Translate

Friday, May 27, 2022

Gelang emas bebola biji sawi jadi pilihan, penyeri Aidilfitri

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Gelang tangan bebola biji sawi yang me­rupakan antara rekaan baharu menjadi ‘kegilaan’ peminat emas pada Hari Raya Aidilfitri ini.

Kebanyakan pelanggan terutama dari luar Pantai Timur memi­lih gelang tangan bebola biji sawi kerana coraknya yang minimalis, namun tetap elegan.

Salah seorang pengusaha emas, Zakaria Yusoff berkata, berdasarkan maklum balas, ge­lang tangan bebola biji sawi digemari wanita moden yang kurang gemar memakai barangan kemas sarat.

“Mereka tidak mementingkan emas sebagai pelaburan jangka panjang cuma perhiasan yang mahu digayakan pada Hari Raya Aidilfitri dan rumah terbuka,” katanya kepada Kosmo!.

Zakaria berkata, rekaannya yang memukau membuatkan ramai pelanggan wanita membeli dua pasang gelang tangan bebola biji sawi untuk dipakai bersama anak pe­rempuan kecil mereka pada hari lebaran.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu Cawangan Kuala Terengganu berkata, rekaan gelang tangan yang comel menyebabkan ia juga sesuai dipakai oleh kanak-kanak.

“Harga gelang tangan bebola biji sawi diperbuat daripada emas 916 itu berpatutan antara RM500 hingga RM3,000 mengikut berat dan upahnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zakaria tidak menolak faktor pengeluaran khas wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 menjadi pemangkin kepada peningkatan permintaan terhadap emas pada masa ini.

“Sebelum ini, kedai emas agak sepi berikutan harga emas yang agak mahal iaitu RM252 segram.

“Begitupun semuanya berubah apabila orang ramai mulai memiliki lebih wang dan kuasa beli ekoran pengeluaran khas wang KWSP tersebut,” katanya.

UMT bantu pelajar asnaf miliki komputer riba

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengambil inisiatif membantu 200 pelajar kurang berkemampuan (B40) untuk memiliki komputer riba.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, bantuan komputer riba itu bertujuan bagi memudahkan pengajian pelajar tersebut yang kini menjalani pembelajaran secara hibrid.

“Seramai 80 peratus pelajar UMT terdiri dalam kategori B40 (kurang berkemampuan).

“Sebahagian daripada mereka terutama pelajar tahun satu dan dua didapati tidak mempunyai komputer riba sama ada tidak mampu atau telah mengalami kerosakan akibat banjir besar baru-baru ini,” katanya selepas menyampaikan bantuan komputer riba itu kepada pelajar berkelayakan di sini malam tadi.

Menurutnya, komputer riba bernilai RM2,000 setiap satu tersebut merupakan sumbangan Lembaga Tabung Haji.

Ujar beliau, walaupun sebahagian pelajar terbabit menggunakan kemudahan telefon pintar dan tablet untuk belajar, komputer riba masih gajet paling ideal bagi sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara online.

“Sehubungan itu, pengurusan UMT cari dana untuk membantu mana-mana pelajar yang mempunyai masalah memiliki komputer riba sendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Thursday, May 26, 2022

153 peniaga bazar Ramadan Terengganu dikompaun

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seramai 153 peniaga bazar Ramadan di seluruh negeri ini dikompaun atas pelbagai kesalahan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sejak awal bulan Ramadan ini.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, kompaun keseluruhan yang dikeluarkan berjumlah sebanyak RM18,100.

“Seramai 104 pasukan terdiri 278 anggota JKNT telah ditubuhkan bagi menjalankan pemeriksaan ke atas premis makanan beroperasi sepanjang bulan puasa ini.

“Pemeriksaan melibatkan 4,938 petak jualan di 59 bazar Ramadan di negeri ini dilakukan secara berperingkat,” katanya ketika melakukan pemeriksaan di Bazar Ramadan Batu Burok di sini hari ini.

Kasemani berkata, antara kesalahan yang sering dilakukan ialah tidak mematuhi etika pemakaian seperti memakai apron, tiada suntikan pelalian anti-typhoid dan tiada sijil Latihan Pengedali Makanan.

Tambah beliau, segelintir peniaga juga didapati tidak menjaga kebersihan diri seperti berkuku panjang.

“Kita juga mengambil 122 sampel makanan yang berisiko seperti kuih-muih dan juadah bersantan untuk dianalisa,” katanya. – KOSMO! ONLINE