Translate

Wednesday, June 4, 2014

Festival sukan pelajar Fakulti Sains Kesihatan UiTM

AKTIF. Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Kuala Selangor, Selangor menganjurkan Festival Sukan Mega Sains Kesihatan di kampus itu baru-baru ini.
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Sains Kesihatan, Dr. Hanafi Ali berkata, festival selama lima hari itu bertujuan memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar fakulti berkenaan.
Beliau berkata, antara acara sukan yang dianjurkan sepanjang program tersebut ialah bola keranjang, bola baling, futsal dan larian.
Festival Sukan Mega Sains Kesihatan kali ketiga berkenaan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Jeram, Datuk Amiruddin Setro.

Tuesday, June 3, 2014

Polis Marin rampas diesel bersubsidi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

PELABUHAN KLANG - Cubaan sebuah sindiket untuk menyeludup 50,000 liter  diesel  bersubsidi menggunakan jalan laut berjaya dipatahkan Pasukan  Polis   Marin  (PPM) di perairan  Tanjung   Harapan  dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 10 malam itu, sepasukan anggota PPM yang sedang melakukan rondaan di perairan tersebut telah bertindak menahan sebuah bot yang berada dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai Pemerintah  Marin  Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Norzaid Muhammad Said berkata, pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa muatan  diesel  yang bernilai RM100,000.

"Pemilik bot berkenaan gagal menunjukkan dokumen daripada pihak berwajib berkenaan kebenaran membawa dan memiliki  diesel  berkenaan.

"Oleh itu, tindakan merampas bahan api berkenaan bersama bot yang dianggarkan bernilai RM250,000 telah dilakukan," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Norzaid berkata, tiga lelaki warga Indonesia yang merupakan jurukemudi dan awak-awak bot tersebut berusia dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun turut diberkas kerana disyaki anggota sindiket penyeludupan  diesel  bersubsidi berkenaan.

Menurut beliau, bot terbabit turut disita di Pangkalan  Marin  Pelabuhan Klang manakala muatan  diesel  terbabit telah diserahkan kepada penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun, denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.

123 guru SMK Tengku Ampuan Rahimah diraikan

PENGHARGAAN. Seramai 123 guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Rahimah, Pelabuhan Klang, Klang, Selangor diraikan dalam sambutan Hari Guru baru-baru ini.
Ketua Pengawas SMK Tengku Ampuan Rahimah, Benjemin Soe Zxepin berkata, sambutan Hari Guru peringkat sekolah tersebut tahun ini dikendalikan sepenuhnya oleh para pelajar tanpa pembabitan guru.
"Acara sambutan Hari Guru sekolah ini dimulakan dengan sarapan, perarakan guru-guru bersama iringan bunga manggar dan beberapa acara lain seperti sukaneka serta penyampaian anugerah khas guru.
"Kesemua 1,959 pelajar sekolah ini masing-masing menyumbang RM2 untuk menjayakan program ini bagi menghargai jasa serta pengorbanan guru selama ini," katanya.