Translate

Friday, July 31, 2026

Kontraktor rugi RM254,000 diperdaya skim pinjaman palsu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang kontraktor binaan berputih mata bukan sahaja tidak mendapat pembiayaan dimohon, malah simpanannya berjumlah RM254,000 pula yang lesap diperdaya skim pinjaman tidak wujud.

Lelaki berusia awal 40-an yang menyedari tertipu tersebut telah membuat laporan berhubung kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 1.14 tengah hari, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, kontraktor tersebut tertarik dengan iklan tawaran pinjaman wang yang dilihatnya menerusi laman Facebook di Manir di sini pada 31 Mac lalu.

“Mangsa berhasrat untuk memohon pembiayaan sebanyak RM200,000 sebelum bertemu individu tidak dikenali mendakwa kononnya pegawai syarikat pinjaman wang terbabit di sebuah restoran di Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Kuala Terengganu di sini.

“Sewaktu pertemuan itu, suspek mengemukakan dokumen kononnya perjanjian pinjaman wang bagi meyakinkan mangsa,” katanya di sini hari ini.

Azli berkata, kontraktor terbabit yang terperdaya mengikut arahan suspek membuat pembayaran kononnya untuk kelulusan permohonan pinjaman terbabit.

Beliau berkata, pindahan wang keseluruhan RM254,000 dilakukan menerusi 23 transaksi antara 24 Jun hingga Sabtu lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Nordin ‘benteng’ terakhir batik lukis tradisional

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seorang pengusaha kraf dari Kampung Tasik di sini terus komited memperjuangkan seni pembuatan batik lukis tradisio­nal Terengganu yang diusahakannya sejak lebih 40 tahun lalu.

Nordin Chik, 59, juga percaya bahawa dia merupakan satu-satunya pengusaha batik lukisan tangan yang masih aktif di ­daerah ini dan tekad untuk terus mempertahankan seni warisan Terengganu tersebut sehingga ke akhir hayatnya.

“Saya mula mempelajari seni pembuatan batik lukis tangan di Perbadanan Kemajuan Krafta­ngan Malaysia Cawangan Terengganu, Kuala Terengganu ketika berusia 19 tahun pada tahun 1985.

“Selepas tamat pengajian, saya terus menimba ilmu dan mencari pengalaman dengan beberapa pengusaha batik lukis tangan selama dua tahun,” kata­nya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tasik, semalam.

Menurut bapa kepada lapan orang anak itu, dia kemudiannya memberanikan diri untuk me­ngusahakan perniagaan batik lukis tangan di kampung halamannya pada lewat tahun 1980-an.

Sepanjang penglibatannya, beliau telah menghasilkan lebih 5,000 rekaan batik lukis tangan dan kesemua produk tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat seni fabrik di seluruh negara.

“Berbeza dengan batik cetak yang proses pembuatannya lebih cepat dan menjimatkan kos, seni batik lukis tangan memerlukan penelitian yang tinggi serta tenaga kudrat yang optimum.

“Biasanya, saya hanya mampu menyiapkan maksimum dua pasang batik lukis dalam sehari menggunakan lapan meter kain,” kata beliau.

Nordin menambah, kesemua rekaannya dihasilkan dengan corak yang berbeza berdasarkan daya imaginasi sendiri serta mengikut kehendak pelanggan.

Sehingga kini, corak berasaskan motif flora (bunga) kekal menjadi pilihan utama para pelanggan untuk dilakar pada kain batik tersebut.

“Saya menjual sepasang batik lukis tangan pada harga antara RM120 hingga RM250 bergantung pada jenis corak dan material kain yang digunakan.

“Memang tidak dinafikan batik lukis tangan lebih mahal berbanding batik cetak. Namun, selain nilai keunikan coraknya, kualiti kainnya juga mampu bertahan lama tanpa luntur warna­nya walaupun sudah menjangkau puluhan tahun,” katanya.

APMM gagalkan cubaan seludup masuk 2 juta rokok

 

KUALA TERENGGANU - Cubaan sebuah sindiket untuk menyeludup masuk dua juta batang rokok jenama terkenal berjaya digagalkan Maritim Mа laysia (APMM) di muara Sungal Setiu berhampiran Penarik, Setiu kelmarin.  

Dalam operasi pada 5.30 pagi itu, tiga anggota sindiket sanggup meninggalkan bekalan rokok bernilai hampir RM1.2 juta itu dan terjun ke tengah laut bagi mengelak diri daripada diberkas. 

Rokok seludup dalam kuantiti banyak tersebut dipercayal mahu dibawa masuk untuk pasaran Pantai Timur bagi memenuhi permintaan tinggi pada musim perayaan tidak lama lagi. 

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd. Khairulanuar Abd. Majid berkata, aktiviti penyeludupan itu berjaya dikesan berikutan risikan selama beberapa hari. 

"APMM Terengganu telah membentuk dua kru yang masing-masing bersiap sedia di perairan dan daratan. "Pemantauan mendapati tiga suspek telah mudik ke muara Sungai Setiu menggunakan bot pancung sebelum memunggah masuk ke dalam sebuah lori yang diletakkan di tebing sungai itu," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Maritim Terengganu di sini semalam. 

Mohd. Khairulanuar berkata, ketiga suspek tersebut segera melarikan diri ke arah laut dengan menggunakan bot pancung sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuаsa APMM. 

"Pemeriksaan di dalam bot pancung dan lori kemudiannya menjumpai timbunan kotak dibalut dalam plastik hitam yang mengandungi dua juta batang rokok disyaki diseludup," katanya.