Translate

Friday, July 31, 2026

Terengganu tawar lesen motosikal percuma

 

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri meneruskan program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) secara percuma buat kali ketiga kepada golongan belia di Terengganu bermula bulan depan.

 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, menerusi program itu, pihaknya menyasarkan 15,000 belia berusia 18 hingga 40 tahun melibatkan peruntukan RM4.56 juta. 

“Belia yang layak akan dibiayai kos lesen motosikal bernilai RM310 termasuk insurans,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan boling golek santai bersama pengamal media di sini kelmarin. 

Menurut beliau, kos itu merangkumi bayaran pendaftaran, ujian berkomputer, latihan dan ujian praktikal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Program LMTS itu dilaksanakan sejak 2019 dengan 40,000 belia Terengganu menerima manfaatnya. “Pada 2019, seramai 25,000 belia memperoleh lesen motosikal dan 15,000 orang pada 2020/21,” katanya.

 Belia Terengganu yang berpendapatan bawah RM1,500 sebulan boleh memohon LMTS menerusi portal https://ibantuan.terengganu.gov.my bermula 6 Mac sehingga 20 Mac ini.

Tasik Kenyir dilengkapi kemudahan jeti tambatan bot lebih sistematik

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU – Destinasi pelancongan terkenal, Tasik Kenyir terus diperkasa dengan kemudahan baharu, jeti tambatan bot yang bertujuan mengawal selia rumah bot di Pengkalan Lawit di sini.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Ketengah (Ketengah), Datuk Rozi Mamat berkata, projek bernilai RM8.7 juta terbabit membolehkan 40 buah rumah bot Tasik Kenyir berlabuh bagi tujuan penyelenggaraan pada satu-satu masa.

“Setiap unit tambatan bot tersebut dilengkapi bekalan elektrik dan air selain kemudahan rumah sampah berpusat.

“Ia membolehkan lebih 80 pengusaha menyelenggara rumah bot mereka dengan lebih sistematik,” katanya selepas merasmikan Jeti Tambatan Bot
di Pengkalan Lawit di sini hari ini.

Rozi berkata, kemudahan jeti tambatan bot tersebut juga bagi mengurangkan kesesakan di Pengkalan Gawi yang merupakan jeti utama kemasukan pelancong ke Tasik Kenyir.

Beliau berkata, jeti tambatan bot tersebut turut menyediakan menyediakan 30 unit pontun untuk bot laju.

“Kemudahan sama juga dilengkapi 86 perak tempat meletak kenderaan, tandas awam, rumah pam, pos pengawal, pencawang elektrik dan laluan pejalan kaki sepanjang kira-kira 600 meter.

“Semoga kemudahan yang lebih moden, selamat dan tersusun ini memberi keselesaan kepada pengusaha rumah bot dan bot laju yang menjadi nadi kepada sektor pelancongan Tasik Kenyir,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Kontraktor rugi RM254,000 diperdaya skim pinjaman palsu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang kontraktor binaan berputih mata bukan sahaja tidak mendapat pembiayaan dimohon, malah simpanannya berjumlah RM254,000 pula yang lesap diperdaya skim pinjaman tidak wujud.

Lelaki berusia awal 40-an yang menyedari tertipu tersebut telah membuat laporan berhubung kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 1.14 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, kontraktor tersebut tertarik dengan iklan tawaran pinjaman wang yang dilihatnya menerusi laman Facebook di Manir di sini pada 31 Mac lalu.

“Mangsa berhasrat untuk memohon pembiayaan sebanyak RM200,000 sebelum bertemu individu tidak dikenali mendakwa kononnya pegawai syarikat pinjaman wang terbabit di sebuah restoran di Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Kuala Terengganu di sini.

“Sewaktu pertemuan itu, suspek mengemukakan dokumen kononnya perjanjian pinjaman wang bagi meyakinkan mangsa,” katanya di sini hari ini.

Azli berkata, kontraktor terbabit yang terperdaya mengikut arahan suspek membuat pembayaran kononnya untuk kelulusan permohonan pinjaman terbabit.

Beliau berkata, pindahan wang keseluruhan RM254,000 dilakukan menerusi 23 transaksi antara 24 Jun hingga Sabtu lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE