Translate

Friday, May 3, 2013

Perak buka kaunter pusat kerjaya

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Kerajaan negeri Perak mengambil inisiatif membantu golongan pencari kerja dengan membuka kaunter Pusat Kerjaya Amanjaya (Peka) di Terminal Amanjaya di Bandar Meru Raya di sini yang beroperasi mulai semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pembukaan kaunter di terminal itu bertujuan mendekatkan lagi agensi pemadanan peluang pekerjaan peringkat negeri dengan golongan sasaran.
“Sebelum ini, lepasan universiti dan sekolah perlu ke pejabat Peka di pusat bandar raya untuk mendaftar dan bertanya peluang pekerjaan,” katanya selepas merasmikan Karnival Belia Perak Aman Jaya di Terminal Amanjaya semalam.
Zambry berkata, Terminal Amanjaya dipilih kerana kedudukannya yang strategik dan menjadi tumpuan terutamanya golongan muda.
Menurut beliau, kaunter itu membolehkan pencari kerja mendapat maklumat peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan minat dan kelulusan masing-masing.
“Peka bukan sahaja berfungsi menyediakan peluang pekerjaan malah turut memberi latihan dan khidmat nasihat.
“Perancangan baik dan teliti kerajaan Barisan Nasional ini mula menunjukkan hasil apabila 55,000 peluang pekerjaan berjaya diwujudkan di Perak sejak 2010,” tambahnya.

Anwar cetek pengetahuan ekonomi


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my
TAIPING - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menempelak ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering mengkritik kerajaan diterajui Barisan Nasional (BN) kononnya tidak bijak ekonomi negara.
Beliau berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sepatutnya mencermin diri sendiri yang tidak berupaya mengendali krisis mata wang antarabangsa ketika menjadi Menteri Kewangan pada 1997.
"Sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya beri kuasa kepada dia (Anwar) untuk urus masalah (krisis mata wang). Tapi apa dia buat? Dia ikut IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) dan Bank Dunia dengan naikkan kadar faedah, pendekkan tempoh pembayaran hutang dan potong bajet kerajaan sampai negara hampir muflis.
"Sebab itu saya tarik balik dan ambil semula pengurusan ekonomi negara," katanya pada program Wacana Bersama Negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dihadiri lebih 10,000 orang di Dataran Simpang di sini malam tadi.
Turut hadir calon BN bagi Parlimen Bukit Gantang, Datuk Ismail Saffian; calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering, Datuk Rosli Husin; calon BN DUN Trong, Dr. Zabry Abdul Wahid dan calon BN DUN Kuala Sepetang, Loh Swee Eng.
Dr. Mahathir berkata, pengenalan sistem kawalan mata wang bukan sahaja berjaya menyelesaikan krisis ekonomi negara malah menyelamatkan ramai peniaga daripada mufis.
"Peniaga terutama golongan Cina tentu masih ingat diselamatkan daripada ambang bankrap oleh dasar BN tersebut. Parti kongsi yang komited memakmurkan negara secara sama rata kepada semua kaum, Melayu, Cina dan India.
"Dakwaan DAP hanya Melayu mendapat nikmat daripada dasar BN adalah tidak tepat," katanya.

Wednesday, May 1, 2013

Janji pembangkang hapuskan tol tidak realistik


IPOH - Janji pembangkang untuk menghapuskan caj tol di semua lebuh raya di negara ini tidak logik kerana di luar kemampuan kewangan negara, ujar Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya RM6 bilion setahun perlu dibayar sebagai pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuh raya sekiranya mahu mengecualikan caj tol kepada pengguna.

"Kalau nak ambil alih pengurusan lebuh raya daripada syarikat konsesi, kerajaan perlu membayar lebih RM100 bilion. Realistik ke? (manifesto pembangkang)," katanya selepas melancarkan program Khidmat Kaunter Masyarakat di Kampung Tengku Hussein, Ipoh hari ini. - KOSMO!