Translate

Tuesday, June 30, 2015

Rakyat terima siaran berkualiti

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA LUMPUR - Stesen televisyen berbayar tempatan dijangka tidak terjejas walaupun rakyat negara ini bakal mula menikmati saluran televisyen tidak berbayar secara digital tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Sektor Pemerkasaan Digital Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Toh Swee Hoe berkata, walaupun transformasi itu bakal menyaksikan penambahan sehingga 120 saluran televisyen percuma namun tidak melibatkan saluran premium seperti sukan dan hiburan antarabangsa.

"Sukar untuk stesen televisyen tidak berbayar membeli hak penyiaran saluran-saluran premium seperti liga bola sepak negara-negara Eropah yang mencecah bilion ringgit setahun.

"Mereka yang bergantung semata-mata dengan perolehan iklan tidak mempunyai kemampuan untuk menyiarkan saluran itu secara percuma kepada pengguna," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Swee Hoe berkata, secara dasarnya, Pelan Induk Pendigitalan Nasional yang bermula 28 April lalu tidak bertujuan untuk menyaingi stesen televisyen berbayar sedia ada.

Sebaliknya beliau memberitahu, ia membolehkan semua rakyat negara ini termasuk di luar bandar agar menikmati siaran televisyen yang lebih berkualiti dan interaktif.

"Rakyat juga bakal memperolehi lebih banyak pilihan untuk menonton saluran televisyen kegemaran mereka," katanya.

Dalam perkembangan sama, Swee Hoe berkata, setakat ini transformasi Terestial Televisyen Penyiaran Digital sedang dalam peringkat percuma di beberapa lokasi terpilih di Pahang, Terengganu dan Kelantan sehingga September depan dengan  20,000 dekoder telah diberikan secara percuma kepada isi rumah kurang berkemampuan.

Monday, June 29, 2015

500 anak yatim dapat baju raya di Jakel Mall

CERIA. Seramai 500 anak yatim dari sekitar ibu negara menerima sumbangan pakaian raya oleh Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan di Jakel Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd. Razlan Muhammad Rafii berkata, sumbangan itu bertujuan menggembirakan anak yatim sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Menurutnya, kanak-kanak lelaki menerima baju raya koleksi Upin Ipin, songkok, kain samping dan butang baju Melayu manakala kanak-kanak perempuan pula mendapat baju kurung koleksi sama, kerongsang baju dan tudung dari koleksi sama.
Turut hadir Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan isteri, Datin Seri Anggeraini Sentiyaki serta Pengarah Operasi Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Nizam Mohamed Jakel.

Saturday, June 27, 2015

Tesco edar 400 pek makanan sahur kepada kakitangan Kumpulan Utusan


KUALA LUMPUR - Tesco Stores (Malaysia) Sdn. Bhd. (Tesco) bermurah hati mengagihkan 400 pek makanan bersahur kepada kakitangan Kumpulan Utusan di sini.

Pek makanan yang diagihkan itu mengandungi kek, roti, buah kurma, pek kecil minuman dan buah-buahan.

Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Kerajaan Tesco Malaysia, Datuk Azlam Shah Alias berkata, pengagihan pek makanan itu merupakan sebahagian daripada program Bersahur bersama Tesco yang bermula semalam.

“Program komuniti sempena Kempen Kasih Ramadan anjuran kami tersebut merupakan tanggungjawab sosial korporat kami bagi menggalakkan amalan bersahur di kalangan masyarakat.

“Makanan yang kami agihkan tidak terlalu ‘berat’ namun berkhasiat dan memadai untuk kita mengerjakan ibadah berpuasa seharian,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Pada program tersebut, kesemua pek makanan habis diedarkan kepada kakitangan dalam tempoh sejam

Azlam Shah berkata, program Bersahur bersama Tesco itu akan menjelajahi 17 lokasi terpilih di seluruh negara sehingga 14 Julai depan.

Beliau berkata, trak Tesco bakal singgah di lokasi tumpuan ramai seperti pusat komuniti, masjid dan balai bomba bagi mengagih-agihkannya pek makanan bersahur terbabit kepada masyarakat.

“Trak itu akan berhenti selama sejam bermula pada pukul 9 malam di setiap persinggahan yang terletak berhampiran dengan pasar raya besar Tesco di seluruh negara,” katanya.