam bakal berakhir tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, projek pembekalan elektrik 24 jam ke dua pulau peranginan terkenal itu telah diluluskan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (Ketsa) baru-baru ini.

Beliau memberitahu projek Pulau Tenaga Hijau di Pulau Redang dan Pulau Perhentian tersebut dijangka bakal beroperasi sepenuhnya pada tahun 2025.

“Projek Pulau Tenaga Hijau itu akan memberi manfaat kepada hampir 600 pengguna domestik dan 70 pengusaha hotel, resort dan chalet di kedua-dua pulau peranginan terbabit.

“Selain itu, sebanyak 47 pengguna komersial seperti sekolah, rumah kedai, masjid, klinik dan kedai makan turut akan menikmati kemudahan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, kebanyakan pengusaha hotel dan resort di Pulau Redang dan Pulau Perhentian mengambil inisiatif menggunakan generator untuk menikmati bekalan elektrik.

riffin berkata, kerajaan negeri Terengganu cukup memahami situasi dialami pengguna terutama pengusaha hotel dan resort di kedua-dua pulau peranginan berkenaan.

Beliau berkata, antara kekangan terbesar projek tersebut ialah pemasangan kabel fiber optik di dasar laut yang menelan kos terlalu tinggi. – KOSMO! ONLINE

Friday, September 30, 2022

Tidak perlu tergesa-gesa laksana PRU-15

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) disaran tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa pada hujung tahun ini kerana keutamaan harus diberikan bagi menghadapi musibah banjir yang bakal tiba.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau percaya rata-ratanya rakyat juga kurang bersetuju sekiranya perlu mengundi pada musim tengkujuh.

“Lagi pun kebanyakan sekolah yang merupakan pusat mengundi biasanya akan turut digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) buat mangsa banjir.

“Sebahagian besar penjawat awam yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya juga perlu turun padang menguruskan bencana banjir dalam tempoh itu,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan projek pemulihan muara Sungai Dungun di sini hari ini.

Terdahulu, cadangan mengadakan PRU-15 pada tahun ini yang dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet mingguan kelmarin difahamkan mendapat respons berbelah-bahagi.

Sebahagian wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan) Pas dikatakan mahu kerajaan memberi tumpuan kepada pengurusan ekonomi dan banjir terlebih dahulu.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim mencadangkan agar PRU-15 lebih baik diadakan pada tahun hadapan. – KOSMO! ONLINE