Translate

Monday, November 1, 2021

Entiti putih dalam masjid hanya gurauan

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pengurusan Masjid Banggol Peradong di sini menafikan kewujudan entiti berwarna putih di ruang solat kononnya telah dikesan televisyen litar tertutup (CCTV) masjid itu baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Banggol Peradong, Zulkifli Mamat berkata, klip video berdurasi 33 saat yang tersebar di media sosial tersebut sebenarnya dihasilkan untuk tujuan gurauan kepada jawatankuasa ditugaskan memantau CCTV berkenaan.

“Kami baru sahaja memasang CCTV dan jawatankuasa yang dilantik untuk memastikan kelancarannya memaklumkan klip video itu sebenarnya telah direka hanya sebagai gurauan.

“Begitupun ia tiba-tiba menjadi serius apabila disebarkan pihak tidak diketahui hingga menjadi viral (tular) di media sosial,” katanya di sini hari ini.

Zulkifli berkata, pengurusan masjid risau penyebaran klip video tidak benar itu akan menimbulkan salah faham dan ketakutan dalam kalangan orang ramai khususnya ahli kariah masjid berkenaan.

Sehubungan itu, beliau memohon agar penyebaran klip video tersebut dihentikan dengan segera.

“Saya bagi pihak pengurusan masjid mohon maaf dan orang ramai tidak perlu takut untuk hadir bagi mengimarahkan masjid ini,” katanya.

Sebelum ini, penyebaran klip video terbabit sejak beberapa hari lalu telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. – K! ONLINE

Sengaja kuatkan bunyi ekzos, 52 penunggang motosikal dikompaun

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Tindakan nakal segelintir daripada 52 anggota konvoi menguatkan bunyi ekzos motosikal masing-masing hingga mengganggu ketenteraman awam membawa padah apabila mereka di tahan polis di Kampung Telaga, Kuala Berang di sini semalam.

Sewaktu ditahan pada pukul 12.18 tengah hari berkenaan, konvoi bermotosikal yang berasal dari Kuantan, Pahang itu dikatakan dalam perjalanan untuk menikmati makan tengah hari di sebuah gerai makan terkenal berhampiran.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, tindakan segelintir anggota konvoi membuat bising dengan menguatkan bunyi ekzos motosikal masing-masing telah mengundang perhatian sepasukan polis yang kebetulan sedang melakukan rondaan trafik.

“Mereka kemudiannya ditahan dan hasil pemeriksaan ke atas semua penunggang dan motosikal masing-masing telah berjaya mengesan pelbagai kesalahan trafik.

“Antaranya mengubahsuai ekzos, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, tiada nombor pendaftaran dan aksesori tidak lengkap,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Adli berkata, selain 67 notis kompaun dikeluarkan, 52 motosikal terlibat juga telah disita dengan kesemua penunggangnya diarah menolak motosikal masing-masing ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu.

Katanya, kes masih disiasat mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Masuk percuma ke Muzium Bukit Besi

 

DUNGUN - Muzium Bukit Best yang memaparkan sejarah perlombongan bijih besi terbesar di Asia Tenggara kini mula dibuka untuk pengunjung.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah Ketengah), Datuk Razali Idris berkata, muzium itu menghimpunkan koleksi khazanah dan maklumat lengkap perlombongan bijih besi di kawasan tersebut yang pernah beroperasi hampir 60 tahan sejak 1905.

"Kemasukan ke muzium adalah percuma bagi tempoh dua bulan ini hingga akhir tahun.

" Ia dibuka dari pukul 9 pagi hingga 4.30 petang setiap hari kecuali Jumaat," katanya pada pra perasmian Muzium Bukit Besi di sini semalam.

Menurutnya, selain lawatan galeri, pakej pelancongan tersebut turut merangkumi lawatan ke monumen perlombongan bijih besi yang terpelihara di Bukit Besi termasuk stesen simpanan bahan letupan, simpanan bijh besi, peleburan bijih besi dan kolam renang.

"Pengunjung akan dibawa ke monumen tersebut dengan menaiki bas," ujarnya