Translate

Wednesday, December 8, 2021

Tukang cat maut, adik cedera kemalangan

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

SETIU – Seorang tukang cat maut manakala adiknya cedera ringan selepas kereta Proton Wira dinaiki mereka merempuh tiang elektrik di KM 70 Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu berhampiran Kampung Banggol di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 1.37 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Sharil Naim Zulkefli, 20, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, adik mangsa, Muhammad Sharil Aiman pula cedera pada bahagian dagu dan tangan.

Beliau berkata, sewaktu kejadian, kedua beradik itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Padang Saujana, Permaisuri di sini.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Wira yang dipandu Muhammad Sharil Naim tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan.

“Kereta dinaiki itu kemudiannya merempuh sebatang tiang lampu,” katanya di sini hari ini.

Afandi berkata, mayat Muhammad Sharil Naim telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu di sini untuk tindakan lanjut.

Tambah beliau, Muhammad Sharil Aiman pula dikejarkan unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan. – K! ONLINE

Paku aji laut terancam, dalam Senarai Merah Malaysia

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Perbuatan mengambil pokok paku aji laut yang terdapat di dalam Hutan Simpan Pulau Tenggol, Dungun bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah dikhuatiri boleh membawa kepada kepupusan spesies tumbuhan itu.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr Jamilah Mohd Salim @ Halim berkata, pokok paku aji laut atau nama saintifiknya, Cycas clivicola disenaraikan sebagai salah satu tumbuhan terancam dalam Senarai Merah Malaysia.

Beliau berkata, aktiviti mengutip tanpa kawalan dari habitat asal tumbuhan itu untuk dijadikan tanaman hiasan boleh mengganggu ekosistem pokok itu.

Pokok paku aji laut merupakan spesies pokok purba dan mempunyai biji benih yang tidak dilindungi dalam struktur buah.

“Pembiakannya memerlukan induk betina dan jantan dengan biji benihnya disenyawakan menerusi sebaran angin,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Jamilah berkata, perbuatan mengasingkan induk jantan dan betina menerusi penjualannya sebagai pokok hiasan boleh menyebabkan spesies itu tidak mampu membiak lagi.

Jelas beliau, kehadiran induk jantan dan betina yang tidak mencukupi di habitat asalnya juga menyukarkan spesies itu menghasilkan generasi baharu sekali gus diancam kepupusan.

“Sehubungan itu, aktiviti kutipan tanpa kawalan di Pulau Tenggol perlu dihentikan apatah lagi ia dilakukan di kawasan hutan simpan yang jelas menyalahi undang-undang.

“Saya percaya perbuatan mengambil pokok paku aji laut semakin berleluasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran permintaan tinggi dan kekurangan bekalan pokok hiasan dari luar negara khususnya Thailand,” katanya.

Jamilah berkata, pokok paku aji laut sukar diperoleh di Terengganu, tetapi spesies lain daripada kumpulan tumbuhan sama se­perti Cycas edentata boleh didapati di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dan Setiu.

“Pokok paku aji laut atau Cycas clivicola tumbuh di kawasan batu kapur dan turut didapati di utara tanah air iaitu Perlis, Kedah dan Perak,” katanya.


Pokok paku aji laut lesap dikebas


Oleh MOHD AZLI ADLAN

DUNGUN – Keghairahan untuk mendapatkan keuntungan segera menyebabkan ada pihak tidak bertanggungjawab menceroboh masuk ke Pulau Tenggol di sini untuk mencuri pokok-pokok paku aji yang tumbuh liar di kawasan berkenaan.

Pengarah Perhutanan Terengganu, Roslan Rani berkata, pihaknya mendapati kehila­ngan pokok bernilai tinggi di hutan simpan seluas 540 hektar itu telah dikesan sewaktu pihaknya mengadakan bancian pada awal bulan lalu.

“Pokok paku aji laut tumbuh secara semula jadi di kawasan berbatu di dalam hutan simpan di Pulau Tenggol.

“Pemeriksaan baru-baru ini mendapati kebanyakan pokok spesies itu sudah tiada di habitatnya dan yang tinggal hanya pokok belum matang dan terletak di batuan curam,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Bagaimanapun, kata Roslan, pemeriksaan pihaknya mendapati pokok ba­lak berharga seperti balau laut yang turut berada dalam habitat sama tidak diusik.



Tambah beliau, seperti mana pokok balak yang tidak dibenarkan ‘disentuh’, pokok paku aji laut juga tidak sepatutnya di­ambil sesuka hati kerana ia me­rupakan sebahagian kha­zanah dalam Hutan Simpan Pulau Tenggol yang perlu dipelihara.

Kami percaya kehilangan pokok-pokok paku aji laut ini didalangi pihak tertentu ekoran ia mendapat permintaan tinggi dalam kalangan peminat pokok hiasan dan landskap.

“Saya difahamkan pokok paku aji laut boleh dijual pada harga sekurang-kurangnya RM6,000 sepokok. “Oleh sebab itu, saya percaya ada pihak yang gelap mata dan sanggup langgar undang-undang dan merisiko nyawa memanjat kawasan berbatu di Pulau Tenggol untuk mencuri pokok tersebut,” katanya.

Roslan berkata, habitat pokok paku aji laut terletak di kawasan tidak berpenghuni yang hanya boleh diakses menerusi jalan laut.

Tambah beliau, bagi mema­suki kawasan itu, mereka perlu menaiki bot selama kira-kira 40 minit dari Kuala Dungun sebelum memanjat batuan.

“Pokok tersebut yang berjaya diambil dibawa pulang juga dengan menggunakan bot sebelum dipercayai dipasarkan di pusat jualan anak pokok atau dipromosi menerusi media sosial.

“Mengambil pokok paku aji laut di Hutan Simpan Pulau Tenggol merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985,” katanya.

Roslan berkata, kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 dan penjara antara setahun hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan akan mengetatkan kawalan dengan bantuan agensi lain seperti Jabatan Laut dan Ma­ritim Malaysia (APM) bagi memastikan khazanah berharga di Pulau Tenggol itu tidak dijarah sesuka hati pada masa hadapan.