Translate

Wednesday, July 29, 2015

Enam menteri, sembilan timbalan menteri baharu angkat sumpah


KUALA LUMPUR - Enam menteri dan sembilan timbalan menteri yang baharu dilantik dalam rombakan Kabinet semalam menerima surat cara perlantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara di sini hari ini.
Mereka terdiri daripada Datuk Hamzah Zainuddin yang dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar) dan Datuk Seri Mahadzir Khalid (Menteri Pendidikan).
Turut menerima surat cara perlantikan ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Senator Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Tun Said Keruak, Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri Jabatan Perdana Menteri) dan Datuk Seri Ong Ka Chuan (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II).
Sembilan timbalan menteri baharu yang turut menerima surat cara perlantikan ialah Datuk Mohd. Johari Baharom, Datuk Mas Ermieyanti, Datuk Nur Jazlan Mohamed, Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Senator Chong Sin Woon, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Masir Kuyat dan Datuk Johari Abdul Ghani.
Kesemua mereka turut mengangkat sumpah taat setia dan menyimpan rahsia di hadapan Tuanku Abdul Halim.
Majlis mengangkat sumpah itu disaksikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri yang baharu dilantik semalam, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Pertubuhan Pasokmomogan Kadazandusun Murut (UPKO), Datuk Wifred Madius Tangau yang sepatutnya mengangkat sumpah sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi bagaimanapun tidak hadir dalam majlis berkenaan kerana sedang berada di luar negara. - KOSMO!

Tuesday, July 28, 2015

100 ahli SMA D’Legend berkumpul sambut syawal

MUAFAKAT. Seramai 100 bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ajil memeriahkan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di SMK Ajil, Hulu Terengganu baru-baru ini.
Penganjur, Saidi Wahab berkata, mereka pernah menimba ilmu di sekolah berkenaan pada tahun 1983 hingga 1987 dan turut menganggotai persatuan bekas pelajar yang dikenali sebagai SMA D’ Legend.
Beliau berkata, turut hadir Pengerusi Jawatankusa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Terengganu, Ghazali Taib dan bekas guru SMK Ajil.
“SMA D’Legend berhasrat untuk mengumpulkan bekas pelajar SMK Ajil sehingga pada dekad 1990-an pada tahun hadapan,” katanya.

Monday, July 27, 2015

Aidilfitri temukan semula bekas pelajar MTI di Lenggong

MESRA. Seramai 50 bekas pelajar Maahad Al Tarbiah Al Islamiah (MTI), Changkat Jering, Taiping memeriahkan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri di Resort Tasik Raban, Lenggong, Perak baru-baru ini.
Penganjur program, Syahrin Abdullah berkata, majlis tersebut bertujuan untuk mengerat kembali persaudaraan di antara bekas pelajar tersebut selepas hampir 23 tahun terpisah setelah tamat persekolahan.
Beliau berkata, pada majlis sama, mereka sepakat untuk menubuhkan Persatuan Alumni MTI melibatkan bekas pelajar pada tahun 1988 hingga 1992.
“Ahli jawatankuasa penganjur juga telah dilantik dan kami merancang untuk mengadakan beberapa program bagi menjaga kebajikan ahli,” katanya.