Translate

Wednesday, July 13, 2011

Amanah Pendidikan Punjabi terima geran

DANA. Amanah Pendidikan Punjabi Malaysia menerima geran tahunan berjumlah RM500,000 yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Institut Guru Nanak, Ipoh baru-baru ini.

Muhyiddin berkata, geran itu bertujuan membantu Persatuan Khalsa Diwan Malaysia mengembangkan bahasa Punjabi di kalangan generasi muda komuniti tersebut di negara ini.

"Tuntutan kaum Sikh agar bahasa Punjabi dibantu untuk berkembang di kalangan mereka adalah munasabah kerana generasi muda perlu fasih bahasa ibunda masing-masing agar tidak lupa sejarah dan budaya sendiri," katanya.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Presiden Khalsa Diwan Malaysia, Santokh Singh Randhana.

Monday, July 11, 2011

Usahawan tani Perak terima motosikal roda tiga

BANTU. Seramai 11 usahawan tani Perak menerima motosikal roda tiga daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Terminal Agribisnes Negara (Teman), Gopeng baru-baru ini.

Motosikal roda tiga yang bertujuan memudahkan usahawan tani mengangkut hasil pertanian disampaikan oleh Pengerusi FAMA, Datuk Badruddin Amiruldin.

Badruddin berharap usahawan tani terbabit mengambil inisiatif menjadi peraih mengutip hasil pertanian yang ditanam secara kecil-kecilan di sekitar kampung mereka.

Saturday, July 9, 2011

Bahan letupan perhimpunan haram dirampas

IPOH - Polis Perak menemui pelbagai bahan bagi membuat bahan letupan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan perhimpunan haram anjuran Bersih di Tapah dan Manjung dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, dalam kes pertama, seorang pemandu teksi berketurunan Kemboja berusi 41 tahun ditahan di susur masuk Plaza Tol Tapah pada pukul 12 tengah hari.

Bersama lelaki itu, polis menemui sejumlah bahan yang boleh membuat bahan letupan disimpan dalam but kereta.

Antara barang tersebut ialah empat guni simen bercampur kapur, seguni serbuk hitam dipercayai sekam padi, satu guni mengandungi besi paip dan getah paip serta lima biji mangkuk tanah.

Mohd. Shukri memberitahu, turut dijumpai ialah sebuah beg plastik mengandungi pasir dan satu tong plastik berisi cecair disyaki asid.

“Berdasarkan pengalaman lalu, polis percaya bahan-bahan tersebut mampu menghasilkan bahan letupan. Sehubungan itu lelaki tersebut ditahan reman empat bagi siasatan lanjut,"katanya.

Menurut beliau, dalam soal-siasat lelaki yang telah mendapat kerakyatan Malaysia itu mendakwa dia dalam perjalanan pulang ke Ulu Tiram, Johor setelah mengambil barangan untuk dilebur bagi mendapatkan bijih timah di Kampar.

Dalam kes kedua pula, Mohd. Shukri memberitahu polis menjumpai 21 botol mineral kecil berisi minyak petrol dan bersumbu dan lapan helai baju T putih bertulis perkataan ‘Kotor’ pada pukul 10 malam di sebuah kawasan perkuburan Cina di Kampung Sitiawan, Manjung.

Turut ditemui 12 beg plastik merah yang mengandungi butiran hijau dipercayai baja kompas dan empat bateri saiz AA yang dipercayai akan digunakan untuk membuat bahan letupan.

Pemeriksaan di lokasi itu juga menjumpai kertas bertulisan Cina bermaksud ‘Arahan Bos kesemua 21 botol mahu baling Pejabat UMNO. Baju putih ‘Kotor’ adalah simbol dalam perhimpunan Bersih. Hati-hati polis di tempat itu. Habis baca bakar.'