Translate

Monday, January 2, 2017

Dolce Pucci Exclusive berkualiti tinggi by ANR

KAIN Pucci menjadi pilihan masa kini kerana mudah digayakan sebagai tudung dan busana mengikut trend masa kini.

Salah satu kain jenis tersebut yang bermutu tinggi dan menjadi perhatian ramai ialah Dolce Pucci Exclusive by ANR yang diedar secara ekskusif di Terengganu oleh Fatimah Collection.

Pengurus Besar Fatimah Collection, Zubair Thamizudeen berkata, Dolce Pucci Exclusive by ANR diperbuat daripada material Swiss Crepe.

"Kain tersebut memang berbaloi dibeli dan dipakai kerana fabstriknya bukan sahaja lembut malah tidak panas, warna tidak luntur,  tidak mudah koyak dan boleh di cuci di dalam mesin basuh.

"Ia berlainan dengan lambakan kain satin Pucci di pasaran yang kebanyakannya berkualiti rendah," katanya.

Zubair berkata, sepasang kain Dolce Pucci Exclusive by ANR yang sepanjang empat meter juga dijual pada harga berpatutan iaitu RM60.

Beliau berkata, para pemborong pula boleh mendapatkan kain tersebut dengan harga lebih murah iaitu RM800 bagi sekodi yang mengandungi 20 pasang.

"Fatimah Collection merupakan pembekal tunggul kain Dolce Pucci Exclusive by ANR di Terengganu.

"Kami mempunyai tiga cawangan iaitu ibu pejabat di Kampung Cina, Pasar Payang dan Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu. Cawangan di Jalan Tok Lam dikenali sebagai Rifka Collection," katanya.

Maklumat lanjut boleh menghubungi Zubair di talian 011-29291616.

Sunday, January 1, 2017

Produk alternatif ganti gula

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

BESUT – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Pusat Tunas Stevia baru-baru ini berjaya menghasilkan produk madu kelulut yang dihasilkan daripada stevioside iaitu debunga pokok stevia.

Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, produk yang dinamakan sebagai Madu Jabee itu diklasifikasikan sebagai Premium Honey yang berkualiti tinggi.

“Madu Jabee mengandungi kandungan stevioside yang terbukti berupaya mengurangkan rasa masam madu kelulut.

“Ia berbeza daripada produk madu kelulut lain di pasaran sekali gus memberi nilai tambah kepada produk ini (Madu Jabee). Daun stevia sebelum ini juga memang dikenali sebagai bahan pemanis semula jadi yang menyihatkan dan telah dikomersialkan sebagai alternatif kepada gula,” katanya kepada Kosmo! selepas melawat Pusat Tunas Stevia di sini baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Kumpulan Penyelidik Lebah dan Kelulut UMT, Prof. Madya Dr. Shamsul Bahri Abd Razak.

Nor Aieni menambah, Madu Jabee merupakan produk pe­rintis hasil penyelidikan antara UMT dan Pusat Tunas Stevia berikutan kerjasama strategik yang dimeterai pada tahun 2014.
Beliau berkata, penyelidikan yang diketuai oleh Shamsul Bahri yang membawa kepada penghasilan kepada produk Madu Jabee itu telah memenangi Anugerah Emas dalam Inovasi UMT pada tahun 2015.

“Pengusaha Madu Jabee pula terdiri daripada golongan ibu tunggal sekitar daerah Besut yang bernaung di bawah Koperasi Ummu Wahidah.

“Pengeluarannya secara tidak langsung menyokong kempen Mulakan Hari Anda dengan Madu yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada September lalu,” katanya.

212 mangsa banjir di Hulu Terengganu dipindahkan

MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU - Seramai 212 dari tiga perkampungan di Ajil dan Kuala Berang di sini telah berpindah ke pusat pemindahan setelah rumah masing-masing ditenggelami banjir sejak awal pagi tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, tiga perkampungan tersebut ialah Kampung Bukit Kolam dan Kampung Bukit Ara, Ajil serta Kampung Tok Lawit, Kuala Berang.
"Seramai 170 mangsa ditempatkan di Surau Kampung Bukit Ara, Dewan Seri Puteh, Kampung Tok Lawit (32) dan Balai Raya Kampung Bukit Kolam (10).
"Jalan Kuala Pueh-Kuala Ping yang menghubungkan Kuala Pueh, Tapah, Payang Kayu, Baung dan Kuala Ping, Kuala Berang dekat sini pula ditutup untuk semua kenderaan selepas dinaiki air banjir setinggi 1.5 meter," katanya kepada Kosmo!.
Sementara itu, beliau berkata, Bilik Gerakan Banjir Daerah Setiu mula beroperasi kira-kira sejam lalu selepas Kampung Pelong, Setiu menjadi lokasi terbaharu dilanda banjir. - K! ONLINE