Translate

Friday, October 31, 2025

Tukang masak maut, motosikal bertembung dengan Proton X70

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seorang tukang masak maut selepas motosikal ditunganginya bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 di Kilometer 61, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bahru berhampiran Kampung Rahmat di sini hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 11.37 pagi, mangsa, Loh Eng Keat, 61, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, sewaktu kejadian, Eng Keat yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC dikatakan dalam perjalanan ke Kuala Terengganu dari arah Kota Bahru, Kelantan.

“Kenderaan SUV jenis Proton X70 pula dinaiki empat sekeluarga dikatakan dalam perjalanan ke Kota Bahru dari rumah mereka di Durian Burong, Kuala Terengganu.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kedua-dua kenderaan yang berlainan arah itu dikatakan telah bertembung sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Zain berkata, pemeriksaan pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian mengesahkan Eng Keat sudah meninggal dunia.

Beliau berkata, mayat tukang masak restoran terbabit telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk tindakan lanjut.

“Empat sekeluarga berusia dalam lingkungan 68 hingga 7 tahun yang menaiki kenderaan Proton X70 terselamat tanpa sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

JPS Terengganu kenal pasti 460 ‘hot spot’ banjir musim tengkujuh

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 460 kawasan di seluruh Terengganu telah dikenalpasti sebagai’ hot spot’ atau lokasi berisiko banjir pada musim tengkujuh yang bakal tiba tidak lama lagi.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Ir. Osman Abdullah berkata, ia peningkatan 11 kawasan berbanding 449 kawasan berisiko banjir pada tempoh Monsun Timur Laut (MTL) pada tahun lalu.

“Hot spot terbanyak di Kuala Terengganu iaitu 97 kawasan diikuti Dungun (72), Setiu (59), Hulu Terengganu (63), Kemaman (55), Kuala Nerus (47), Marang (35) dan Besut (32). “Kuala Terengganu tertinggi kerana daerah tersebut mempunyai banyak penempatan,” katanya selepas memberi taklimat Kesiapsiagaan MTL di sini hari ini.

Osman berkata, tumpuan akan diberikan terhadap kawasan-kawasan terletak di tebing lembangan sungai-sungai utama di negeri ini seperti Sungai Terengganu, Sungai Dungun dan Sungai Kemaman.

Beliau berkata, sebanyak 43 perkampungan yang terletak di muara sungai juga berisiko dilanda banjir ekoran fenomena air pasang besar sepanjang tempoh MTL.

“Selain hakisan pantai, kebimbangan kita taburan hujan terlalu lebat yang berlaku secara tiba-tiba.

“Sebagai contoh Hulu Terengganu dan Kampung La, Besut pernah ditimpa hujan 700 mililiter (ml) sehari masing-masing pada tahun 2022 dan 2023. Itu putara taburan hujan yang sepatutnya turun dalam tempoh tiga bulan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Dakwaan manipulasi meter pam Budi95 tidak benar

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Dakwaan kononnya berlaku manipulasi meter pam yang menyebabkan isian petrol kurang yang tular di media sosial sejak pelaksanaan Budi Madani 95 (Budi95) melibatkan petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter didapati tidak benar.

Pengarah Kementerian Perdagangan Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Mohd. Mufsi Lat berkata, pemeriksaan dilakukan bersama Metrology Corporation Malaysia Sdn. Bhd. berikutan empat aduan diterima di seluruh negeri ini setakat ini mengesahkan bacaan meter pam terbabit berada dalam had selisih dibenarkan.

Beliau berkata, anggota penguat kuasa KPDN bersama Metrology Corporation Malaysia telah menjalankan pemeriksaan serta penentusahan meter pam minyak di stesen yang menerima aduan.

“Pemeriksaan itu dilakukan menggunakan alat penentusahan khas bagi memastikan ketepatan bacaan serta pematuhah piawaian ditetapkan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada bukti kukuh menunjukkan berlakunya sebarang manipulasi oleh pengendali stesen minyak,” katanya selepas melakukan pemeriksaan di sebuah stesen minyak di Jakar, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Mufsi berkata, KPDN telah menjalankan 164 pemeriksaan di stesen minyak seluruh Terengganu sejak pelaksanaan Budi95 pada 30 September lalu.

