Translate

Friday, September 30, 2022

KASA giat laksana persiapan hadapi banjir

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Persiapan menghadapi banjir pada musim tengkujuh bermula bulan November ini sedang giat dijalankan agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, antara persiapan yang sedang dilakukan ialah penyelenggaraan pintu air, pemasangan pam air dan kerja-kerja mendalamkan kawasan takungan air di kawasan berisiko banjir di seluruh negara.

“Kesemua kerja-kerja persiapan terbabit dilakukan di ratusan kawasan-kawasan ‘hotspot’ (berisiko tinggi) banjir yang telah dikenal pasti di seluruh negara.

“Ia bagi memastikan semua aset itu berfungsi dengan baik pada musim tengkujuh nanti,” katanya selepas melancarkan projek pemuliharaan muara Sungai Dungun di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Tuan Ibrahim memberitahu, sebanyak 50 empangan sabo sedang dibina secara berperingkat di kawasan berisiko berlaku kejadian kepala air di seluruh negara.

Jelas beliau, empangan itu kelak akan berfungsi sebagai penahan puing termasuk bongkah batuan dan kayu selain melambatkan aliran air sekiranya berlaku fenomena kepala air di kawasan terlibat.

“Ia bertujuan untuk mengurangkan impak kepala air yang dikhuatiri bakal menjejaskan keselamatan pengunjung atau penduduk setempat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Bot nelayan Vietnam ceroboh perairan negara dimusnahkan APMM

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sebuah bot nelayan Vietnam yang telah dilucut hak selepas menceroboh perairan negara pada tahun lalu dilupuskan oleh Maritim Malaysia (APMM) hari ini.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Terengganu, Ariffin Ghazali berkata, bot nelayan asing itu dilupuskan dengan dihancurkan komponennya.

Beliau menjelaskan, prosedur melupuskan secara dihancurkan itu dilaksanakan bagi bot nelayan asing beratnya di bawah 70 tan berdaftar kasar (GRT) yang tidak sesuai dijadikan tukun tiruan.

“Sebelum ini, bot nelayan Vietnam tersebut telah berjaya ditahan atas kesalahan menceroboh perairan negara pada 17 Julai tahun lalu.

“Sewaktu ditahan, dua kru bot itu sedang mencandat sotong secara haram pada kedudukan 112 batu nautika dari Kuala Terengganu,” katanya di sini hari ini.

Ariffin berkata, tindakan pelupusan berkenaan diambil mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985.

Monday, September 5, 2022

Piala FA: Terengganu umum 11 September cuti peristiwa

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu mengumumkan 11 September depan sebagai cuti peristiwa sempena kejayaan Terengganu FC (TFC) mara ke perlawanan akhir Piala FA.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, cuti peristiwa terbabit bagi memudahkan rakyat negeri itu yang bakal melakukan perjalanan jauh ke Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk menyaksikan aksi terbabit.

“Bagi memberikan keselesaan perjalanan pulang dan memastikan penyokong Terengganu tidak terburu-buru di atas jalan raya, kerajaan negeri (Terengganu) bersetuju mengisytiharkan 11 September depan sebagai cuti peristiwa.

“Susun dan atur masa perjalanan pulang dengan baik tanpa perlu tergesa-gesa,” katanya di sini hari ini.

Perlawanan akhir Piala FA antara TFC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) berlangsung sehari sebelumnya iaitu 10 September sedangkan keesokannya iaitu Ahad merupakan hari bekerja bagi Terengganu.

Ahmad Samsuri berkata, penyokong tegar skuad Sang Penyu diseru mengutamakan keselamatan diri sepanjang dalam perjalanan pergi dan pulang menyaksikan aksi terbabit.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu turut berharap penyokong TFC dapat menunjukkan adab dan akhlak baik dengan tidak melibatkan diri dalam sebarang insiden tidak sepatutnya sepanjang menyaksikan perlawanan akhir Piala FA tersebut.

TFC yang dikemudi pengendali, Mohd. Nafuzi Zain mara ke pentas akhir Piala FA selepas menumpaskan Selangor FC menerusi penentuan sepakan penalti pada saingan separuh akhir. – KOSMO! ONLINE