Translate

Friday, August 15, 2025

Budak perempuan 12 tahun hilang ikut kenalan lelaki Tiktok

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang menetap di Sungai Tong di sini dikhuatiri hilang dipercayai mengikut kenalan media sosial sejak kelmarin.

Kanak-kanak perempuan itu dikatakan keluar rumah tanpa pengetahuan ibu bapanya pada pukul 5 petang.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Mohd. Zain Md. Dris berkata, kanak-kanak perempuan tersebut dipercayai mengikut seorang lelaki yang dikenali menerusi aplikasi TikTok.

“Kanak-kanak perempuan berkenaan telah berhenti sekolah sejak dua tahun lalu kerana menghidap penyakit sakit dalam perut.

“Sejak itu, dia dikatakan tidak pernah keluar rumah yang turut didiami ibubapa dan adik lelaki berusia lapan tahun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Zain berkata, anak sulung dua beradik tersebut juga dikatakan tidak mempunyai teman rapat.

Beliau berkata, bapa kanak-kanak itu yang merupakan seorang buruh berusia 36 tahun telah membuat laporan kehilangan anak perempuannya di Balai Polis Sungai Tong di sini pada pukul 3.31 petang, semalam.

“Siasatan awal percaya lelaki yang diikuti kanak-kanak perempuan tersebut tidak dikenali keluarganya dan tidak menetap di mukim Sungai Tong,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Bekas bendahari kesatuan sekerja tipu dokumen didenda RM10,000

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Bekas bendahari Kesatuan Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) cawangan Terengganu didenda RM10,000 atas dua kesalahan mengemukakan dokumen palsu.

Hakim Mohd. Azhar Othman menjatuhkan hukuman demikian selepas tertuduh, Jafri Wahab, 59, yang juga pesara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) membuat pengakuan bersalah sebaik dua pertuduhan tersebut dibacakan.

Beliau memerintah hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar masing-masing terhadap kedua-dua pertuduhan terbabit.

Berdasarkan pertuduhan, Jafri didakwa menggunakan dokumen palsu berupa penyata akaun milik Anulae Cawangan Terengganu bagi tahun 2019 dan 2020 untuk kegunaan peribadi.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di Pejabat MBKT di sini pada 28 Jun 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee manakala tertuduh pula diwakili peguam, Mohd. Asaari Salleh.

Kosmo! Online 25 Ogos 2024 melaporkan Jafri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan pecah amanah dan memalsukan dokumen kesatuan sekerja itu melibatkan amaun RM29,200. – KOSMO! ONLINE

Wang, barangan kemas ibu bapa RM187,800 lesap

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gara-gara terlalu takut dituduh terlibat dalam jenayah, seorang pelajar sebuah universiti awam tergamak mengeluarkan wang simpanan ibubapanya dan menyerahkan barangan kemas ibunya kepada sindiket penipuan sehingga kerugian RM187,800.

Wanita berusia 26 tahun tersebut yang menyedari tertipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 9.43 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, pelajar tersebut dihubungi suspek yang menyamar kononnya wakil sebuah syarikat pengendali e-dompet pada 4 Ogos lalu.

“Suspek mendakwa kononnya mangsa telah menyalahguna akaun e-dompetnya sebelum panggilan kemudiannya disambungkan kepada orang lain menyamar pegawai polis dan individu bergelar Datuk.

“Mangsa didakwa kononnya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan dadah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azli berkata, pelajar wanita berkenaan telah diarahkan untuk melakukan pindahan wang kepada suspek kononnya bagi tujuan siasatan.

Beliau berkata, wanita tersebut yang ketakutan telah mengambil kad mesin pengeluaran automatik (ATM) ibubapanya untuk mengeluarkan wang bagi diserahkan kepada suspek.

“Mangsa juga menyerahkan tiga utas gelang tangan, lima bentuk cincin dan satu loket kepada seorang lelaki di Jalan Pantai Penarik. Setiu pada Sabtu lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE