Translate

Thursday, December 1, 2022

Pelajar masuk SBP bakal terima bantuan kewangan Maidam

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bercadang untuk menyalurkan bantuan pendidikan kepada pelajar negeri tersebut yang layak terpilih memasuki sekolah berasrama penuh (SBP).

Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, bantuan persekolahan sebanyak RM500 kepada semua pelajar tanpa mengira sosio ekonomi keluarga tersebut sebahagian daripada agihan zakat bagi kategori asnaf fisabilillah.

“Sebelum ini, kita memberikan ‘hadiah’ bantuan kewangan antara RM800 hingga RM1,000 kepada semua pelajar (Islam) Terengganu yang menerima tawaran melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda dan diploma.

“Bagi memperkasa pendidikan dalam kalangan anak negeri ini, Maidam bercadang untuk memperluas bantuan kepada pelajar SBP pula,” katanya selepas merasmikan kursus umrah anjuran Amcare Agency yang merupakan agensi kutipan zakat korporat lantikan Maidam di sini hari ini.

Shaikh Harun berkata, kertas cadangan pemberian bantuan pendidikan kepada pelajar memasuki SBP telah disiapkan dan hanya menunggu kelulusan.

Tambah beliau, setiap tahun Maidam memperuntukkan RM40 juta bagi agihan zakat untuk asnaf fisabilillah bagi memperkasakan lagi pendidikan di Terengganu.

“Strategi Maidam ialah mahu membasmi kemiskinan dalam kalangan isi rumah orang Islam negeri ini menerusi pendidikan kepada anak-anak mereka.

“Harapan kita sekurang-kurangnya 80 peratus anak Terengganu layak memasuki institusi pengajian tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Terengganu sedia baucar pakej berpantang kepada ibu bersalin

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Ibu yang melahirkan anak di Terengganu pada tahun hadapan bakal memperoleh baucar pakej berpantang bernilai RM200.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemberian baucar berkenaan bagi tujuan penjagaan wanita berkenaan selepas bersalin.

“Bantuan ini dijangka akan memberi manfaat kepada sekitar 5,000 wanita (bersalin) yang layak.

“Ia sebagai komitmen kerajaan negeri Terengganu menjayakan Pelan Dasar Wanita Terengganu 2030 yang dilancarkan baru-baru ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini.

Ahmad Samsuri (Pas-Rhu Rendang) berkata, selain itu, kadar Skim Pertama Sejahtera untuk bayi yang baru lahir di negeri tersebut juga akan dinaikkan mulai tahun hadapan.

Jelas beliau, sumbangan tabung pendidikan di bawah skim tersebut bakal dinaikkan kepada RM200 bagi kelahiran anak pertama dan kedua, anak ketiga hingga kelima (RM300) dan anak keenam hingga kesepuluh (RM500).

“Dalam pada itu, RM300,000 akan diperuntukkan bagi program pemeriksaan mamogram dan pap smear secara percuma bagi wanita berumur 35 tahun ke atas.

“Kerajaan negeri (Terengganu) juga sedang mengkaji untuk melaksanakan program kesihatan percuma kepada golongan lelaki,” katanya. – KOSMO! ONLINE

14,000 penjawat awam Terengganu terima bonus RM900

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terenggganu mengumumkan pembayaran imbuhan sebanyak RM900 kepada penjawat awam.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemberian bonus berkenaan bakal memberi manfaat kepada hampir 14,000 kakitangan kerajaan di negeri tersebut.

Beliau berkata, pembayaran imbuhan tersebut bakal dilaksanakan pada bulan Januari depan.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri Terengganu juga bersetuju untuk memberi bantuan tunai sekali bayar sebanyak RM150 kepada golongan terkesan.

Jelas beliau, ia merangkumi golongan belia, mahasiswa, pengawal keselamatan, petani, penternak, nelayan dan pekerja industri pelancongan.

“Saya mengumumkan pemberian tunai ‘one off’ (sekali bayar) berjumlah RM200 kepada 25,000 ibu tunggal dan OKU (orang kelainan upaya) bagi menyokong sara hidup golongan ini.

“Begitu juga 200 imam dan bilal Skim Mubaligh juga layak menerima bantuan tunai RM200 berkenaan,” katanya sewaktu membentangkan Belanjawan 2023 pada Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE