Translate

Thursday, August 6, 2009

Perak bangunkan 'Bandar Kasut Ipoh'


IPOH - Kerajaan negeri Perak mahu mengukuhkan lagi industri pembuatan kasut tempatan yang sudah bertapak di sekitar Lembah Kinta sejak lebih 100 tahun lalu dengan mewujudkan `Bandar Kasut Ipoh’ di kawasan Bukit Merah dan Menglembu di sini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, bagi merealisasikan cadangan tersebut, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Pertubuhan Industri Kasut Perak di samping menaik taraf kawasan pembuatan kasut berkenaan.

``Kami juga bercadang untuk mewujudkan pusat pameran dan jualan kasut buatan negeri Perak yang mana lokasi pusat tersebut akan ditentukan kelak tidak lama lagi,’’ katanya selepas melancarkan Pertandingan Reka Kasut Malaysia (MFDC) 2010 anjuran Pertubuhan Industri Kasut Perak di sini semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi Pertubuhan Industri Kasut Perak, Tham Kam Kee.
Zambry menjelaskan, industri pembuatan kasut di Perak dianggarkan bernilai kira-kira RM650 juta setahun dan ia akan diangkat menjadi ikon ekonomi baru negeri ini.

"Selama ini, kita terlepas pandang potensi industri pembuatan kasut yang diusahakan oleh kira-kira 400 pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di sekitar Bukit Merah dan Menglembu dekat sini.

"Buatannya bukan sahaja bermutu tinggi malah 65 peratus kasut yang berada di pasaran tempatan dihasilkan dari kawasan ini dan sekali gus ia menjadikan Perak pengeluar kasut terbesar negara," katanya.

Wednesday, August 5, 2009

Pameran konsep Raja Berperlembagaan

AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebu dayaan berhasrat untuk mengadakan pameran jelajah menerangkan konsep Raja Perlembagaan di seluruh negara dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, ia bertujuan untuk memberi kefahaman mendalam kepada masyarakat te rutamanya generasi muda tentang kepentingan institusi raja yang menjadi tonggak negara.

"Trend segelintir masyarakat negara ini yang mula mem persoal konsep Raja Berperlembagaan amat membimbangkan. Namun saya berpendapat langkah kerajaan negeri Perak menganjurkan Pameran Foto ‘Sultan dan Rakyat’ perlu dipuji.

"Sehubungan itu kementerian berhasrat untuk menganjurkan pameran serupa di negeri-negeri beraja lain di seluruh negara kerana ia dilihat mampu memberi impak berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis pe rasmian pameran tersebut yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Dewan Bandaran di sini semalam.

Pameran tersebut adalah anjuran Pertubuhan Berita Na sional Malaysia (Bernama) dengan kerjasama kerajaan negeri Perak dan Arkib Negara.

Rais berkata, pameran jelajah tersebut juga bakal mengupas konsep Rukun Negara dan perlembagaan negara serta negeri terbabit dalam bahasa mudah untuk difahami masyarakat.

Sunday, August 2, 2009

Hanya 17 restoran di Ipoh betul-betul bersih


IPOH - Cuma 17 daripada 1,153 premis makanan di sekitar bandar raya Ipoh layak menerima pengiktirafan Gred A daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berdasarkan penilaian yang dibuat sejak beberapa bulan lalu.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, pengiktirafan gred A kepada premis makanan di bandar raya ini dinilai melalui memberi perkhidmatan yang bersih, selamat dan berkualiti mulai bulan ini.

"Berdasarkan penilaian dan pemantauan yang telah dibuat, hanya 17 premis makanan di sekitar bandar raya ini layak menerima pengiktirafan gred A," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Bulanan MBI di sini semalam.
Beliau berkata, penilaian semula akan dibuat pada setiap tiga bulan dan sijil berkenaan boleh ditarik balik sekiranya premis makanan terbabit gagal mengekalkan markah penilaian sekurang-kurangnya 85 peratus.

"Saya sasar sebahagian besar 1,153 premis makanan yang terdapat di bandar raya ini mencapai gred A selewat-lewatnya akhir tahun ini.

"Ini inisiatif MBI untuk menjamin kebersihan premis makanan di sini selain mempromosi Ipoh sebagai bandar raya syurga makanan," katanya.
Roshidi berkata, berdasarkan penilaian sama juga, sebanyak 983 premis premis makanan mendapat gred B.

Antara kriteria yang dinilai katanya adalah kebersihan dewan makan, dapur, stor penyimpanan makanan, tandas, kebersihan sajian dan kebersihan pekerja.