Beliau berkata, setakat ini, tiada sebarang pelanggaran peraturan berkaitan pelaksanaan Budi95 dikesan di negeri ini.

“Kita juga tidak menerima sebarang kes warga asing menyalahguna petrol RON95 dengan harga subsidi RM1.99 seliter yang dikhaskan untuk rakyat tempatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Usahawan hartanah Azlan Al Amin, lima lelaki lain didakwa bergaduh

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

BESUT – Usahawan hartanah, Datuk Mohamad Azlan Abdullah @ Ali, 38, atau dikenali sebagai Azlan Al Amin dan adiknya, Mohd. Mustakim dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merosakkan kereta seorang jurujual kad sim telekomunikasi pada Khamis lalu.

Kedua-dua Orang Kena Saman (OKS) tersebut membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud.

Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Azlan dan Mohd. Mustakim didakwa merosakkan sebuah kereta Perodua Bezza dinaiki Wan Hafizie Wan Mohamd, 36, yang menyebabkan kerugian RM5,000.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan kedua-dua OKS di hadapan rumah mereka di Kampung Pengkalan Buluh, Jerteh di sini pada pukul 11 malam, 23 Oktober lalu.

Mohamad Azlan dan Mohd. Mustakim didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sakit kesalahan.

Mohd. Mustakim bersama tiga pekerja Mohamad Azlan lain iaitu Ramli Mohd., 56; Muhammad Shafiq Hakimi Hussain, 21 dan Muhammad Haiqal Mirzan Mohd. Mazli, 23, turut menghadapi pertuduhan menyebabkan kecederaan Wan Hafizie pada lokasi, masa dan tarikh sama.

Kesemua tertuduh yang mengaku tidak bersalah didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Wan Hafizie pula dihadapkan atas dua pertuduhan melakukan kekerasan jenayah terhadap Mohamad Azlan dan Mohd. Mustakim pada lokasi, waktu dan tarikh sama.

Dia yang mengaku tidak bersalah didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 jika sabit kesalahan.

Kosmo! Ahad semalam melaporkan kesemua enam lelaki itu telah ditahan bagi membantu siasatan kes pergaduhan disebabkan salah faham berlaku di hadapan rumah Mohamad Azlan yang tular di media sosial. – KOSMO! ONLINE


Pesara rugi lebih RM300,000 diperdaya skim pelaburan palsu

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KEMAMAN – Seorang pesara berputih mata kerugian RM301,350 akibat diperdaya skim pelaburan tidak wujud.

Lelaki berusia 51 tahun yang bersara awal tersebut telah membuat laporan berhubung kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, pada mulanya, lelaki berkenaan tertarik dengan iklan pelaburan saham berkenaan yang dilihatnya di dalam laman Facebook pada 13 Julai lalu.

“Mangsa kemudianya menyertai skim pelaburan tersebut dengan modal keseluruhan RM301,350.

“Ia dibayar secara berperingkat menerusi 14 transaksi ke dalam lima akaun bank berasingan antara 16 Ogos hingga 2 Oktober lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Wan Muhamad berkata, lelaki itu akhirnya sedar dia sudah tertipu apabila tidak memperoleh apa-apa pulangan daripada pelaburan tersebut.

Beliau berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Terengganu terima tujuh projek baharu tebatan banjir, hakisan

 

  • Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Terengganu bakal menerima tujuh projek baharu bagi menangani isu banjir dan hakisan pantai yang sering melanda negeri tersebut saban tahun.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Osman Abdullah berkata, kesemua projek tebatan banjir dan pengawalan hakisan berkenaan diluluskan mengikut Bajet Rolling Plan Pertama (RP1) Tahun 2026 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) baru-baru ini.

Beliau berkata, peruntukan keseluruhan RM410.68 juta telah diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi pelaksanaan kesemua projek terbabit.

“Projek baharu tersebut ialah pengawalan hakisan Pantai Rusila, Marang bernilai RM140 juta dan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Anak Sungai Ibai, Kuala Terengganu (RM10 juta).

“Selain itu, RTB Sungai Buaya, Kuala Nerus dan pemuliharaan sungai masing-masing menelan belanja RM198.17 juta dan RM25 juta,” katanya selepas memberi taklimat Kesiapsiagaan MTL di sini hari ini.

