Translate

Friday, September 4, 2020

Suami cangkul isteri gara-gara keluar bekerja

 


Oleh MOHD. AZLI ADLAN

DUNGUN – Berang isterinya keluar bekerja sebagai pembantu di Pasar Besar Dungun di sini, seorang suami sanggup memukul wanita itu dengan cangkul dalam satu kejadian di Kampung Molek, Kuala Dungun di sini pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang itu, wanita berusia 34 tahun tersebut cedera di paha dan tangan kiri serta sakit dibahagian telinga akibat dipukul dan ditampar suaminya yang merupakan seorang penganggur.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, suspek berusia 38 tahun itu bertindak ganas kerana tidak merestui isterinya keluar bekerja.

“Suspek tidak membenarkan isterinya keluar bekerja sehingga­ mencetuskan perang mulut antara­ mereka.

“Lelaki itu yang naik berang kemudiannya telah menarik rambut isterinya sehingga menyebabkan mangsa terjatuh sebelum memukulnya dengan cangkul,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Baharudin berkata, suspek yang tidak berpuas hati turut menampar pipi isterinya dan mengugut untuk membunuh wanita tersebut selain mence­derakan dua anak mereka yang berusia 10 dan 13 tahun.

Tambahnya, lelaki itu juga melepaskan marahnya dengan me­rosakkan motosikal yang digunakan isterinya untuk berulang alik ke Pasar Dungun.

“Perbuatan suspek mengamuk mencederakan isterinya disaksikan kedua-dua anak mereka. Siasatan awal mendapati, mangsa sebelum ini sering dikasari suaminya yang panas baran.

“Mangsa telah membuat laporan polis di balai polis berhampiran selepas menerima rawatan di sebuah klinik berhampiran,” ujarnya.

Menurutnya, suspek telah ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Ke­seksaan dan Seksyen 18(A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Kampung Budaya Terengganu tarikan pelancongan terbaharu

 

KUALA TERENGGANU – Kampung Budaya Terengganu di Losong di sini yang beroperasi mulai hari ini menjadi tarikan pelancongan terbaharu negeri tersebut.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Kampung Budaya Terengganu tersebut berkonsepkan muzium hidup yang menonjolkan kesemua kesenian, budaya dan warisan tradisional terdapat di lapan daerah di negeri tersebut.

“Pakej berkonsep pelancongan warisan ini menyediakan tujuh segmen termasuk seni bina lima rumah tradisional Melayu Terengganu iaitu Istana Tengku Long, Rumah Tele, Rumah Limas Belanda, Rumah Bujang Berkembar dan Rumah Bujang berserambi Selasar,” katanya selepas merasmikan Kampung Budaya Terengganu di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, antara tarikan yang terdapat di Kampung Budaya Terengganu tersebut ialah demonstrasi pembuatan perahu, jala, keropok, ikan kering, seni khat, bubur Asyura, keris, lembing, wau, gasing, batik dan songket.

Beliau berkata, pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan silat, gamelan, berzanji dan menikmati makanan dan kuih tradisional Terengganu.

“Lokasi Kampung Budaya Terengganu ini amat strategik bersebelahan dengan Muzium Negeri dan berhampiran dengan Taman Tamadun Islam selain tidak jauh dari pusat bandar dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

“Kemasukan sehingga 6 September (Ahad) ini adalah percuma sempena pembukaan perkampungan budaya tersebut,” katanya. -K! ONLINE

Thursday, September 3, 2020

Amaran buat pengusaha bot pelancongan tamak

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu kesal dengan sikap segelintir pengusaha bot pelancongan yang tidak mengangkut lebihan penumpang ke Pulau Kapas, Marang.

Pengerusi Jawatan kuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman berkata, perbuatan segelintir pengusaha bot pelancongan Pulau Kapas itu bukan sahaja tidak mematuhi prosedur operasi standard normal baharu ditetapkan malah dikhuatiri boleh mengancam nyawa penumpang.

Beliau berkata, tambah terkilan, sebahagian pelancong yang menaiki bot ke pulau peranginan terkenal itu didapati tidak memakai jaket keselamatan.

“Kita ambil serius dengan memberi amaran kepada pengusaha bot terbabit agar tidak tamak mengambil kesempatan terhadap peningkatan pemintaan pelancong ke Pulau Kapas pada masa ini.

“Pasukan penguat kuasa Jabatan Laut telah diminta untuk memperketatkan pemeriksaan terutama pada awal pagi dan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran peraturan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ariffin mengulas aduan seorang pengunjung Pulau Kapas tentang sikap tamak pengusaha tidak mementingkan keselamatan dan keselesaan pelancong yang tular di media sosial baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya juga telah memanggil pengusaha bot pelancongan terlibat untuk memberi penjelasan berhubung isu berkenaan. – K! ONLINE