Translate

Sunday, January 15, 2017

THT belasah UiTM 9-0

KUALA TERENGGANU - PASUKAN Hoki Terengganu (THT) melepaskan geram kegagalan merangkul Piala Sumbangsih Jumaat lalu dengan membelasah Universiti Teknologi Mara (UiTM) 9-0 pada aksi kedua Divisyen Primier Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Batu Burok, di sini hari ini.
Penyerang sensasi kebangsaan, Faizal Saari mencipta hatrik pada minit ke-26 dan 34 dan 43.
Terdahulu, pesta gol THT yang juga juara bertahan bermula dengan jaringan padang Muhamad Firhan Ashaari pada minit ke-5 sebelum meletak gol kedua pada minit ke-59.
Pemain import Argentina, Nicholas Enrique Della Torre juga mencetak dua gol berturut-turut menerusi jaringan padang pada minit ke-12 dan 23.
Ismail Abu menambah luka UiTM yang masih hijau dalam kancah MHL dengan juga menjaringkan dua gol menerusi jaringan padang pada minit ke-37 dan 54. - K! ONLINE

EPIC, CMC Engineering jalin kerjasama terokai peluang manfaat ECRL

KUALA NERUS - Syarikat berkaitan kerajaan negeri Terengganu, Eastern Pasific Industrial Corporation Berhad (EPIC) menjalin kerjasama strategik dengan CMC Engineering Sdn. Bhd. (CMC Engineering) bagi penerokaan peluang perniagaan dalam projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).
Pengerusi EPIC, Datuk Tengku Mahamad Tengku Mahamut berkata, kerjasama yang dijalin terbabit melibatkan perkongsian teknologi dan kepakaran sebagai pemain industri yang memanfaatkan limpahan projek pembangunan pengangkutan berimpak tinggi itu demi pembangunan negeri Terengganu.
"Pelancaran projek pembangunan ECRL bakal menjadi katalis kepada kemakmuran ekonomi Pantai Timur termasuk Terengganu dengan unjuran mampu meningkatkan kadar pertumbuhan negeri terlibat sekurang-kurangnya 1.5 peratus.
"Sehubungan itu, EPIC melihat potensi dan peluang bagi memberi perkhidmatan berkaitan pembinaan dan pengoperasian sistem keretapi khas khas di dalam negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara EPIC dan CMC Engineering yang disaksikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman di sini hari ini. - K! ONLINE

Dua remaja dikhuatiri lemas di Pantai Bukit Keluang

BESUT - Keriangan enam rakan mandi-manda di Pantai Bukit Keluang, Kampung Raja dekat sini petang tadi berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka dikhuatiri lemas.
Dalam kejadian pada pukul 2.30 petang itu, Nik Mohd. Haikal Fitri Nik Samsuddin, 13, dan Mohammad Izzat Haikal Alias, 12 dari Kampung Raja dekat sini yang berseronok mandi bersama rakan-rakannya tiba-tiba ditarik oleh ombak besar sebelum tenggelam.
Salah seorang rakan mangsa, Ahmad Osama Hafiz Salleh, 15, berkata, sewaktu kejadian, Nik Mohd. Haikal dan Mohammad Izzat secara bersama telah meninggalkan mereka dengan berenang lebih jauh dari pantai.
"Tidak lama kemudian, mereka tiba-tiba ditarik oleh ombak besar. Saya cuba membantu dengan berenang selaju mungkin ke arah mereka namun turut hampir lemas sebelum diselamatkan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu.
"Rakan-rakan lain yang terkejut dengan insiden itu telah bertindak berenang semula ke pantai sebelum ia dimaklumkan kepada pihak berkuasa tidak lama kemudian," katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian hari ini.
Ahmad Osama berkata, sebelum itu, kesemua mereka yang tinggal di kampung berhampiran telah ke Pantai Bukit Kluang dengan menaiki basikal masing-masing.
Difahamkan Nik Mohd. Haikal yang merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Raja merupakan anak bongsu daripada lapan beradik manakala Mohammad Izzat Haikal juga anak bongsu daripada lima beradik dan murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Kampung Raja. - K! ONLINE