Osman berkata, projek sistem Saliran Line 28 di Kampung Mak Chili Kemaman dengan kos RM29.5 juta juga telah diluluskan.

Beliau berkata, selain itu, kelulusan juga diberikan kepada Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) Kemaman bernilai RM3.2 juta.

“Projek baharu ketujuh ialah Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir Lembangan Sungai Dungun bernilai RM4.5 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE

ASEAN ke-47: Saifuddin Nasution jadi pengiring Trump

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bakal bertugas sebagai menteri pengiring kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, dijadual berlangsung di ibu negara 26 Oktober depan.

Katanya, beliau hanya akan mengiringi Trump sepanjang sidang kemuncak tersebut namun segala perbincangan dan perundingan berhubung pelbagai isu termasuk Gaza dengan pemimpin negara ‘Uncle Sam’ itu hanya melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin-pemimpin negara ASEAN lain termasuk Timur Laste.

“Wisma Putra akan menugaskan mana-mana menteri (sebagai pengiring) apabila pemimpin dunia datang ke negara kita.

“Kali ini, saya kena iring Presiden Amerika Syarikat (Trump) sepanjang acara (ASEAN ke-47),” katanya di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan peluncuran SMKA Sheikh Ahdul Malek sebagai Sekolah Angkat Madani Jabatan Pendaftaran Negara.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, beliau cuba membantu rundingan pembebasan wakil-wakil negara dalam dua misi kemanusiaan ke Gaza dengan menghubungi Utusan Khas Amerika Syarikat ke Timur Tengah, Steve Witkoff yang merupakan kenalannya.

Beliau berkata, usaha itu agak kecil berbanding inisiatif telah diambil Anwar dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan yang memainkan peranan lebih besar bagi membebaskan peserta Global Sumud Fotilla dan Freedom Flotilla Coalition.

“Saya tahu beliau (Anwar) menghubungi rakan-rakan sejawatnya di Arab Saudi, Mesir dan Turkiye. Begitu juga Tok Mat (Mohamad),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Usahawan hartanah ditahan lagi, kes tipu tanah pula

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang usahawan hartanah ditahan bagi membantu siasatan kes penipuan urus niaga tanah.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, penahanan lelaki berusia 38 tahun itu dilakukan selepas dia dihadapkan di Mahkamah Sesyen Besut bagi pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan hari ini.

“Suspek telah ditangkap semula oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu bagi membantu siasatan kes penipuan urus niaga tanah. Urus niaga itu melibatkan seorang pesara guru yang mendakwa telah kerugian RM35,000 pada tahun 2023,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Khairi berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini esok bagi permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Untung berniaga tak dapat, penyelia rugi RM154,291 diperdaya scammer

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang penyelia operasi pelantar minyak untuk meraih keuntungan dalam perniagaan pembekalan alat tulis lebur, malah dia turut kerugian RM154,291 akibat diperdaya sindiket penipuan atau scammer.

Lelaki berusia 40 tahun yang menyedari tertipu tersebut telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, di sini pada pukul 4.37 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya penyelia terbabit tertarik untuk melabur dalam peniagaan pembekalan alat tulis secara pukal yang diiklankan di dalam aplikasi TikTok.

“Mangsa menekan pautan diberikan sebelum menyertai skim pelaburan terbabit.

“Dia telah membuat pindahan wang bagi pembayaran modal pelaburan ke dalam lima akaun bank berasingan yang diberikan suspek,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azli berkata, lelaki tersebut mula menyedari sesuatu tidak kena apabila tidak mendapat pulangan keuntungan dijanjikan.

Beliau berkata, begitupun penyelia terbabit menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan modal dikeluarkan sekali gus menarik diri daripada skim pelaburan tersebut.

“Mangsa sebaliknya diarah untuk membayar denda RM63,191 dan kononnya bayaran pengurusan kedai di platform TikTok Shop berjumlah RM81,000.

“Dia yang kehilangan wang simpanan sebanyak RM154,291 enggan menurut kemahuan suspek sebaliknya membuat laporan polis,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Sanggup bakar lori, elak disita JPJ

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Gara-gara tidak mahu lorinya disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), seorang individu sanggup membakar kenderaan miliknya ketika ditahan di Kampung Padang Air, di sini hari ini.

