- Oleh MOHD AZLI ADLAN dan ERMA YUSNIDA JUSOH
KUALA NERUS – Demi minat dan kepuasan peribadi, peminat Yamaha RXZ sanggup berhabis sehingga RM50,000 semata-mata mahu memiliki motosikal idaman dua lejang itu.
Malah, ada antara mereka mengakui tidak kisah untuk mengeluarkan belanja yang besar selain sanggup menyimpan duit setiap bulan demi melunaskan impian yang terbina sejak zaman persekolahan.
Nilai sentimental dan harga pasaran yang tinggi menyebabkan motosikal keluaran tahun 1980-an itu mendapat perhatian dan menjadi buruan peminatnya, lebih-lebih lagi menjelang Himpunan RXZ Members pada hujung minggu ini.
Seorang peniaga makanan, Mohd. Raziki Mohd. Nordin, 38, berkata, dia membeli motosikal Yamaha RXZ keluaran 2005 pada harga RM50,000 tiga tahun lalu daripada seorang rakannya di Kuala Lumpur.
Daia yang menetap di Gong Badak di sini menegaskan tidak pernah menyesal malah berpuas hati dapat memiliki motosikal yang menjadi impiannya sejak kecil biarpun harga di pasaran ketika itu sekitar RM10,000.
"Saya kumpul duit beberapa tahun demi memiliki motosikal ini, Yamah RXZ keluaran tahun 2005 itu sangat istimewa kerana menggunakan spare part (alat ganti) baru," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mohd. Raziki berkata, motosikal tersebut hanya ditunggangi tidak lebih tiga kali setahun termasuk untuk menyertai Himpunan RXZ Members di Litar Permotoran Terengganu di sini.
"Sayang hendak 'lenjan' motosikal ini lagi harganya agak mahal," katanya.
Seorang lagi peminat RXZ, Khairuddin Mohd. Suffi, 53, memberitahu dia membeli motosikal jenama itu bagi keluaran tahun 1987, lapan tahun alu dengan harga RM14,000.
"Ini motosikal Yamaha RXZ ketiga yang pernah saya miliki. Motosikal pertama dibeli pada 1995 pada harga RM18,000 dan yang kedua pada harga RM22,000 pada 2006.
"Isteri dan anak-anak merestui kerana memahami minat saya. Kesemua motosikal Yamaha RXZ terbabit hanya untuk menyertai aktiviti riadah bersama rakan-rakan," katanya yang merupakan jurutera.
Sementara itu, Rifdi Imran Rosli, 33, berkata, dia tidak menyesal membelanjakan RM28,000 untuk membeli sebuah Yamaha RXZ keluaran 2007 dua tahun lalu yang merupakan idamannya sejak zaman persekolahan.
Katanya, motosikal yang dibeli daripada seorang rakan itu bukan sahaja memiliki nilai sentimental, malah merupakan aset yang masih mempunyai nilai pasaran tinggi dalam kalangan peminatnya.
"Ramai yang cakap mahal tetapi bagi saya berbaloi sebab motosikal ini mempunyai nilai koleksi dan permintaan tinggi, terutama sekiranya semua alat ganti masih original," katanya ketika ditemui di Kampung Manir di sini semalam.
Rifdi Imran yang merupakan ahli Kelab RXZ Generation Lifestyle berkata, motosikal dua lejang seperti Yamaha RXZ kini semakin sukar diperoleh dalam keadaan asli dan terjaga sekaligus menyebabka hargana meningkat dari tahun ke tahun.
"Itu yang buat harganya naik. Barang spare part (alat ganti) pun bukan senang hendak dapat dan harganya pun bukan murah.
"Motosikal Yamaha RXZ semakin mendapat perhatian terutama menjelan acara Himpunan RXZ Members 7.0 hujung minggu ini," katanya.
Rifdi Imran berkata, harga motosikal itu semakin meningkat sewaktu penganjuran Himpunan RXZ Members kerana ia menghimpunkan puluhan ribu pemilik motosikal berkenaan dari seluruh negara.
Dalam pada itu, seorang pempengaruh dan juga pengasas produk kosmetik, Farhana Zahra turut menawarkan sebuah motosikal Yamaha RXZ Catalyzer pada harga RM1 jut di media sosial baru-baru ini.
Dia yang dikenali sebagai Cikna mendakwa telah membeli motosikal yang belum didaftarkan lagi dan masih asal dari kilang pada herga RM146,000 pada tahun lalu.
"Motosial ini unregister (belum daftar), NOS (barang baru stok lama) ori (asal) kilang.Satu di Malaysia dan ada dengan Cikna.
"Siapa kata RM1 juta mahal, demo tak kenal bare (barang). Satu sahaja tau di Malaysia, memang patut kita letak RM1 juta," katanya.