Translate

Friday, November 5, 2021

Guru Penolong Kanan maut kemalangan di LPT 2

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Guru Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ubai, Pekan, Pahang maut setelah motosikal berkuasa tinggi, Suzuki GSR 750 dinaikinya terlibat dalam kemalangan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ajil, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) di sini hari ini.

Mangsa, Sohaimi Karim, 54, mengalami kecederaan parah pada bahagian dada dalam kemalangan yang berlaku pada pukul 3.20 petang itu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, lelaki tersebut meninggal dunia sewaktu sedang menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Hulu Terengganu di sini pada pukul 5.44 petang.

“Sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal berkuasa tinggi, Suzuki GSR 750 dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Rendang Ixora, Pekan dari Pantai Batu Rakit, Kuala Nerus.

“Mangsa dikatakan mahu singgah berehat di R&R Ajil namun motosikal dinaikinya dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas sewaktu melalui susur masuk ke kawasan tersebut,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Adli berkata, motosikal Suzuki GSR 750 itu telah terlanggar pembahagi jalan sehingga menyebabkan Sohaimi tercampak ke kawasan rumput.

Beliau berkata, Sohaimi yang cedera parah telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Hulu Terengganu sebelum disahkan meninggal dunia setelah lebih dua jam menerima rawatan.

“Mayat mangsa kemudian telah dihantar ke unit forensik hospital sama untuk dibedah siasat,” katanya. – K! ONLINE

Tuesday, November 2, 2021

Pemuda maut kemalangan, motosikal bertembung kereta Honda City

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Seorang pemuda maut selepas motosikal Yamaha Y125ZR yang dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta Honda City di KM 2, Jalan Gaung – Kuala Ping – Teris berhampiran Kampung Telaga di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 8.45 malam itu, mangsa, Muhamad Mustaqim Ahmad, 28, yang tidak bekerja meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, sewaktu kejadian, kereta Honda City dipandu oleh seorang peniaga berusia 30 tahun sedang menghala ke Kampung Gaung dari arah Kuala Ping.

“Motosikal yang ditunggangi mangsa dari arah bertentangan pula dikatakan tiba-tiba mahu memasuki laluan kereta Honda City itu.

“Lelaki yang memandu kereta itu telah terkejut sebelum berlakunya perlanggaran,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Adli berkata, mayat Muhamad Mustaqim telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk dibedah siasat.

Tambau beliau, pemandu kereta Honda City pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Monday, November 1, 2021

15,200 premis perniagaan disasar tawar transaksi e-Dompet

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Redi) yang menggalakkan transaksi menerusi aplikasi e-Dompet akan diperluas kepada 15,200 premis perniagaan kecil di seluruh negara menjelang tahun hadapan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, program itu disasar kepada peniaga pasar tani, pasar malam, pasar borong, restoran, medan selera, gerai, kedai runcit khususnya di luar bandar.

“Ia seiring dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang dilancarkan pada 19 Februari lalu.

“Sebenarnya, Redi telah bermula di tapak Pasar Tani Presint 2, Putrajaya pada 6 April lalu namun program itu tergendala seketika ekoran peningkatan kes jangkitan Covid-19 pada masa itu,” katanya selepas melancarkan Redi peringkat Kuala Berang di sini hari ini.

Rosol berkata, pelancaran Redi di Kuala Berang tersebut bakal merancakkan perluasan program tersebut di semua kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain khususnya di luar bandar seluruh negara

Beliau memberitahu, transaksi menggunakan e-Dompet telah meningkat 89 peratus sebanyak RM468 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding cuma RM247 juta bagi tempoh sama pada tahun lalu.

“Sehubungan itu, program Redi perlu sebagai momentum kepada agenda digitalisasi negara terutama dalam kalangan pemain industri sektor peruncitan luar bandar,” katanya. – K! ONLINE