Translate

Monday, July 13, 2015

Insiden Low Yat bukan isu perkauman

KUALA LUMPUR - Penyebaran khabar angin yang mengaitkan insiden pengaduhan antara peniaga telefon bimbit dengan sekumpulan pelanggan di Plaza Low Yat di sini pada Sabtu lalu dengan isu perkauman di media sosial perlu dihentikan segera.
Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon berkata, perkara tersebut sekiranya dibiarkan boleh mengugat keharmonian hidup bermasyarakat di bandar raya ini.
"Insiden tersebut bukan isu perkauman. Jangan cuba jadi hero di media sosial kerana apalah maknanya jika hanya 'menang sorak, kampung tergadai'.
"Inilah masanya pihak berkuasa perlu menunjukkan ketegasan untuk menjernihkan semula keadaan," katanya selepas meninjau Plaza Low Yat di sini hari ini.
Sin Woon berkata, individu yang telah memuat naik status yang mencetuskan keresahan antara kaum terbabit perlu dikenakan tindakan.
Beliau juga menggesa pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia agar mendedahkan siasatan kes itu dengan segera bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan masyarakat. - KOSMO!

Insiden Low Yat berpunca daripada kes curi

KUALA LUMPUR - Insiden di Plaza Low Yat di sini pada Sabtu lalu bukan disebabkan penipuan jualan tetapi merupakan kes kecurian telefon bimbit.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan siasatan mendapati dua suspek telah ditangkap ketika cuba melarikan diri selepas mencuri sebuah telefon bimbit di tingkat satu plaza itu.
"Salah seorang suspek yang dilepaskan anggota polis selepas keterangan diambil telah mereka cerita kononnya mereka ditipu oleh peniaga telefon bimbit yang menahannya sehingga menyebabkan pergaduhan Sabtu lalu.
"Insiden tersebut bukan berpunca daripada kes penipuan dan tiada unsur perkauman," katanya ketika meninjau Plaza Low Yat di sini hari ini.
Khalid berkata, setakat ini seramai 19 individu berusia dalam lingkungan 16 hingga 25 tahun termasuk dua suspek mencuri telefon bimbit berkenaan telah ditahan reman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.
Tambah beliau, pihaknya juga akan mengambil tindakan terhadap individu yang telah memuat naik status berunsur perkauman berhubung insiden itu.
"Setakat ini salah seorang daripadanya telah dikenal pasti iaitu blogger, Papagomo," katanya. - KOSMO!

TNB jamin bekalan elektrik mencukupi musim Aidilfitri

PUTRAJAYA - Tenaga Nasional Nasional Berhad (TNB) dalam keadaan bersiap sedia untuk membekalkan tenaga elektrik yang mencukupi bagi keselesaan pengguna sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bermula Jumaat ini.
Pengurus Besar Kanan (Operasi Aset) Bahagian Penjanaan TNB, Roslan Abd. Rahman berkata, seramai 1,119 kakitangan operasi dan penyelenggaraan syarikat itu telah diarahkan untuk bertugas pada waktu puncak perayaan terbabit iaitu dari 17 hingga 19 Julai ini.
"Ia termasuk 677 kakitangan yang berada dalam senarai menunggu yang diwajibkan berada dalam lingkungan 25 kilometer dari stesen janakuasa masing-masing dan boleh dipanggil bertugas pada bila-bila masa.
"Kami akan memastikan semua operasi pembekalan tenaga elektrik di 10 stesen janakuasa milik TNB di seluruh negara berjalan lancar pada cuti Hari Raya Aidilfitri ini," katanya ketika menyampaikan taklimat di Stesen Janaelektrik Putrajaya di sini hari ini. - KOSMO!