Translate

Thursday, December 1, 2022

Lima lagi penyokong TFC serang bas Selangor ditahan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Lima lagi penyokong Terengganu FC (TFC) yang disyaki terlibat dalam kekecohan selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Selangor FC (Selangor) pada malam Isnin lalu ditahan polis.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 24 hingga 37 tahun berkenaan ditahan di sekitar bandar raya ini dan Kuala Nerus semalam.

“Mereka ditahan antara pukul 11 pagi hingga 8 malam tadi bagi membantu siasatan kes khianat terbabit.

“Majistret Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri telah membenarkan perintah tahanan selama empat hari sehingga Ahad ini di Mahkamah Majistret di sini hari ini,” katanya di sini hari ini.

Rohaimi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Kosmo! Online kelmarin melaporkan seramai kira-kira 300 penyokong TFC yang tidak berpuas hati dengan kekalahan skuad Sang Penyu pada perlawanan separuh akhir Piala Malaysia telah mengepung laluan keluar pemain dan penyokong Selangor pada Isnin lalu.

Sebahagian mereka kemudiannya membaling batu dan objek keras ke arah bas membawa pemain Selangor yang mengakibatkan cermin dan tingkap kenderaan berkenaan pecah.

Anggota polis menyuraikan kekecohan itu sebelum membantu mengiringi semua bas membawa pemain dan penyokong Selangor memasuki Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dengan selamat. – KOSMO! ONLINE

Penyokong TFC dituduh merosakkan bas skuad Selangor

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Seorang penyokong Terengganu FC (TFC) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan cuba melakukan khianat merosakkan bas membawa pemain Selangor FC selepas aksi separuh akhir Piala Malaysia pada Isnin lalu.

Tertuduh, Mohamad Hadi Wahab, 27, yang merupakan penjual buah membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa cuba melakukan khianat dengan melempar batu ke arah sebuah bas membawa pemain Selangor melibatkan kerugian RM15,000.

Perbuatan dilakukan didakwa dilakukan di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus pada pukul 12.05 tengah malam, kelmarin.

Mohamad Hadi didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun dan lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Majistret Noor Mazrinie membenarkan tertuduh dibebaskan dengan wang jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes pada 26 Disember depan.

Kosmo! Selasa lalu melaporkan seramai kira-kira 300 penyokong TFC yang tidak berpuas hati dengan kekalahan skuad Sang Penyu pada perlawanan separuh akhir Piala Malaysia telah mengepung laluan keluar pemain dan penyokong Selangor pada Isnin lalu. – KOSMO! ONLINE

Lelaki putus jari ditetak lelaki langgar keretanya

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Hanya kerana perlanggaran kecil, seorang lelaki menjadi mangsa tetakan sehingga mengalami kecederaan parah pada bahagian tangan dan kaki kiri apabila di Kampung Gong Cempedak di sini malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, mangsa berusia 38 tahun yang putus sebatang jari kiri nekad memandu kereta seorang diri sejauh lebih 20 kilometer ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, suspek berusia 33 tahun bertindak cuba melarikan diri dengan merempuh sebuah sekatan jalan raya (SJR) di Merchang di sini sebelum berjaya diberkas polis pada pukul 8.45 malam.

Beliau berkata, siasatan awalnya, kejadian bermula apabila kenderaan dipandu suspek dan mangsa mengalami kemalangan kecil.

“Suspek pada mulanya bersetuju untuk membayar ganti rugi dan mengajak mangsa ke rumahnya.

“Sebaik tiba di rumah, suspek meminta mangsa menunggu di luar sementara dia masuk ke dalam kononnya mahu mengambil wang ganti rugi sebelum dia tiba-tiba meluru keluar dengan bersenjatakan objek tajam seperti pedang semurai untuk menyerang mangsa,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Zain berkata, suspek yang bekerja sendiri kemudiannya cuba melarikan diri ke arah Dungun dengan menaiki kereta Proton Wira berwarna biru.

Mohd. Zain berkata, ujian urin mendapati suspek positif dadah jenis methamphitamine dan dia ditahan reman selama enam hari sehingga Selasa minggu depan. – KOSMO! ONLINE