Translate

Saturday, October 23, 2021

Pemilik syarikat disiasat kes tuntutan palsu Penjana Kerjaya

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pemilik syarikat ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan dakwaan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM308,000 pada Disember tahun lalu.

Wanita berusia 36 tahun itu ditahan reman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes yang berkaitan dengan program Penjana Kerjaya 1.0.

Perintah reman terhadap wanita berusia 36 tahun tersebut dibenarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Sumber memberitahu, suspek disyaki mengemukakan tuntutan palsu bagi permohonan bantuan insentif program Penjana Kerjaya 1.0 pada bulan Disember tahun lalu.

“Wanita itu ditahan di rumahnya pada pukul 12.45 tengah hari semalam sebelum dibawa ke Pejabat SPRM Terengganu di sini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya.

Program Penjana Kerjaya merupakan inisiatif kerajaan untuk merangsang permintaan pekerjaan untuk majikan selain meningkatkan peluang pekerjaan bagi pencari kerja tempatan. – K! ONLINE

Friday, October 22, 2021

Peniaga online disyaki dalang sindiket pengedaran dadah diberkas

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Satu sindiket pengedaran dadah yang dipercayai didalangi seorang peniaga online berjaya ditumpaskan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Paya Gucil, Bukit Tok Beng, Kuala Nerus malam tadi.

Dalam serbuan pada pukul 8.30 malam itu, polis berjaya merampas dadah jenis heroin dan aset yang disyaki dimiliki dengan menggunakan hasil dadah bernilai keseluruhan RM 381,900.00.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan aktif mengedarkan dadah untuk pasaran bandar raya ini dan Kuala Nerus.

“Pemeriksaan menemui dadah jenis heroin seberat 28 gram. Polis turut merampas dua buah kenderaan dan empat motosikal.

“Serbuan sama juga berjaya menyita barangan kemas dan wang tunai berjumlah RM27,400 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakkan Harta) 1988,” katanya di sini hari ini.


Rohaimi berkata, polis percaya kesemua aset itu diperolehi daripada kegiatan pengedaran dadah.


Tambah beliau, ujian urin suspek berusia 43 tahun itu pula didapati negatif dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Kru produksi filem maut, tiga cedera parah

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seorang kru produksi filem maut manakala tiga rakan sekerjanya cedera parah setelah kenderaan jenis Perodua Alza dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 71, Jalan Kota Bahru – Kuala Terengganu berhampiran Kampung Saujana di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 1.15 tengah hari itu, Muhammad Nurshamril Abdul Malek, 27, yang memandu kenderaan pelbagai guna itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, dia lagi mangsa iaitu Kamarul Anuar Mohamad Nasir, 39, dan Amir Sabil Suhaimi, 23, yang masing-masing berada di tempat duduk penumpang hadapan dan belakang mengalami kecederaan pada bahagian leher.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa iaitu Nur Azizi Nazril Abd. Aziz, 26, pula putus tangan kiri.

“Kesemua mangsa yang menaiki kenderaan Perodua Alza dikatakan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Kota Bahru, Kelantan.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kenderaan dinaiki mereka dikatakan hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar tunggul kayu di tepi jalan berhampiran simpang tiga Kampung Saujana,” katanya di sini hari ini.

Afandi berkata, kesemua mangsa yang tersepit di dalam kenderaan itu terpaksa dikeluarkan dengan bantuan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Setiu.

Beliau berkata, mayat Muhammad Nurshamril telah dihantar ke Unit Rawatan Rapi Hospital Setiu di sini untuk dibedah siasat. – K! ONLINE.