Kejadian pada pukul 1.30 tengah hari itu berlaku di hadapan Sekolah Kebangsaan Padang Air.

Pengarah JPJ Terengganu, Mohd. Zamri Samion berkata, lori itu dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan anggota JPJ yang sedang melakukan rondaan.

“Pemeriksaan mendapati kenderaan itu dipandu remaja bawah umur yang tidak memiliki lesen memandu selain lesen kenderaan sudah tamat tempoh selama lebih dua tahun.

“Lori itu juga didapati gagal menjalani pemeriksaan Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) sejak 2023,” katanya.

Jelas beliau, pemilik lori enggan memberi kerjasama ketika anggota JPJ mahu menyita kenderaan tersebut dan membakar kenderaan tersebut bagi menghalang sitaan.

“Tindakan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah membahayakan nyawa anggota bertugas. Semakan mendapati suspek memiliki enam saman yang masih aktif termasuk mengubah suai kenderaan,” katanya.

Tambahnya, susulan kejadian itu, pihaknya membuat laporan kepada polis dan Jabatan Tenaga Kerja untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

LKIM sedia stok 1,900 tan metrik ikan hadapi musim tengkujuh

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bersedia untuk mengeluarkan simpanan 1,900 tan metrik ikan sejuk beku bermula pada masa terdekat sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bakal tiba pada awal bulan depan.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pengeluaran simpanan terbabit bertujuan menstabilkan bekalan ikan terutama spesies pelagik sepanjang musim tengkujuh yang dijangka akan berlarutan sehingga Mac tahun hadapan.

Beliau berkata, kebiasaannya bekalan ikan segar tempatan akan berkurangan sepanjang tempoh MTL ekoran sebahagian besar nelayan Pantai Timur tidak dapat turut ke laut disebabkan laut bergelora.

“LKIM telah menyimpan 300 tan metrik manakala baki 1,600 tan metrik ikan beku pula hasil kerjasama dengan syarikat swasta.

“Ia bukan sahaja memastikan bekalan ikan terus stabil malah mengelak manipulasi harga sepanjang musim tengkujuh kelak,” katanya di LKIM Dungun di sini hari ini.

Terdahulu beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan bakul makanan kepada nelayan setempat yang bakal terjejas akibat MTL tidak lama lagi.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Faiz berharap golongan peniaga dan pemborong lebih bertanggungjawab bersama-sama kerajaan memastikan rakyat memperolehi ikan yang merupakan antara sumber protein utama dengan mudah dan berpatutan biarpun pada tempoh MTL.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam) Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Nor Yahati Awang berkata, Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka mengalami tujuh episod hujan lebat pada awal November hingga Disember depan. – KOSMO! ONLINE

Tipu urus niaga: Permohonan reman usahawan hartanah ditolak lagi

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Permohonan Polis Diraja Malaysia untuk mereman seorang usahawan hartanah dan adik lelakinya yang disyaki terlibat dalam kes penipuan urus niaga tanah sekali lagi ditolak di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Nur Athirah Hashim memutuskan demikian selepas mendengar permohonan reman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Difahamkan usahawan hartanah terbabit berusia 38 tahun dan adiknya berusia 31 tahun tersebut disiasat bagi membantu siasatan kes penipuan urus niaga tanah melibatkan amaun RM26,000 di Hulu Terengganu pada tahun 2023.

Peguam, Ahmad Adha Amir Yasser yang mewakili mereka berkata, anak guamnya telah ditahan semula selepas permohonan reman dibuat polis di Mahkamah Majistret Dungun ditolak kelmarin.

Beliau berkata, usahwan hartanah tersebut adik lelakinya kemudian dibawa ke lbu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu dekat sini.

“Sama seperti di Mahkamah Majistret Dungun, alasan penolakan tersebut disebabkan anak guam saya pernah dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan sebelum ini.

“Saya berhujah elemen siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan ini dilihat tidak lengkap kerana perjanjian jual beli dan tanah itu wujud,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Majistret di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan Mahkamah Majistret Dungun menolak permohonan reman terhadap usahawan hartanah tersebut dan adik lelakinya. – KOSMO! ONLINE

Takut dituduh keldai akaun, peniaga hilang RM83,500 diperdaya scammer

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara terlalu takut digertak sindiket penipuan atau scammer kononnya sedang disiasat sebagai ‘keldai akaun’, seorang peniaga terperdaya sehingga kerugian RM83,500.

