Translate

Friday, February 3, 2023

Lelaki meninggal dunia di kawasan kubur disangka tidur

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang pencari kotak terkejut dengan penemuan mayat kenalannya di wakaf rehat Tanah Perkuburan Islam Kampung Panji Alam di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5 petang itu, Faizol Taib, 38, pada mulanya menyangkakan mangsa yang dikenali sebagai Kamal Mohd., 52, sedang tidur di wakaf rehat tersebut.

“Setahu saya dia yang menetap di Kampung Bukit Depu di sini gemar menghabiskan masa di tanah perkuburan ini sejak sebulan lalu tanpa diketahui sebabnya.

“Semalam saya nampak dia terbaring di atas wakaf rehat dan cuba mengejutkannya kerana menyangkakan dia tertidur. Rupa-rupanya dia sudah meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.

Faizol berkata, dia difahamkan Kamal menghidap penyakit diabetes, tetapi tidak mendapatkan rawatan di hospital.

Tambahnya lagi, kali terakhir dia bertemu arwah di kawasan tanah perkuburan tersebut pada Jumaat lalu.

Ketika itu, Kamal dilihat kurang sihat dan sering terbatuk.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Wan Mohd. Zaki Wan Ismail mengesahkan penemuan mayat lelaki tersebut. – KOSMO! ONLINE

Geng Ayahanda Harimau Kumbang aktif tarik kereta, peras ugut

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Pertubuhan haram, Ayahanda Harimau Kumbang (AHK) yang dilumpuhkan pada Jumaat lalu, disyaki aktif dalam aktiviti pinjaman wang tidak berlesen atau ah long dan menarik kenderaan secara haram.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, siasatan awal mengesyaki ahli AHK termasuk pegawai dan anggota polis terlibat dalam aktiviti pemerasan sewaktu memungut hutang dan menarik kenderaan mangsa.

“Kumpulan AHK ini aktif di sekitar Dungun dan dipercayai mula merekrut keahlian dalam kalangan anggota dan pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun pada 2021.

“Pertubuhan AHK turut dipercayai melindungi anggota-anggotanya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, hari ini.

Rohaimi berkata, anggota AHK yang merupakan serpihan pertubuhan berdaftar, Selendang Merah boleh dikenali menerusi pemakaian baju-T dan pelekat kenderaan berlogo kumpulan berkenaan.

Tambah beliau, setakat ini, kesemua 10 anggota berpangkat rendah yang diberkas dikenakan tindakan tahan tugas.

Kosmo! hari ini melaporkan penglibatan 14 anggota dan pegawai polis di Terengganu dalam pertubuhan kongsi gelap, AHK sejak 2021 terbongkar apabila kesemuanya diberkas dalam operasi khas dilakukan Bukit Aman di sekitar Dungun Jumaat lalu.

Selain polis, operasi itu turut menahan tujuh orang awam termasuk pemimpin AHK dikenali sebagai Ayahanda Husin Kumbang yang merupakan peniaga berusia 39 tahun, anak lelakinya serta empat orang kuat kongsi gelap tersebut.

Mereka ialah Ayah Mie Black, Ayah Am Boya, Ayah Che Mat dan Ayah Mie Castello. – KOSMO! ONLINE

Identiti mayat wanita dijumpai di Kampung Alor Gali dikenal pasti

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Identiti mayat wanita yang ditemui dalam keadaan terlentang di dalam parit di kawasan semak berhampiran Kampung Alor Gali di sini pada minggu lalu disahkan sebagai Zarina Mukhtar berusia 57 tahun.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Md. Dris berkata, pengesahan tersebut berpandukan padanan
rekod cap jari tersimpan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Ia disahkan Pusat Pendaftaran Penjenayah Malaysia dan Singapura (D2) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

“Kita telah melakukan tangkapan dan perintah reman terhadap suspek akan dipohon di Mahkamah Majistret Marang di sini esok (hari ini),” katanya di sini hari ini.

Mohd. Zain berkata, butiran lanjut berhubung kes tersebut akan dimaklumkan dalam sidang akhbar yang akan diadakan pada masa terdekat.

Difahamkan Zarina merupakan wanita tempatan berasal dari Chendering, Kuala Terengganu yang terletak kira-kira lebih 20 kilometer dari lokasi penemuan mayat.

Kosmo! 19 Januari lalu melaporkan seorang pencari daun palas tergamam bertemu dengan satu mayat wanita di dalam kawasan semak berhampiran Kampung Alor Gali di sini.

Sewaktu ditemui, mayat itu lengkap berpakaian dengan berbaju lengan panjang berwarna merah jambu, dan berseluar panjang berwarna hitam selain sehelai kain juga berwarna hitam dipercayai tudung berada pada bahagian perutnya. – KOSMO! ONLINE