Translate

Sunday, December 10, 2017

Vokalis kumpulan rock Panji meninggal dunia

DUNGUN - Vokalis kumpulan rock 90-an, Panji meninggal dunia setelah muntah darah di rumahnya di Jalan Lembah, Kampung Sungai Buaya di sini hari ini.

Norman, 55, atau nama sebenarnya Mohd. Nor Hussin yang popular dengan lagu Semilir dan Sayap Terluka bersama kumpulan Panji menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.45 malam.

Adiknya, Mohd. Shafie, 54, berkata, allahyarham abangnya menderita penyakit misteri yang menyebabkan tubuhnya tiba-tiba tidak bermaya dan kurus mendadak sejak pertengahan tahun lalu.

"Sewaktu kejadian, abang saya yang terbaring di katil tiba-tiba mengadu sakit dada dan meminta anak sulungnya, Haris Haikal, 16, mengurutnya.

"Tidak lama kemudian, dia tiba-tiba muntah darah sebelum tidak sedarkan diri. Saya cuba mengajarnya dua kalimah syahadah, cuma mulutnya dilihat kumat-kamit seketika," katanya kepada kepada Kosmo! di sini hari ini.

Mohd. Shafie berkata, dia yang mendapati tubuh Norman sudah tidak bergerak telah bertindak  memaklumkannya kepada Hospital Dungun di sini.

Dia berkata, pegawai perubatan hospital itu yang tiba di rumah mereka tidak lama kemudiannya mengesahkan abangnya sudah meninggal dunia.

"Jenazah abang saya dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Syed Yahaya di sini pada pagi esok," katanya. - K! ONLINE

Lelaki obes 286 kg meninggal dunia akibat sesak nafas

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Hajat seorang lelaki obes seberat 286 kilogram (kg) untuk kembali kurus dan menikmati kehidupan normal tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia hari ini.

Mohamad Faisal Md. Ali, 29, yang pernah mendapat perkhidmatan jurulatih kecergasan peribadi percuma pada Oktober lalu menghembuskan nafas terakhir di pangkuan ibunya, Kamsah Mat Noor, 57, akibat sesak nafas pada pukul 5 pagi.

Kamsah berkata, Mohamad Faisal baru dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada Rabu lalu.

"Sebelum ini, dia yang merupakan anak bongsu dari lima beradik telah menjalani rawatan akibat obesiti di hospital itu selama dua bulan sejak September lalu.

"Sejak anak saya itu pulang ke rumah dari hospital, dia kurang selera makan dan hanya minum susu enam kali sehari," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Mengabang Telipot di sini hari ini.

Dalam pada itu, jenazah Mohamad Faizal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Mengabang Telipot di sini selepas solat Zuhor.


Jenazah lelaki obes itu diturunkan dengan penakal menerusi bantuan jentolak di dalam liang lahad. - K! ONLINE

Saturday, December 9, 2017

Mangsa banjir Kemaman meningkat 280 orang

Oleh MOHD AZLI ADLAN


KEMAMAN - Mangsa banjir di daerah Kemaman yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara meningkat sedikit kepada 280 orang hari ini.

Pegawai Daerah Kemaman, Mohd. Zahari Md. Azhar berkata, ia penambahan daripada 235 orang pada semalam.

"Setakat ini, semua mangsa ditempatkan di satu-satu pusat pemindahan sementara yang dibuka di daerah ini iaitu Dewan Pusat Latihan Darul Iman, Teluk Kalong di sini.

"Pada waktu ini, hujan lebat yang melanda Kemaman sepanjang semalam telah berhenti dan kita berharap banjir akan surut berikutan cuaca yang baik hari ini," katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. - K! ONLINE