Lelaki berusia 35 tahun itu yang kehilangan simpanan Tabung Haji dan modal perniagaannya telah membuat laporan berhubung kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 6.17 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, peniaga terbabit telah dihubungi individu mengaku kononnya pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada pukul 1.15 tengah hari, 1 Oktober lalu.

“Mangsa terkejut apabila didakwa kononnya butiran peribadinya telah disalah guna scammer dari Kemaman dekat sini.

“Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada individu yang mendakwa kononnya pegawai polis pula,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, peniaga terbabit tambah terkejut apabila dimaklumkan kononnya dia turut disiasat dalam kes penggubahan wang haram dan disyaki merupakan ‘keldai akaun’.

Beliau berkata, suspek mengarahkan lelaki itu agar mengeluarkan semua wang simpanannya kononnya sebagai syarat penyelesaian kes.

“Mangsa yang ketakutan telah menurut arahan itu. Dia telah memindahkan wang simpanannya ke dalam tiga akaun bank diberi suspek,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Guru gelabah terima panggilan, serah RM446,200 kepada scammer

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara terlalu takut dituduh terlibat dalam kes penggubahan wang haram, seorang guru yang akan bersara tidak lama lagi kerugian RM446,200 akibat diperdaya sindiket penipuan atau scammer.

Lelaki berusia 59 tahun yang membuat pembiayaan peribadi, menggunakan kad kredit dan meminjam wang ahli keluarga untuk diserahkan kepada scammer tersebut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 3.40 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, guru terbabit telah dihubungi individu mendakwa wakil sebuah syarikat insurans pada 28 Jun lalu.

“Mangsa didakwa membuat tuntutan perubatan sebanyak RM12,000 sebelum panggilannya disambungkan pula kepada individu lain yang mendakwa kononnya pegawai polis.

“Dia terkejut apabila didakwa kononnya terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram bersama seorang lelaki lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Azli berkata, guru tersebut kemudiannya diarahkan menghubungi dua individu lain yang mendakwa kononnya pegawai Jabatan Kehakiman Sabah bagi menyelesaikan kes tersebut.

Beliau berkata, lelaki itu semakin gelabah apabila ditunjukkan dokumen kononnya kertas siasatan dan waran tangkap terhadapnya sebelum diarahkan membayar wang jaminan dan kos guaman jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.

“Dia juga dilarang memaklumkan penyiasatan kes melibatkan dirinya kepada pihak lain termasuk ahli keluarga kononnya disebabkan Akta Rahsia Rasmi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Bayi sembilan bulan maut dalam kemalangan empat kenderaan

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Perjalanan sebuah keluarga untuk pulang ke kampung berakhir tragedi apabila bayi perempuan berusia sembilan bulan maut manakala ibubapanya pula cedera dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 79, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Bukit Grebar di sini semalam.

Kemalangan pada pukul 10.27 pagi itu menyebabkan mangsa, Nur Athiya Inara Isnorizal mengalami cedera parah pada bahagian kepala.

Bayi tersebut menghembuskan nafas terakhir kira-kira 10 jam kemudian ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu. Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd. Zain Mat Dris berkata, sewaktu kejadian, keluarga tersebut dikatakan dalam perjalanan pulang ke kampung di Kampung Besut, Tumpat, Kelantan dari rumah mereka Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Perodua Axia dinaiki keluarga itu yang dipandu bapa mangsa berusia 25 tahun dikatakan tiba-tiba hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang sebuah ketika Perodua Axia lain yang sedang berhenti untuk membelok ke simpang kanan.

“Rempuhan tersebut menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabit berpusing sebelum dilanggar sebuah kereta Honda Accord yang sedang melalui arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Zain berkata, kereta Honda Accord tersebut yang dipandu seorang lelaki berusia 54 tahun kemudiannya hilang kawalan lalu melanggar pula sebuah kereta Honda Accord lain yang berada di bahu jalan.

