Translate

Thursday, December 1, 2016

Pengalaman berharga peserta bersama penduduk kampung

PROGRAM Pewaris Muda anjuran Jabatan Penerangan Malaysia di tiga buah kampung di mukim Kuala Berang, Hulu Terengganu, Terengganu baru-baru ini memberi pengalaman berharga kepada 120 peserta yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi.
Salah seorang peserta, Mohamad Annuar Mohd. Noor, 20, dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau berkata, dia amat terpesona dengan gaya kehidupan masyarakat di Terengganu yang masih utuh mengamalkan adat-adat ketimuran.

Annuar berkata, dia amat terkesan ketika menziarahi dan menghulurkan bantuan kepada beberapa buah keluarga yang kurang berkemampuan menerusi aktiviti ‘Titisan Kasih’.

“Hubungan antara penduduk kampung sangat akrab dan mereka saling menghulurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing,” kata pelajar Tahun Dua Sarjana Muda Ukur Tanah yang berasal dari Pulau Pinang itu.
Seorang lagi peserta, Anis Huraimah Mat Bahari, 19, dari Universiti Malaysia Terengganu berkata, layanan baik daripada kedua-dua ibu bapa angkatnya, Samsudin Abdul Rahman, 61, dan Azizah Zakaria, 51, banyak menyentuh hatinya.

“Mereka melayan saya bagaikan anak sendiri sehinggakan saya berasa seperti berada bersama keluarga sendiri,” katanya.
Lydia Henry Gerang, 22, dari Kolej Universiti Bestari, Setiu pula teruja dengan pengalaman baharu melakukan aktiviti mengemping dan membuat laksa Terengganu secara tradisional.

“Laksa Terengganu yang dimakan dengan kuah lemak agak berbeza dan unik berbanding laksa yang pernah saya makan sebelum ini seperti laksa Sarawak dan laksa Pulau Pinang.

“Saya juga gemar dengan makanan tradisional Terengganu lain terutama keropok lekor,” kata pelajar yang berasal dari Sibu, Sarawak itu.

Pewaris Muda jejak Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEBANYAKAN generasi muda hari ini yang rata-ratanya celik teknologi maklumat sanggup menghabiskan masa berjam-jam sehari dengan mengakses media sosial menerusi komputer peri­badi dan telefon pintar masing-masing.

Begitupun, kebergantungan kepada media sosial semata-mata tanpa interaksi dua hala dengan masyarakat boleh menyebabkan golongan belia berusia 30 tahun ke bawah tersebut tersalah arah dengan mudah mempercayai maklumat yang menjadi viral tanpa memastikan kesahihannya.

Sehubungan itu, Jabatan Penerangan Malaysia mengambil inisiatif menganjurkan Program Pewaris Muda yang bertujuan memberi pendedahan kepada golongan tersebut terutama pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) merasai kehidupan bersama masyarakat terutamanya di luar bandar.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, Program Pewaris Muda yang diperkenal sejak tahun 2013 itu memberi nilai tambah yang dapat mematangkan pelajar IPT terlibat.

“Program yang turut melibatkan penyertaan penduduk kampung menerusi aktiviti keluarga angkat itu juga mahu menyemarakkan lagi semangat permuafakatan dan perpaduan antara rakyat di negara ini.

“Pada tahun ini, Program Pewaris Muda peringkat kebangsaan diadakan di daerah Hulu Terengganu dengan penglibatan 120 peserta dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya selepas merasmikan penutup Program Pewaris Muda dan Alumni Peringkat Kebangsaan di Kampung Payang Kayu, Kuala Berang, Hulu Terengganu kelmarin.

Turut hadir Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Datuk Ibrahim Abdul Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri Telemong, Datuk Rozi Mamat.
Jailani berkata, kesemua peserta yang berusia antara 18 hingga 22 tahun berkenaan menetap bersama 60 keluarga ang­kat di tiga buah kampung iaitu Kampung Payang Kayu, Kuala Ping dan Bukit Kapah.

Beliau berkata, sepanjang tiga hari program tersebut, peserta telah didedahkan de­ngan kegiatan sosioekonomi dan budaya masyarakat setempat dengan merasai pengalaman kerja ibu bapa angkat seperti mengusahakan kebun dan bertukang kayu.

“Pelbagai aktiviti kemasyarakatan juga diatur seperti demonstrasi membuat emping padi dan laksa Terengganu, senamrobik, sukan rak­yat, kenduri, gotong-royong dan kuliah agama. Mereka juga terlibat dalam aktiviti ‘Titian Kasih’ iaitu menziarahi dan memberi bantuan barangan keperluan asas kepada penduduk kurang berkemampuan di setiap kampung berkenaan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu.

Jailani berkata, para pelajar terbabit turut berpeluang menjamah makanan tradisional Terengganu seperti keropok lekor, nasi dagang, ketupat sotong dan satar.

Sehubungan itu, beliau berharap Program Pewaris Muda dapat memberi input berguna dan pedoman kepada peserta tentang realiti kehidupan masyarakat di negara ini.

“Kita juga mahu hubungan akrab yang telah dibina antara pelajar terbabit dengan keluarga angkat masing-masing dapat terus dipupuk selepas program ini menerusi penggunaan media sosial seperti WhatsApp.

“Semoga para peserta terbabit dapat menjejakkan kaki semula ke kampung-kampung ini untuk menabur bakti selepas berjaya dalam kehidupan masing-masing suatu hari kelak,” katanya.

Sementara itu, Rozi berkata, Program Pewaris Muda turut memberi manfaat besar kepada penduduk kampung berkenaan berkenaan yang terletak di pendalaman iaitu kira-kira 70 kilometer dari bandar raya Kuala Terengganu dan bersempadan dengan Tasik Kenyir.

“Pengalaman bersama pelajar IPT yang pelbagai latar belakang sedikit sebanyak memberi pengkongsian minda dan pengalaman kepada penduduk kampung terbabit,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Terengganu.

Pahang dipilih sebagai lokasi pertama Program Pewaris Muda pada 2013 diikuti Perak (2014), Negeri Sembilan (2015) dan Terengganu (2016).

Mangsa banjir Terengganu meningkat 317 orang

KUALA TERENGGANU - Mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di dua daerah iaitu Kemaman dan Kuala Terengganu sudah meningkat kepada 317 orang.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Menengah Kebangsaan Badrul Alam Shah, Kemasik, Kemaman telah meningkat kepada 256 orang termasuk 14 bayi.
"Mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Kalong, Kemaman pula meningkat kepada 43 orang berbanding 33 orang pada malam tadi (semalam)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Che Adam berkata, pusat pemindahan SK Tok Nasek di sini dan Balai JKKK Kampung Titian Berayun, Kijal, Kemaman masing-masing masih menempatkan enam dan lima mangsa.
Beliau berkata, tujuh mangsa pula ditempatkan di SK Chendering di sini yang merupakan pusat pemindahan yang baru dibuka tengah malam tadi. - K! ONLINE