Translate

Monday, January 3, 2022

Banjir: Mangsa banjir Terengganu tinggal 147 orang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Mangsa banjir di Terengganu berkurangan sedikit kepada 147 orang daripada 44 keluarga pada pagi ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Mohd. Rosman Abdullah berkata, bencana tersebut masih melibatkan dua daerah iaitu Dungun dan Kemaman.

“Dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih dibuka di Dungun ialah Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dan Dewan Orang Ramai Kampung Shukor.

“PPS Dewan Orang Ramai Pasir Raja masih menempatkan 69 mangsa daripada 22 keluarga manakala 68 mangsa daripada 20 keluarga pula berada di Dewan Orang Ramai Kampung Shukor,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Rosman berkata, PPS Surau Ban Ho, Kemaman pula menempatkan 10 mangsa daripada dua keluarga.

Beliau berkata, berdasarkan ramalan cuaca, hujan masih berterusan di kebanyakan kawasan di Terengganu sehingga esok. – K!.ONLINE

Air pasang besar bawa risiko banjir pesisir Terengganu

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Amaran risiko banjir dikeluarkan di kawasan pesisir pantai di seluruh negeri ini berikutan fenomena air pasang besar pada malam esok.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Md. Hilman Abd. Rashid berkata, berdasarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, fenomena tersebut akan membawa ombak setinggi 3.7 meter.

“Ia akan membawa risiko banjir sekiranya hujan lebat turun di kawasan berkenaan pada masa sama.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan penduduk yang menetap berhampiran pesisiran pantai di negeri ini agar berwaspada dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Md. Hilman berkata, berdasarkan ramalan cuaca juga, kebanyakan kawasan di Terengganu dijangka hujan sehingga hari ini.

Tambah beliau, risiko banjir juga meningkat kerana air Sungai Dungun yang melimpah akibat banjir pada Khamis lalu sedang mengalir ke kawasan hilir.

“Sehubungan itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu yang turut dianggotai JBPM negeri telah bersiap sedia sekiranya risiko banjir meningkat.

“Saya harap penduduk di kawasan terlibat dapat memberi kerjasama sekiranya diarahkan berpindah awal ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya. – K! ONLINE

Wanita maut terkena serangan jantung di dalam bank

 Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Pelanggan sebuah bank di Gong Badak di sini gempar selepas salah seorang daripada mereka tiba-tiba rebah sebelum meninggal dunia hari ini.

Wanita berusia 66 tahun tersebut dipercayai terkena serangan jantung sewaktu berurusan di kaunter bank berkenaan pada pukul 11 pagi.

Sebelum kejadian, mangsa pergi ke bank berkenaan sambil ditemani salah seorang anak perempuannya yang berusia 30-an.

Pengawai perubatan dari Klinik Kesihatan Kuala Nerus di sini yang bergegas ke lokasi kejadian mengesahkan wanita itu telah meninggal dunia.

Difahamkan, wanita itu mempunyai rekod penyakit jantung dan sering dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk menerima rawatan sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu tindakan lanjut dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. – K! ONLINE