Translate

Thursday, March 10, 2016

Ejen hartanah baling bayi baru dilahirkan didakwa

KUALA LUMPUR - Seorang ejen hartanah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bayi perempuan yang baru dilahirkannya pada akhir bulan lalu.

Tiada pengakuan direkodkan dan Norazwani Mohd. Noh, 39, sekadar mengaku faham selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Radziah Kamarudin.

Berdasarkan pertuduhan, Norazwani didakwa membunuh bayi perempuan itu dengan membalingnya dari tingkat 18, Blok C, Flat Danau Kota, Setapak di sini pada pukul 8.11 pagi, 29 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - K! Online

Pencuri komputer riba bekas menteri dijel

KUALA LUMPUR – Bekas pembantu peribadi Tan Sri Zulhasnan Rafique dijatuhi hukuman penjara enam hari dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam atas kesalahan mencuri komputer riba milik bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu pada awal bulan lalu.

Majistret Muhamad Faizal Ismail memerintahkan demikian selepas Mohd. Effendy Jainuddin, 25, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan. Beliau turut mengenakan hukuman penjara tambahan selama dua bulan sekiranya tertuduh gagal melunaskan denda.

 Mohd. Effendy yang pernah berkhidmat sebagai pembantu peribadi bekas Ahli Parlimen Setiawangsa tersebut selama tiga bulan dari Oktober 2015 membayar denda tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norakmal Farhan Aziz manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohamad Zaidi Othman.

 Mengikut pertuduhan, Mohd. Effendy didakwa mencuri sebuah komputer riba jenama Asus berwarna hitam bernilai RM4,500 di kediaman Zulhasnan di Beringin Residence, Damansara Height di sini pada pukul 2 pagi, 8 Januari lalu.

 Mengikut fakta kes, Zulhasnan telah mengarah­ kan Penasihat Undang-Undangnya, Datuk Ahmad Jais Raduan membuat laporan polis selepas mendapati beberapa barang berharga seperti beg tangan berjenama dan kipas angin yang dianggarkan bernilai RM300,000 hilang dari rumahnya pada 21 Januari lalu.

Mohd. Effendy kemudian ditahan di hadapan sebuah kopitiam di Jalan Rampai Niaga 5, Medan Niaga Setapak di sini pada pukul 12.30 tengah malam, Selasa lalu.

Hasil soal-siasat, tertuduh mengaku mengambil komputer riba terbabit sebelum memajaknya ke­ pada seorang lelaki pada harga RM300

Adira kemuka bukti nikah di Songkla

KUALA LUMPUR – Penyanyi yang juga bintang Akademi Fantasia (AF), Adira dan suaminya, Datuk Seri Adenan Abu mengemukakan gambar, salinan video dan pasport masing-masing sebagai bukti pernikahan poligami mereka kepada Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.

Adenan, 38, yang merupakan ahli perniagaan memberitahu mahkamah, dia telah menikahi Adira di pejabat Majlis Agama Islam Songkhla, Thailand pada 3 Disember tahun lalu.

“Akad nikah dilafazkan sekali dengan mas kahwin RM1,000. Pernikahan dilaksanakan secara wali hakim,” katanya ketika memberi keterangan permohonan pendaftaran pernikahan poligaminya dengan Adira di hadapan Hakim Syarie Muhammad Abdul Karim Wahab di sini semalam.

Adenan memberitahu, jurunikah dan dua saksi dalam pernikahan tersebut merupakan individu warga negara Thailand.

Sementara itu, Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi, 25, berkata, sewaktu pernikahan dilangsungkan, bapa kandungnya, Suhaimi Rajiman berada di Johor Bahru, Johor.

Muhammad Abdul Karim kemudiannya memerintahkan pasangan suami isteri itu mengemukakan hujahan bertulis dalam tempoh dua minggu sebelum memberitahu keputusan terhadap permohonan pernikahan secara poligami yang dikemukakan itu pada 28 Mac depan.

Kosmo! 29 Januari lalu melaporkan Adira yang juga bintang AF7 memulakan proses untuk mendaf­tarkan pernikahan poligami dengan Adenan selepas berkahwin dengan ahli perniagaan itu sebagai isteri kedua di Songkhla.

Adira pada 22 Disember 2015 mengaku menjadi isteri kedua kepada Adenan selepas bernikah di negara jiran.