Translate

Saturday, December 31, 2022

Banjir: Mangsa Terengganu meningkat kepada 11,415 orang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Situasi banjir di Terengganu semakin memburuk dengan 11,415 mangsa daripada 3,326 keluarga telah terjejas di seluruh negeri ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, setakat ini, 174 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka melibatkan tujuh daerah di negeri ini kecuali Kuala Nerus.

“Hulu Terengganu paling teruk terjejas dengan 3,998 daripada 1,276 keluarga telah ditempatkan di 45 PPS.

“Seramai 3,765 mangsa daripada 1,040 keluarga pula terjejas di Besut dan mereka kini berada di 65 PPS,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, sebanyak 38 PPS telah dibuka di Setiu dan setakat ini 2,157 mangsa daripada 632 keluarga telah ditempatkan.

Tambah beliau, Kemaman pula telah membuka 12 PPS yang telah menerima masuk 1,008 mangsa daripada 277 keluarga.

“Seramai 355 mangsa daripada 84 keluarga pula berada di 11 PPS di Dungun manakala dua PPS beroperasi di Marang dengan 119 mangsa daripada 14 keluarga telah ditempatkan.

“Kuala Terengganu pula kekal 13 mangsa daripada tiga keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan Atas Tol.

“Setakat ini hujan lebat masih turun di kebanyakan kawasan di negeri ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Banjir: Tinggal 53 orang mangsa di Besut

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Banjir besar yang melanda Terengganu sejak 11 hari lalu hampir pulih sepenuhnya dengan hanya 53 mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, sebanyak 12 keluarga itu masih ditempatkan di Masjid Kampung La, Besut.

“Masjid Kampung La merupakan satu-satu PPS yang masih beroperasi di Terengganu pada masa ini.

“Sebuah lagi PPS iaitu Balai Raya Kampung Pantai juga di Besut sudah ditutup operasi pada pukul 10 pagi tadi,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, kesemua 12 mangsa yang menghuni PPS tersebut sebelum ini telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah banjir surut.

Banjir besar yang melanda sejak 17 Januari lalu telah menjejaskan lebih 41,000 penduduk Terengganu di semua lapan daerah di negeri ini. – KOSMO! ONLINE

Banjir: Mangsa di Terengganu melonjak 5,494 orang

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Mangsa banjir Terengganu meningkat mendadak kepada 5,494 mangsa daripada 1,627 keluarga di tujuh daerah di negeri ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, setakat ini, 103 pusat pemindahan banjir telah dibuka dan hanya daerah Kuala Nerus masih terselamat daripada banjir.

“Hulu Terengganu paling teruk terjejas dengan 2,207 mangsa daripada 732 keluarga telah berada di 34 PPS.

“Sebanyak 40 PPS pula telah dibuka di Besut melibatkan 1,712 daripada 461 keluarga,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, seramai 725 mangsa daripada 227 keluarga pula telah berada di 11 PPS di Setiu.

Tambah beliau, Kemaman pula telah membuka tujuh PPS yang kini menempatkan 598 mangsa daripada 146 keluarga.

“Seramai 196 mangsa daripada 46 keluarga pula berada di sembilan PPS di Dungun manakala hanya sebuah PPS dibuka di Marang dengan 43 mangsa daripada 12 keluarga ditempatkan.

“Kuala Terengganu pula masih mempunyai 13 mangsa daripada tiga keluarga yang berada di PPS sekolah Kebangsaan Atas Tol,” katanya. – KOSMO! ONLINE