Translate

Sunday, July 2, 2017

Budak lima tahun mati didakwa didera bapa tiri panas baran

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan KAMARUDIN HAMZAH

KUALA TERENGGANU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemui mati dengan beberapa kesan lebam baharu dan lama pada badan dipercayai didera bapa tirinya di Felda Tenang, Hulu Besut kelmarin.

Dalam kejadian pukul 2.30 pagi itu, suspek berusia 38 tahun pada mulanya mendakwa anak tirinya, Muhammad Hairil Amsyar Abdul Rahman  mengalami kecederaan tersebut akibat dihempap motosikal yang mereka naiki beberapa jam sebelum itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, sebaik tiba di Unit Kecemasan Hospital Besut, pegawai perubatan yang melakukan pemeriksaan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

“Pegawai perubatan yang mencurigai punca kematian kanak-kanak terbabit selepas menjumpai beberapa kesan lebam baharu dan lama pada beberapa anggota badan mangsa telah membuat laporan polis.

“Berdasarkan aduan itu, bapa tiri mangsa yang merupakan seorang buruh telah ditahan manakala mayat Muhammad Hairil Amsyar telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk dibedah siasat,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Fazlisyam berkata, siasatan awal mendapati suspek yang mengahwini ibu mangsa berusia 27 tahun positif dadah jenis methaphetamine.

Menurut beliau, laporan bedah siasat mendapati koyakan pada usus kecil akibat hentakan kuat menjadi punca kematian Muhammad Hairi Amsyar.

“Hentakan itu telah dikesan pada bahagian belakang kanak-kanak malang terbabit,” katanya yang menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu ibu mangsa, Nor Syafiqah Abd. Kadir berkata, sewaktu kejadian, dia sedang mengambil upah membuat gula manisan di rumah jirannya.

“Hati  tidak tenang sepanjang bekerja dan saya pulang awal. Sebaik tiba di rumah pada pukul 2.30 pagi, saya terkejut Amsyar terbaring di ruang tamu sedangkan sebelum saya keluar rumah untuk bekerja, dia sudah tidur di dalam bilik.

“Suami memberitahu Amsyar demam panas tetapi apabila saya mahu menyapu air asam jawa pada kepalanya, badan Amsyar sudah keras,” ceritanya ketika ditemui di HSNZ di sini semalam.

Nor Syafiqah mengakui suaminya yang dikahwini sejak tiga tahun lalu seorang panas baran dan pernah menjalani hukuman penjara selama enam bulan atas kesalahan mendera Muhammad Hairil Amsyar sewaktu mereka menetap di Puchong, Selangor pada tahun 2015.

Saturday, July 1, 2017

36 PATI diberkas Ops Ikrar di Terengganu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

MARANG - Seramai 36 warga asing dipercayai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) berjaya diberkas dalam Ops Ikrar yang diadakan di dua tapak pembinaan di Batu Burok, Kuala Terengganu dan Binjai Rendah, Marang hari ini.


Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Terengganu, Azlinawati Mohd. Zulbi berkata, mereka merupakan antara 65 pekerja asing yang telah diperiksa di lokasi-lokasi berkenaan pada hari pertama pelaksanaan E-Kad.
"Mereka yang ditahan disyaki melakukan kesalahan imigresen seperti tiada dokumen pengenalan diri, menetap di negara ini melebihi tempoh dibenarkan dan tidak mempunyai permit kerja yang sah.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) selain melanggar syarat pas lawatan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya kepada pemberita selepas mengetuai Ops Ikrar di Binjai Rendah, Marang, Terengganu hari ini.
Dalam perkembangan sama, Azlinawati memberitahu, seramai 1,836 PATI dan 416 majikan telah membuat permohonan E-Kad di negeri ini sehingga 12 tengah malam tadi.
Menurut beliau, sebanyak 35 permohonan telah ditolak dan dianggarkan Terengganu mempunyai sebanyak 2,000 PATI. - K! ONLINE

Terengganu, JDT II berkongsi mata

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Skuad Terengganu berpuas hati mengutip satu mata selepas mengikat Johor Darul Takzim II (JDT II) 2-2 pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini malam ini.
Ketinggalan 0-2 pada babak pertama, anak buah Irfan Bakti Abu Salim bangkit meledak dua gol yang dicari-cari dalam tempoh lima minit sebaik wisel separuh masa kedua dibunyikan.
Terdahulu, skuad JDT II yang kembali diterajui Benjamin Mora Mendivil mengambil kesempatan di atas ketiadaan tonggak pertahanan Terengganu, Lazaro Vinicius yang digantung perlawanan untuk merobek gawang tuan rumah seawal minit kelima.
Gol pertama pelawat dihasilkan oleh pemain tengah JDT II, Alaxender Moreton Smith yang menanduk kemas hantaran sepakan penjuru kapten pasukan, Nicolas Alberto Fernandes sekali gus menewaskan penjaga gol Terengganu, Amierul Hakimi Awang.
Lima minit kemudian, pemain tengah JDT II, Muhd. Syazwan Andik Mohd. Ishak menjadikan kedudukan 2-0 menerusi gerakan serangan balas pantas.
Perancang skuad Penyu, Mohd. Faiz Mohd. Nasir kemudiannya merapatkan kedudukan 1-2 selepas bertindak bijak menyambut bola muntah dari dakapan penjaga gol lawan, Samuel Jacob Somerville pada minit ke-45.
Penyerang import baharu Terengganu, Tchetche Kipre sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada JDT II apabila berperanan mengucar-kacirkan benteng pertahanan lawan sehingga membolehkan J. Partiban menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-50. - K! ONLINE