Translate

Tuesday, January 2, 2024

Gelombang ketiga: Mangsa banjir Terengganu tinggal 118 orang

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu sejak 23 Disember lalu hampir pulih dengan mangsa terjejas cuma tinggal 118 orang daripada 34 keluarga.

Mereka masih ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah iaitu Dungun dan Kuala Nerus.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Dungun mempunyai 112 mangsa daripada 33 keluarga.

“Mereka berada di dua PPS iaitu Dewan Masjid Serdang dan Sekolah Kebangsaan Tanjung Pati.

“Selain itu, enam sekeluarga masih menghuni PPS Dewan Serbaguna Taman Perumahan Wakaf Tengah, Kuala Nerus,” katanya di sini hari ini.

Banjir gelombang ketiga sudah berlarutan sejak lapan hari lalu itu telah menjejaskan lebih 11,000 mangsa di semua lapan daerah di Terengganu.

Ia berikutan hujan lebat dan angin kencang akibat tempias ribut Jelawat dan angin tropika yang melanda dalam tempoh 22 Disember hingga 26 Disember lalu. – KOSMO! ONLINE


Banjir gelombang ketiga: Mangsa tinggal 6 orang di Terengganu

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu sejak 23 Disember lalu semakin pulih sepenuhnya dengan hanya enam mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, PPS Dewan Serbaguna Taman Perumahan Wakaf Tengah, Kuala Nerus merupakan satu-satunya PPS yang masih beroperasi di negeri ini.

“Enam sekeluarga tersebut masih berlindung di PPS tersebut ekoran kawasan rumah mereka di Kampung Mengabang Telong, Kuala Nerus mengalami hakisan pantai pada 25 November lalu.

“Dungun pula telah pulih sepenuhnya daripada banjir dengan 112 mangsa daripada 33 keluarga yang sebelum ini berada di dua PPS telah dibenarkan pulang sebentar tadi,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, dua PPS berkenaan iaitu Dewan Masjid Serdang dan Sekolah Kebangsaan Tanjung Pati telah ditutup secara rasmi pada pukul 9 pagi tadi.

Banjir gelombang ketiga sudah berlarutan sejak lapan hari lalu tersebut telah menjejaskan lebih 11,000 mangsa di semua lapan daerah di Terengganu.

Ia berikutan hujan lebat dan angin kencang akibat tempias ribut Jelawat dan angin tropika yang melanda dalam tempoh 22 Disember hingga 26 Disember lalu. – KOSMO! ONLINE

Monday, January 1, 2024

Terengganu azam kurang kebergantungan terhadap royalti minyak

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu berazam untuk mengurangkan kebergantungan kepada hasil royalti minyak sempena ketibaan Tahun Baharu 2024 esok.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hasrat itu selaras dengan Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu yanh bakal dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.

Beliau memberitahu, pelan tersebut menggariskan tujuh strategi mengurangkan kebergantungan terhadap hasil royalti petroleum dan gas sebagai persediaan menghadapi impak kekurangan simpanan minyak.

“Dalam penggal (Dewan Undangan Negeri ke-14) lalu, Terengganu telah berjaya mengurangkan tiga hingga empat peratus kebergantungan kepada royalti (minyak).

“Kita optimis akan dapat dikurangkan lagi dengan pelan yang dirancangkan,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu 2024 di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu bertujuan untuk mengoptimumkan lagi sumber negeri sedia ada.

Tambahnya, kerajaan negeri Terengganu juga mahu mengeksplorasi sumber baharu serta mencari peluang jana pendapatan baharu terutamanya dalam sektor teknologi hijau dan Unsur Nadir Bumi (REE).

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri juga berazam untuk mengubah persepsi serta budaya ‘cukup sekadar ini sahaja’ dalam kalangan rakyat Terengganu.

“Saya akan memastikan rakyat dapat melakukan perubahan minda dengan merebut peluang dalam kitaran ekonomi,” katanya. – KOSMO! ONLINE