Beliau berkata, Nur Athiya Inara yang cedera parah telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Setiu di sini sebelum dipindahkan ke HSNZ dan disahkan telah meninggal dunia pada pukul 8.09 malam. – KOSMO! ONLINE

Satu juta pengunjung Tasik Kenyir sempena TMM 2026





  • Oleh MOHD AZLI ADLAN





HULU TERENGGANU – Seramai satu juta pelancong disasar bakal mengunjungi Tasik Kenyir di sini pada tahun hadapan sempena penganjuran Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) sebagai agensi pengendali telah merangka dan melaksana pelbagai program bagi mencapai sasaran tersebut.

“Salah satunya penganjuran Festival Kenyir Geopark yang kembali dianjurkan selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2019.

“Festival selama tiga hari bermula hari ini (tersebut) dijangka menarik kehadiran 60,000 pengunjung dengan janaan jualan kira-kira RM1.2 juta,” katanya selepas merasmikan
Festival Kenyir Geopark di sini hari ini.

Rubiah berkata, festival melibatkan 112 usahawan desa sekitar itu mahu mempromosikan lagi Tasik Kenyir yang kini berstatus Taman Geo Kebangsaan.

Beliau berkata, kementeriannya menerusi Ketengah komited untuk mengembalikan semula kegemilangan Tasik Kenyir sebagai produk ekopelancongan seperti sebelum penularan pandemik Covid-19 pada tahun 2020.

“Sebelum ini, Tasik Kenyir pernah pernah berjaya menarik purata 800,000 pengunjung setahun namun ia merosot teruk ekoran pandemik Covid-19.

“Kehadiran pengunjung dilihat mula memulih sedikit demi sedikit pada tahun 2023. Setakat ini, seramai kira-kira 320,000 orang melancong di Tasik Kenyir sejak awal tahun ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tuesday, October 14, 2025

Influenza merebak di sekolah, IPT

 

Oleh MOHD YUNUS YAKKUB, MOHD AZLI ADLAN dan NORFARHIZA MOHD ATAR

SHAH ALAM – Kes influenza di Selangor melonjak lebih 80 peratus dalam tempoh se­minggu yang dikatakan berpunca dari ­institusi pendidikan, namun pihak berkuasa masih belum mendapat cadangan daripada pejabat ke­sihatan untuk penutupan sementara premis. 

Kes di negeri ini meningkat da­ripada 602 kes pada minggu berakhir 20 September kepada 1,128 kes pada minggu berakhir 27 September lalu. 

Exco Kesihatan Awam negeri, Jamaliah Jamaluddin berkata, sebanyak 64.7 peratus daripada jumlah kes berkenaan berpunca daripada institusi pendidikan termasuk prasekolah hingga ke institut pengajian tinggi.

"Sejak minggu epidemik (ME) pertama pada 8 Mac hingga ME 39 pada 27 September, sebanyak 88 lokasi wabak dikesan dengan purata tiga lokasi setiap minggu.

"Bagaimanpun, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor melalui pejabat kesihatan daerah sentiasa memanta situasi dan melaksanakan penilaian risiko di lapangan," katanya kepada Kosmo!.

Menurut Jamaliah, sebarang arahan penutupan kelas atau sekolah hanya ditentukan pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri selepas mendapat cadangan daripada pejabat kesihatan daerah.

Tambahnya, kerajaan negeri bersama pihak berkuasa kesihatan melaksanakan program vaksinasi influenza percuma sejak Februari lalu dengan mengkhususkan kepada warga emas yang mempunyai satu atau lebih penyakit kronik.

"Ia melibatkan penyakit seperti diabetes, resporatori, jantung, obesiti, hipertensi, dislipidemia serta penyakit buah pinggang kronik.

"Vaksin ini boleh diperoleh secara percuma di 82 fasiliti kesihatan kerajaan seluruh Selangor. Namun, masyarakat yang tidak termasuk dalam kumpulan ini digalakkan mendapatkan vaksin influenza di fasiliti kesihatan swasta," jelasnya.

Sementara itu di Kuala Terengganu, kebanyakan ibu bapa risau dengan peningkatan wabak influenza dan mengambil langkah berjaga-jaga dengan membekalkan pelitup muka kepada anak pergi ke sekolah.

