Translate

Monday, September 5, 2022

Gerai musnah, ibu tunggal tidak berupaya bangkit semula

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Perum­pamaan tepat buat ibu tunggal, Siti Zaliha Abdullah, 34, yang kehilangan mata pencarian akibat banjir besar pada Februari lalu.

Lebih menyedihkan rumah pusaka yang dihuni wanita itu bersama empat anaknya terma­suk seorang orang kelainan upaya (OKU) mengalami kerosakan te­ruk terutama dapur.

Siti Zaliha memberitahu, dia hilang sumber pendapatan buat keluarga selepas gerai makanan yang diusahakan berhampiran Sekolah Kebangsaan Lubuk Periuk, Ajil di sini musnah dihanyut banjir.

“Semua peralatan memasak, barang berniaga rosak.

“Saya tiada keupayaan untuk bangkit semula kerana kekura­ngan modal dan kini terpaksa bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai makan berhampiran,” katanya yang menerima bantuan bulanan jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250.

Luahnya, dengan pendapatan purata RM25 sehari sebagai pembantu kedai tidak mencukupi bagi menyara empat anak termasuk bongsu, Nursay­yidatina Khadijah Abdullah, 7, yang menghidap celebral palsy.

“Kos membeli susu khas dan lampin pakai buang untuk anak OKU saya sangat besar selain memerlukan penjagaan khusus.

“Tiga anak lain berusia 11 hingga 14 tahun pula masih bersekolah dan mereka memerlukan belanja keseluruhan RM15 sehari,” luahnya.

Tambah Siti Zaliha, mereka sekeluarga kini menumpang sementara di rumah kakaknya yang terletak di kampung sebelah di­sebabkan tidak mampu membaiki kerosakan rumah pusaka.

Sehubungan itu, dia berharap agar ada pihak yang dapat membantu dirinya membuka kembali gerai makanan bagi mengubah nasib keluarga.

“Kalau ada yang sudi membantu membaiki kerosakan rumah pusaka, dapatlah kami berpindah masuk semula ke kediaman tinggalan keluarga saya ini,” katanya.

Mereka yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional Siti Zaliha, 1150029000052833 atau menghubunginya di talian 019-917 0430.

Ular sawa 90 kg telan anak lembu baru lahir

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Seorang pengusaha lembu terkejut apabila mendapati anak lembu ternakannya yang baru dilahirkan beberapa hari lalu dimakan seekor ular sawa di Kampung Tapah di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 9.16 pagi itu, ular sawa yang seberat 90 kilogram telah menelan anak lembu tersebut di kawasan kandang sebelum keluar menuju ke kawasan semak-samun berhampiran.

Pegawai Pertahanan Awam Hulu Terengganu, Mohd. Zabri Abd. Razak berkata, sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat tentang kejadian tersebut tidak lama kemudian.

“Pencarian menjumpai ular sawa sepanjang 20 meter berkenaan di kawasan semak berhampiran.

“Usaha untuk menangkap haiwan reptilia berkenaan mengambil masa hampir sejam,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Zabri berkata, ular sawa kekenyangan tersebut berjaya dijinakkan dengan menggunakan peralatan menjerut.

Tambah beliau, haiwan reptilia berkenaan akan diserahkan ke Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Sunday, September 4, 2022

Lori muatan balak terbalik elak kenderaan Perodua Alza

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Gara-gara cuba mengelak sebuah kenderaan pelbagai guna, Perodua Alza yang tiba-tiba membuat pusingan U, sebuah lori membawa muatan lori balak terbalik di Kilometer 35, Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi berhampiran Kampung Tok Randok di sini hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 9.15 pagi itu turut menyebabkan wanita berusia 64 tahun yang memandu Perodua Alza terbabit tersebut mengalami sakit dada kerana terkejut.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sewaktu kejadian, lori membawa muatan kayu balak tersebut sedang dalam perjalanan ke Kampung Jerung, Marang dari Belukar Bukit di sini.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, pemandu lori yang berusia 61 tahun cuba mengelak sebuah kenderaan Perodua Alza yang tiba-tiba keluar dari bahu jalan sebelum membuat pusingan U.

“Begitu pun lori tersebut tetap terlanggar sisi kanana kenderaan dipandu wanita yang mengusahakan kantin terbabit,” kataya di sini hari ini.

Mohd. Adli berkata, impak perlanggaran itu menyebabkan lori membawa muatan kayu balak tersebut hilang kawalan lalu terbabas merempuh sebatang tiang elektrik di tepi jalan.

Beliau berkata, ia menyebabkan lori tersebut terbalik menyebabkan muatan kayu balak bertaburan.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 13 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959,” katanya. – KOSMO! ONLINE.