Ada yang sanggup mengeluarkan wang mengambil suntikan imunisasi bernilai RM100 bagi setiap ahli keluarga.

Suraya Mohd. Adam, 42, berkata, dia risau apabila dimaklumkan penularan wabak influenza dalam kalangan pelajar tingkatan satu di asrama anaknya dikesan sebaik pembukaan semula sekolah selepas musim cuti dua minggu lalu.

"Walaupun anak tingkatn empat tetapi saya minta dia patuh saranan pengurusan sekolah dan pakai pelitup muka di dalam kelas dan surau.

"Saya harap anak dibenarkan pulang untuk sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah sekiranya wabak influenza semakin berlaruta," katanya.

Ujar Suraya, dia dan suami bercadang untuk membawa anaknya itu mendapatkan suntukan imunisasi influenza.

Di Lipis, sebuah sekolah tahfiz di sini terpaksa ditutup selepas 17 warganya dijangkiti influenza sejak awal minggu ini.

Nurliza Abdullah, 44, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara yang berlaku di sekolah anaknya itu.

Katanya, anak lelakinya yang berusia 15 tahun itu mula menunjukkan simptom tidak sihat selepas menyertai program perkhemahan di Raub selama tiga hari bermula Selasa minggu lalu.

"Keputusan ujian negatif, namun saya tetap berhati-hati dan hanya menghantar semula anak ke asrama pada Ahad selepas keadaannya beransur pulih.

"Bagaimanapun, pagi tadi (semalam) saya dimaklumkan ada 17 warga sekolah positif influenza dan sekolah diarahka tutup," katanya.

Nurliza turut berkongsi pengalaman apabila ramai ibu bapa membawa anak ke klinik kesihatan bagi mendapatkan rawatan selepas menunjukkan simptom seperti batuk, selesema dan demam.

Dia turut berharap kerajaan menyediakan ujian saringan inflenza berharga kira-kira RM80 secara percuma atau bersubsidi.



Monday, October 13, 2025

RM18.91 juta produk buluh dieksport

HULU TERENGGANU – Produk berasas buluh tempatan bernilai RM18.91 juta berjaya dieksport pada tahun lalu. 

 Timbalan Menteri Perlada ngan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, ia sebahagian daripada nilai eksport industri perkayuan tempatan yang ber jumlah keseluruhan RM22.92 bilion dalam tempoh sama.

 “Secara keseluruhan industri perkayuan termasuk buluh me rupakan penyumbang ketiga ter besar dalam sektor agrikomoditi negara. 

 “Sektor tersebut menca tat nilai eksport keseluruhan RM186.5 bilion pada tahun lalu,” katanya selepas merasmikan Hari Buluh Sedunia peringkat kebangsaan di Pusat Latihan In dustri Pembalakan Terengganu (TTITC) di sini semalam. 

 Foong Hin berkata, nilai eksport produk buluh tempatan bagaimanapun merosot 5.9 peratus pada tahun lalu berbanding RM20.09 juta yang diraih pada tahun 2023. 

 Beliau berkata, sebagai perbandingan, nilai import produk buluh pula meningkat kepada RM126.73 juta pada 2024 ber banding RM108.54 juta pada tahun sebelumnya. 

 “Ia menunjukkan industri bu luh negara masih mempunyai ruang dan berpotensi besar untuk berkembang bagi menyokong industri perkayuan negara.

 “Kita mempunyai lebih 70 spesies buluh termasuk 45 dari padanya spesies tempatan yang terbukti mempunyai pertumbuhan pantas serta memiliki kekuatan mekanikal dan daya tahan,” katanya. 

 Foong Hin berkata, industri buluh turut mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran global dengan nilai pasaran pada tahun ini diunjur menjangkau RM314.16 bilion. 

 Katanya, kerajaan mengambil inisiatif mengembangkan industri buluh dengan menggalakkan pembukaan lebih banyak ladang pokok itu di seluruh negara.

 “Buat masa ini, industri bu luh disokong oleh 577 pengusaha yang terlibat dalam sektor papan, perabot, pembinaan, tekstail, makanan, arang dan kraftangan. 

 “Kerajaan juga melaksanakan projek Pembangunan Perlada ngan Buluh Komuniti melibatkan usahawan tani bersaiz kecil,” katanya.

Sunday, October 12, 2025

2,000 anggota agensi keselamatan siap hadapi MTL

BESUT – Lebih 2,000 pegawai dan anggota pasukan keselamatan Terengganu bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan banjir menjelang ketibaan Monsun Timur Laut (MTL) dijangka hujung bulan ini. 

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, semua agensi terlibat telah menjalani latihan bersama persediaan menghadapi banjir. 

 “Ia melibatkan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia. 

 “Saya sebagai Komandan Operasi Majlis Pengurusan Ben cana Negeri Terengganu akan memanggil mesyuarat penyela rasan melibatkan semua agensi penyelamat dalam masa terdekat,” katanya ketika meras mikan Program Taman Angkat Amanita Terengganu ke-11 di sini semalam. 

Katanya, tumpuan diberikan terhadap kerja-kerja penyelamatan dan pemindahan penduduk terjejas ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang diwartakan. 

 Beliau berkata, sebelum ini, mesyuarat pengurusan bencana peringkat negeri dan daerah telah selesai dipengerusi kan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Zulkifli Ali. 

 Mohd. Khairi berkata, berdasarkan ramalan awal, semua lapan daerah di Terengganu dijangka terjejas banjir pada tempoh MTL tahun ini. 

 “Kita bersiap menghadapi sebarang kemungkinan me mandangkan cuaca sentiasa berubah. 

 “Kita tunggu pengesahan ramalan cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi,” katanya

Saturday, October 11, 2025

Nelayan patah rusuk terkena tali bot putus

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki Vietnam yang merupakan kru sebuah bot nelayan tempatan cedera parah akibat terkena tali bot yang tiba-tiba putus sewaktu mereka sedang menangkap ikan di perairan Kuala Terengganu, di sini hari ini.

Kejadian pada pukul 10.30 pagi itu menyebabkan mangsa berusia 38 tahun patah tulang rusuk dan cedera di muka.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, insiden itu berlaku pada kedudukan kira-kira 77.78 kilometer dari timur perairan Kuala Terengganu.

“Maritim Malaysia (APMM) telah menggerakkan bot peronda Perkasa 1234 ke lokasi tersebut sebaik menerima maklumat insiden berkenaan daripada penjaga bot nelayan terbabit.

“Bot peronda terbabit berjaya menemui bot nelayan itu bagi tujuan penyelamatan pada pukul 12.45 tengah hari tadi,” katanya di sini, hari ini.

Hamiludin berkata, nelayan Vietnam terbabit telah dipindahkan ke bot peronda Perkasa 1234 sebelum tiba ke Jeti Pejabat Maritim Terengganu, di sini pada pukul 1.45 tengah hari.

Beliau berkata, sebaik tiba di jeti, mangsa terus dikejarkan dengan ambulans ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk menerima rawatan. – KOSMO! ONLINE

Bot terbalik, suami isteri lemas di Kuala Merchang

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Pasangan suami isteri yang turun ke laut untuk menangkap ikan ditemukan lemas selepas bot fiber dinaiki mereka terbalik di perairan Kuala Merchang di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, bot fiber yang dinaiki Abdul Rahim Mustaffa, 47, dan isterinya, Norhasriah Che Osman, 46, dipukul ombak besar.

Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd. Sofian Redzuan berkata, Abdul Rahim yang merupakan pesara tentera dan isterinya keluar menangkap ikan pada pukul 7.45 pagi.

“Bot yang dinaiki mereka dipukul ombak besar dan angin kencang sebelum terbalik di perairan.

“Operasi mencari dan menyelamat kemudian digerakkan dengan bantuan nelayan setempat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Sofian berkata, mayat Norhasriah yang merupakan suri rumah dijumpai pada pukul 4.30 petang, manakala suaminya pula ditemukan kira-kira 15 minit kemudian pada kedudukan tiga dan empat kilometer dari perairan Kuala Merchang.

Mayat pasangan suami isteri itu dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

“Saya menasihatkan orang ramai terutama komuniti nelayan supaya memantau keadaan cuaca sebelum turun ke laut.

“Perairan Kuala Merchang dilaporkan bergelora dan angin kencang sejak Khamis lalu,” katanya. – KSOMO! ONLINE